Pesanan Dari Al-Quran #66 – Galakan Untuk Bekerja Secara Berjemaah / Berorganisasi (3 Februari 2023)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 3 Februari 2023, di sini.

“Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad – untuk berjuang menentang musuh), mereka sebenarnya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Tangan Allah bersama dengan tangan-tangan mereka (Allah akan bersama dan membantu langsung mereka memberikan taat setia itu). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya, bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar.” (Al-Fath: 10)

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Al-Taubah: 71)

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (Al-Saf: 4)

Pelajaran

1.    Ayat (Al-Fath: 10) diturunkan mengenai Bai`ah Al-Ridwan, iaitu ikrar yang dibuat oleh para sahabat dan Nabi s.a.w di Hudaibiyah sebelum Perjanjian Damai Hudaibiyah antara Nabi s.a.w dan kaum Quraisy Mekah dimeterai.

Ikrar ini dibuat setelah Nabi s.a.w mendapat berita bahawa Usman yang diutus oleh beliau ke Mekah untuk berbincang bagi membolehkan beliau dan sekalian sahabat yang bersama-samanya untuk menziarahi Kaabah dan menunaikan umrah telah dibunuh oleh Quraisy. Nabi s.a.w lalu mengajak para sahabat untuk berikrar membela kematian Usman dan tidak akan kembali ke Madinah sehingga hasrat ini tercapai.

Namun ikrar ini kemudiannya tidak dilaksanakan kerana berita pembunuhan Usman r.a tidak benar. Beliau hanya ditahan hingga menyebabkan dia tidak dapat kembali kepada Nabi s.a.w. Usman r.a akhirnya kembali kepada Nabi s.a.w dengan selamat.

Allah taala menurunkan ayat ini memuji perbuatan Nabi s.a.w dan para sahabat yang menunjukkan komitmen bersama atau kesepakatan untuk melaksanakan misi atau tugas yang dipuji agama seperti membela insan yang dizalimi.

2.    Ayat berkaitan Bai`ah Al-Ridwan ini menjadi salah satu dalil bahawa Islam menggalakkan Muslim melakukan kerja-kerja kebaikan atau dakwah secara berjemaah atau berkumpulan. Dalam konteks masa kini, ia juga merujuk pada kerja dalam organisasi.

3.    Walaupun kerja kebaikan/dakwah boleh dilakukan oleh individu secara sendirian dan tetap mendapat pahala dari Allah taala, tapi melakukannya secara berjemaah/berorganisasi lebih disukaiNya.

Hal ini dapat dilihat dari frasa, “tangan Allah bersama tangan-tangan mereka” – satu pernyataan komitmen langsung dari Allah taala untuk bersama kerja berjemaah dan ganjaran besar bagi mereka yang terlibat dalam usaha sebegini (Al-Fath: 10).

Maksud yang sama juga boleh didapat dari ayat Al-Taubah: 71 yang mana Allah taala memuji orang-orang beriman yang saling bekerjasama untuk, “mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya…” dan juga ayat Al-Saf: 4 yang mengibaratkan mereka seperti susunan batu bata yang menyebabkan bangunan menjadi kukuh.

4.    Hal ini juga dapat disokong dari hakikat bahawa berdakwah secara berjemaah adalah sunnah para anbiya’;
– Nabi Isa a.s bersama Hawariyun (Al-Saf: 14)
– Nabi Musa a.s.  bersama Nabi Harun a.s. (Taha: 29-32) dan 70 pengikut pilihan (Al-A`raf: 155)
– Nabi Muhammad s.a.w bersama para sahabat r.a. (Al-Fath: 18)

5.    Keutamaan bagi kerja berjemaah juga dapat difahami secara rasional, iaitu usaha dakwah yang sememangnya sukar dan mencabar pasti memerlukan usaha kolektif untuk lebih berjaya dari usaha individu-individu secara sendiri-sendiri.

Kajian-kajian mengenai gerakan sosial juga mengakui kelebihan kerja berjemaah dalam mencetus perubahan berbanding usaha individu.

Logik juga menetapkan jika para anbiya’ yang lebih dijamin bantuan Allah taala melakukan dakwah secara berjemaah, pastinya Muslim biasa lebih patut untuk mengamalkannya juga.



6.            Adalah diakui kerja berjemaah mempunyai “kerenah” tersendiri, iaitu perbezaan pendapat di kalangan ahli-ahli yang rencam, keperluan pada birokrasi yang boleh menghambat kelancaran gerak kerja dan kesukaran dalam membuat keputusan.

Allah taala menyedari hal ini. Maka sebab itu juga Allah taala menjanjikan rahmat (Al-Taubah: 71) dan cintaNya (Al-Saf: 4) bagi mereka yang sanggup bersabar dengan sedikit kelecehan kerja berjemaah dan mengenepikan keselesaan yang terdapat pada kerja bersendirian.

Seorang Muslim harus sentiasa mendamba rahmat Allah taala dan di mana rahmat itu ada, di situlah dia akan berusaha untuk berada. Dia akan lebih melapangkan masa untuk menyumbang tenaga bagi dakwah secara berjemaah dari usaha peribadi sahaja.