Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 8 Julai 2022, di sini.
“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia. Ibrahim berkata: (Dan saya mohon juga) dari keturunanku. Allah berfirman: Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang-orang yang zalim.” (Al-Baqarah: 124)
“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.” (Al-Furqan: 74)
Pelajaran
- Ayat-ayat di atas memberitahu Muslim tentang pendidikan anak-anak dalam Islam, iaitu ia hendaklah dijurus ke arah pembentukan individu sebagai pemimpin masa hadapan.
- Hal ini dapat dilihat dari permintaan Nabi Ibrahim a.s agar Allah taala menjadikan keturunannya juga sebagai pemimpin bagi manusia. Allah taala tidak melarang permintaan ini. Allah taala hanya meletakkan syarat bahawa individu itu hendaklah seorang yang bukan zalim, atau dengan perkataan, dia adalah seorang yang soleh dan adil (Al-Baqarah: 124).
- Ini pasti tidak berlaku secara magik, tapi melalui proses memenuhi sebab musabab, iaitu Nabi Ibrahim a.s sendiri hendaklah berusaha mendidik anaknya dengan kemampuan kepimpinan.
- Perkara ini bukan sesuatu yang eksklusif untuk Nabi Ibrahim a.s. Ia juga adalah pelajaran bagi semua Muslim agar berusaha mendidik setiap anak kurniaan Tuhan dengan sifat-sifat dan kemahiran kepimpinan.
Dengan erti kata lain, pendidikan anak-anak dalam Islam seharusnya menjurus pada pendidikan sebagai pemimpin. - Hal ini dapat disokong dari Al-Furqan: 74 yang mana Allah taala menganjurkan umat Islam untuk berdoa agar keturunannya menjadi pemimpin bagi golongan yang bertakwa.
Jika menjadi pemimpin bagi golongan bertakwa sesuatu yang dianjurkan, pastinya menjadi pemimpin bagi yang lain lebih dianjurkan lagi. - Asas sifat pemimpin ialah:
– tidak zalim, atau adil (Al-Baqarah: 124)
– bertakwa atau soleh (Al-Furqan: 74), kerana tidak mungkin seorang boleh menjadi pemimpin golongan bertakwa jika dia tidak ada sifat itu - Islam membenarkan ibubapa untuk mengharapkan anak-anaknya menjadi pemimpin yang hebat.
- Ini tidak bermakna mereka dididik menjadi insan-insan yang gila kuasa kerana kededuanya tidak berlaku seiring.
Gila kuasa dicela Islam. Jika mendidik anak pasti menatijahkan insan yang gila kuasa, Islam tidak akan menganjurkannnya kerana jalan yang membawa kepada sesuatu yang tercela adalah dicela juga. - Maka sikap Muslim yang betul ialah untuk menjauhi perasaan dan sikap “mabuk kuasa”, tapi berusaha untuk memiliki kompetensi tinggi sebagai pemimpin hingga dia bersedia untuk memainkan peranan itu pada bila-bila masa yang diperlukan.