Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 17 Februari 2023, di sini.
“Ada sesetengah manusia yang menyebabkan engkau tertarik hati kepada tutur katanya semasa hidup di dunia dan dia mempersaksikan kepada Allah akan apa yang ada di dalam hatinya sedangkan dia sebesar-besar musuh.” (Al-Baqarah: 204)
“Dan apabila ia berpaling (dari kamu), ia berjalan di bumi untuk mengadakan kerusakan padanya, dan merusak tanam-tanaman dan binatang ternak, dan Allah tidak menyukai kebinasaan.” (Al-Baqarah: 205)
“Dan dia [Iblis] bersumpah kepada keduanya [Adam dan Hawa]: Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua.” (Al-A`raf: 21)
“Dengan sebab itu dapatlah dia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) syurga. Tuhan mereka menyeru mereka: Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu dan Aku katakan kepada kamu, bahawa syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?” (Al-A`raf: 22)
Pelajaran
1. Ayat Al-Baqarah: 205-5 memberitahu Nabi s.a.w agar berhati-hati tentang segolongan manusia yang wujud di dalam masyarakat di zamannya. Mereka ini sanggup bersumpah dan menjadikan Tuhan sebagai saksi bahawa kata-kata dan pendapat mereka adalah baik atau bertujuan baik (Al-Baqarah: 204), sedangkan yang sebenarnya ialah sebaliknya (Al-Baqarah: 205).
2. Maksud yang sama juga dapat difahami dari ayat Al-A`araf: 21-22 yang menceritakan tingkah laku Iblis ketika ingin menipu Adam dan Hawa hingga menyebabkan mereka melanggar larangan Allah taala.
Iblis menyamar sebagai seseorang yang memberi nasihat dan bersumpah atas nama Allah taala bahawa niatnya ialah baik hingga berjaya mempengaruhi Adam dan Hawa.
3. Dalam konteks hari ini, ayat-ayat ini menganjurkan sikap hati-hati terhadap apa jua idea, retorik, slogan dan produk jualan yang disampaikan atas nama agama atau Allah taala kerana ia mungkin hanya satu penipuan oleh golongan yang menggunakan label dan jenama agama untuk kepentingan peribadi atau mengajak kepada kesesatan.
4. Al-Quran mengajar mengajar Muslim agar berfikiran kritikal dan jangan mudah dipengaruhi oleh kehebatan kata-kata, idea, retorik atau slogan, sedangkan ia tidak disandari oleh hujah yang benar.
5. Muslim juga jangan mudah menerima sesuatu dari seseorang hanya kerana penampilan dan latarbelakangnya sahaja.
Bahkan bersumpah dengan nama Allah pun belum tentu menjamin kebenaran sesuatu dakwaan dan keikhlasan serta kejujuran seseorang (Al-Baqarah: 204, Al-A`raf:21).
6. Sikap yang betul bagi seorang Muslim dalam mencari dan mengenalpasti apa yang tulen dari agama berbanding idea, retorik dan slogan yang berjenama Islam yang palsu ialah degan dengan menguji perkara-perlara itu dengan hujah-hujah yang bernas, iaitu meminta mereka yang mendakwa idea-idea dan produk itu untuk memberi hujah sokongan dari Al-Quran, hadis-hadis Nabi s.a.w dan tafsiran para ulama yang muktabar yang menyokong dakwaan itu.
Ayat-ayat Al-Quran dan pendapat ulama yang disampaikan pula hendaklah diperiksa bahawa ia benar-benar wujud pada rujukan yang berwibawa kerana sesiapa pun boleh dakwa ada ayat Al-Quran dan hadis yang bermaksud begitu dan begini atau menukil kata-kata ulama dalam kitab-kitab tertentu sedangkan ayat Al-Quran dan hadis yang dimaksudkan tidak ada, atau hadis itu terlalu lemah dan tertolak atau tukilan ulama itu tidak wujud pada kitab yang dinyatakan atau nama kitab yang disebut pun tidak pernah ada dalam khazanah ilmu Islam.
Paling kurang perkara itu hendaklah ditanyakan kepada beberapa alim agama yang lain untuk kepastian, dan tidak diterima begitu sahaja.
7. Muslim diperingatkan bahawa kelekaan dalam bersikap kritikal terhadap pendakwa kebenaran mempunyai natijah yang serius terhadap kesolehan dan imannya, iaitu terpesong ke jalan kerosakan hingga memudaratkan diri (Al-Baqarah: 205) dan melanggar perintah Tuhan (Al-A`araf: 21).