Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 7 Oktober 2022, di sini.
“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman.” (Al-Anfal: 61-2)
“….Itulah hukum-hukum Allah, maka janganlah kamu melanggarnya. Barang siapa yang melanggar hukum-hukum Allah mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Al-Baqarah: 2:229)
“….Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu Dia menerangkan kepada kamu akan apa yang kamu berselisihan padanya.” (Al-An`am: 164)
“Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya….” (Al-Shura: 40)
Pelajaran
- Umat Islam selalu berhadapan dengan tindakan-tindakan kejahatan dan kezaliman. Ia mungkin berlaku ke atas individu seperti diskriminasi ke atas seorang Muslimah di tempat kerja kerana memakai tudung, masyarakat Muslim setempat seperti yang menimpa masyarakat Muslim Rohingya di Myanmar dan Uighur di daerah Xinjiang di Cina dan di peringkat antarabangsa seperti perlakuan bersifat anti-Islam oleh golongan pelampau di pelbagai negara.
Islam tidak mengajar Muslim untuk bersikap pasif, pasrah dan menyerah sahaja dengan kezaliman yang berlaku.
Muslim dibenarkan untuk bertindak balas bagi menghentikan kezaliman dan kejahatan yang berlaku. Namun, Islam juga meletakkan aturan yang perlu dipatuhi agar tindakan yang dibuat tidak bersifat melampau, mengakibatkan mudarat lebih besar atau menghilangkan maslahat lebih penting.
Sebahagian dari aturan-aturan penting ini boleh dirumuskan dari ayat-ayat di atas. - Peraturan pertama ialah sentiasa mendahulukan tindak balas yang aman dan bukan ganas (non-violent) sebagaimana yang dapat difahami dari Al-Anfal: 61-2.
Kededua ayat ini mengajar bahawa Islam sentiasa mengutamakan jalan-jalan yang aman dan bukan ganas.
Hal ini juga sesuai dengan makna pada agama Islam itu sendiri yang datang dari kata dasar “silm” dan “salam” yang bermakna sejahtera dan aman.
Banyak kajian dalam sains politik juga menyimpulkan bahawa tindakan aman dan bukan ganas lebih berkesan dan murah bagi mengubah kezaliman berbanding cara-cara yang ganas dan kekerasan. - Peraturan kedua ialah bertindak mengikut lunas undang-undang sebagaimana yang dapat difahami dari Al-Baqarah: 2:229.
Walau Al-Baqarah: 2:229 menyentuh mengenai pencabulan syariah tetapi aplikasinya tetap relevan dalam konteks sistem undang-undang negara selama ia tidak bercanggah dengan ajaran dan prinsip Islam seperti aturan lalu lintas.
Sifat sekular undang-undang Singapura tidak bermakna seorang Muslim boleh menolak sama sekali undang-undang yang ada atau hidup tanpa mengendahkan sama sekali undang-undang kerana perbuatan yang seperti itu hanya akan mengakibatkan kucar-kacir dalam masyarakat dan tanggapan negatif terhadap umat Islam dan ini adalah mudarat yang besar yang tidak dapat dibenarkan.
Semangat yang sama juga boleh dilihat pada ajaran Islam yang sentiasa mementingkan ketertiban dalam semua perkara hinggakan banyak dari ibadah tidak akan sah jika dilakukan tanpa tertib. - Peraturan ketiga ialah bertindak secara diskriminatif sebagaimana yang dapat difahami dari Al-Maidah: 164 yang menetapkan bahawa hanya seseorang yang melakukan kejahatan sahaja yang boleh dihukum atas perbuatannya.
Menjadikan mereka yang tidak bersalah sebagai sasaran juga atau melakukan hukuman kolektif adalah satu ketidakadilan dan bercanggah dengan tunggak utama ajaran Islam.
Jika dalam perang, Muslim wajib bersifat diskriminatif dalam serangan – tidak boleh serang orang awam dan hanya menyerang kombatan sahaja – menjunjung prinsip ini dalam aksi sivil menjadi lebih penting lagi. - Peraturan keempat ialah bertindak secara proposional sebagaimana yang dapat difahami dari Al-Shura: 40.
Reaksi yang tidak proposional terlarang kerana ia adalah satu pelampauan yang dicela oleh Islam. - Berdasarkan keempat-empat peraturan di atas dapat disimpulkan bahawa tindakan yang tidak ganas bukan semestinya sah di sisi Islam sekiranya ia tidak sejajar dengan undang-undang, tidak diskriminatif dan tidak pula proposional.