Pesanan Dari Al-Quran #57 – Sikap dan Tindak Balas Terhadap Kezaliman/Kejahatan Orang Lain (16 September 2022)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 16 September 2022, di sini.

“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (Fussilat: 34)

“Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran). Mereka sentiasa mengubah Kalimah-kalimah (yang ada di dalam kitab Taurat dengan memutarnya) dari tempat-tempatnya (dan maksudnya) yang sebenar dan mereka melupakan (meninggalkan) sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka dengannya dan engkau (wahai Muhammad) sentiasa dapat melihat perbuatan khianat yang mereka lakukan, kecuali sedikit dari mereka (yang tidak berlaku khianat). Oleh itu, maafkanlah mereka (jika mereka sedia bertaubat) dan janganlah dihiraukan kerana sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya.” (Al-Maidah: 13)

“Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain dan jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu).” (Al-An`am: 68)

Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.” (Al-Nahl: 126)

Pelajaran

  1. Ayat-ayat di atas memberitahu Muslim tentang bagaimana menyikapi dan bertindak balas terhadap kezaliman/kejahatan yang dilakukan oleh orang lain ke atas dirinya sebagai individu atau ke atas masyarakat Muslim umumnya.

  2. Muslim mempunyai empat pilihan berdasarkan setiap satu ayat di atas.

  3. Pilihan pertama ialah untuk membalas kejahatan dengan kebaikan (Fussilat: 34) dan, pada dasarnya, ini adalah pilihan yang utama dan digalakkan kerana terdapat ganjaran besar bagi sesiapa yang melakukannya dan banyak contoh-contoh dari Nabi s.a.w sendiri.

    Pilihan ini berbeza dengan konsep “menyerahkan pipi kiri apabila pipi kanan dipukul”. Pilihan yang dianjurkan Al-Quran ini tidak menyuruh Muslim membiarkan dan menyerah dirinya untuk dianiaya.

    Muslim hendaklah mengelak dan menghalang dirinya dari terus dianiaya, tapi tindak balas ke atas yang berbuat jahat tidak mesti dengan kekerasan atau kekasaran yang sama. Muslim boleh membalas dengan berbuat baik kepadanya bagi menunjukkan contoh akhlak yang mulia dan, lebih penting lagi, agar tidak mewujudkan kitaran kekerasan (cycle of violence).

  4. Jika tidak mampu melakukan pilihan pertama dan terbaik, Muslim boleh lakukan pilihan kedua pula, iaitu memaafkan pelaku kejahatan itu dan bersabar serta tidak menghiraukan kejahatan yang berlaku (Al-Maidah: 13).

  5. Jika memaafkan dirasa berat atau sukar, Al-Quran anjurkan pilihan ketiga, iaitu mengabaikan kejahatan itu dan menghindari pelakunya sahaja (Al-An`am: 68).

    Hal ini membantu meredakan keadaan dan menyelamatkan Muslim dari situasi dan sekitaran yang negatif.

    Ia juga memelihara diri dari kelakuan yang tidak baik kerana perasaan marah yang ada dalam diri dan belum bersedia untuk memaafkan lagi.

  6. Pilihan keempat pula ialah membalas kejahatan itu dengan hukuman yang setimpal (Al-Nahl: 126).

    Walaupun ini bukan pilihan yang terbaik, tapi ia pilihan yang harus di sisi agama. Ertinya, Islam memberi hak kepada Muslim untuk menghukum pelaku kejahatan dengan hukuman setimpal jika dia tidak mahu membalas kejahatan dengan kebaikan, tidak mampu memaafkan dan tidak bersedia pula untuk mengabaikan kejahatan itu.

    Namun, hukuman yang setimpal ini hendaklah diperolehi melalui proses yang sah yang diakui oleh undang-undang, bukan dengan sesuka hati kerana perbuatan menghukum seseorang dengan tangan sendiri di luar proses yang sah akan membuka pintu mudarat yang besar dalam masyarakat, iaitu anarki dan hilang hormat pada undang-undang.

  7. Keempat-empat pilihan yang dinyatakan di atas bukan semestinya dipilih mengikut urutan. Setiap satu boleh dinilai berdasarkan konteks dan pertimbangan-pertimbangan lain.

    Yang perlu diperjelaskan di sini ialah masyarakat Muslim tidak seharusnya melihat reaksi mereka hanya dalam satu bentuk sahaja, seperti mempunyai tanggapan yang kaku bahawa segala kezaliman dan kejahatan mesti ditangani dengan prinsip, “mata dibalas dengan mata”.

    Bahkan, ada kala, “mata dibalas dengan mata”, bukan pilihan yang utama dan terbaik bagi konteks yang ada.