Pesanan Dari Al-Quran #62 – Pelajaran Kepimpinan (Khususnya Kepimpinan Rumahtangga)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 2 Disember 2022, di sini.

Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka. Maka wanita yang soleh, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh karena Allah telah memelihara (mereka). Wanita-wanita yang kamu khawatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, dan “pukullah” mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, Maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha besar.” (Al-Nisa’: 34)

“Dan jika seorang wanita bimbang akan nusyuz atau sikap tidak acuh dari suaminya, tidak mengapa bagi kedua-duanya mengadakan ‘sulh’ (pendamaian) yang sebenar-benarnya dan ‘sulh’ itu lebih baik (bagi mereka)” (Al-Nisa’: 128)

Pelajaran

  1. Al-Quran memberitahu bahawa status kepimpinan, otoriti dan ketinggian kedudukan adalah natijah dari penunaian tanggungjawab (nafkah) ke atas orang yang di bawah tanggungjawabnya (Al-Nisa’: 34).

  2. Al-Quran juga mengajar bahawa kuasa/hak datang bersama dengan tanggungjawab yang wajib ditunaikan. Ia bukan percuma dan bukan pula satu keistimewaan (Al-Nisa’: 34).

  3. Al-Quran menyebut dahulu tanggungjawab suami/pemimpin setelah itu baru disebut isteri yang solehah/pengikut yang baik.

    Hal ini mengajar pula konsep kuasa dan kepimpinan dahulu, iaitu kuasa itu diperolehi (earned) dengan menunaikan tanggngjawab dahulu dan bukan hanya menyandang sesuatu jawatan atau kedudukan (Al-Nisa’: 34).

  4. Perhatikan juga, Al-Quran menyebut tanggungjawab dahulu baru timbul soal nusyuz (tidak taat/derhaka) (Al-Nisa’: 34).

    Ertinya, hukum tidak taat hanya berlaku apabila suami/pemimpin sudah tunaikan kewajipannya dengan baik kepada isteri/pengikut.

    Ini juga bermaksud bahawa suami/pemimpin yang diberi kuasa ke atas isteri/pengikut, tidak layak ditaati, jika dia tidak menunaikan tanggungjawapnya dengan baik.

  5. Demikian juga hak/kuasa untuk mendisiplin. Ia datang setelah perintah menunaikan tanggungjawab dahulu oleh suami/pemimpin (Al-Nisa’: 34).

  6. Ayat di atas juga mengingatkan para suami/pemimpin yang berkuasa agar tidak lupa lupa bahawa Allah taala lebih tinggi dan berkuasa. Oleh itu, jangan sombong dengan kuasa yang ada di tangan hingga berlaku zalim terhadap isteri/pengikut dengan tidak menunaikan tanggungjawap ke atas mereka atau mengambil hak-hak mereka (Al-Nisa’: 34).

  7. Al-Quran memberitahu bahawa nusyuz (tidak taat/derhaka) bukan hanya berlaku pada orang bawah apabila tidak mentaati pemimpinnya tapi juga berlaku pada suami/pemimpin apabila mengabaikan hak-hak isteri/pengikut (Al-Nisa’: 128).