Pesanan Dari Al-Quran #68 – Perumpamaan-perumpamaan Dalam Al-Quran (3 Mac 2023)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 3 Mac 2023, di sini.

“Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu (tumbuhlah dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang bercampur-aduk dan berpaut-pautan (pokok-pokok dan pohonnya) dengan sebab air itu hingga apabila bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni) dan penduduknya pun menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman serta menguasainya (mengambil hasilnya) datanglah perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari lalu Kami jadikan ia hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya).” (Yunus: 24)

“Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: Kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit.” (Ibrahim: 24)

“Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).” (Ibrahim: 25)

“Dan bandingan Kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup.” (Ibrahim: 26)

“Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri) dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.” (Ibrahim: 27)

Pelajaran

1.    Ayat-ayat di atas merupakan contoh ayat-ayat Al-Quran yang menggunakan perumpamaan-perumpamaan (mathal) untuk menyampaikan pesanan-pesanan tertentu kepada manusia.

Terdapat banyak ayat-ayat yang sebegini dan terdapat pelbagai perumpamaan dalam Al-Quran untuk renungan dan pelajaran bagi manusia.

2.    Perumpamaan adalah cara penyampaian sesuatu idea melalui cara tidak langsung atau kiasan. Tujuan penggunaannya ialah untuk mengajak manusia berfikir kerana dengan menggunakan perumpamaan manusia akan terdorong untuk mencari makna yang tersirat.

Hal ini membuktikan bahawa Al-Quran adalah satu kitab yang menganjurkan Muslim untuk berfikir dengan mendalam, bukan hanya memahami apa yang tersurat sahaja atau secara dangkal (superficial) apatah lagi untuk dibaca sahaja.

Bahkan ini perlu diterapkan pada seluruh ayat-ayat Al-Quran, bukan hanya untuk memahami ayat-ayat perumpamaan kerana hakikatnya setiap ayat Al-Quran seperti perumpamaan. Ia mempunyai makna yang dalam kerana ia mengandungi ilmu Allah yang amat luas. Sebab itu Al-Quran tidak boleh difahami hanya pada makna literal atau secara “straight forward”.

3.    Kewujudan perumpamaan juga ialah untuk membangkitkan minat manusia pada idea yang hendak disampaikan. Kesamaran pada maksud permintaan menimbulkan rasa ingin tahu manusia untuk mengkaji dan mencari makna disebaliknya.

Ini adalah satu pendekatan mengajar dan belajar yang menarik dan merangsang akal. Guru-guru digalakkan untuk menggunakan teknik mengajar sebegini.

4.    Perumpamaan juga satu contoh akan wujudnya unsur-unsur kreatif dalam Al-Quran dan ini memberitahu Muslim bahawa Al-Quran tidak menolak pemikiran kreatif, bahkan mengakui kegunaannya dalam mempengaruhi manusia.

Mengaitkan sesuatu idea yang abstrak dengan sesuatu benda yang konkrit secara kreatif memudahkan manusia untuk faham dan ingat akan idea itu. Ia sama seperti cara komunikasi yang digunapakai bagi menambah keberkesanan iklan-iklan komersial masa kini.

5.    Perumpamaan dalam Al-Quran juga menjadi bukti bahawa Al-Quran memang dikarang oleh Allah taala sebagai kitab yang terbuka kepada pelbagai tafsiran.

Kesamaran pada maksud sebenar sesuatu perumpamaan bermakna akan pasti ada perbezaan tafsiran baginya.

Tidak semua tafsiran-tafsiran yang berbeza itu benar, tapi tidak juga bermakna hanya satu tafsiran sahaja yang mesti betul. Tafsiran yang salah perlu ditolak, tapi berbeza bukan mesti salah. Ada perbezaan yang perlu diterima dan dihormati kerana ia adalah sesuatu yang memang dikehendaki oleh Al-Quran itu sendiri.

6.    Memang diakui, penyelewengan boleh berlaku jika manusia dibiarkan berfikir mendalami makna-makna Al-Quran tanpa batas.

Menyedari hal ini, para ulama sejak dahulu lagi telah membangun prinsip dan kaedah untuk mentafsir Al-Quran. Prinsip dan kaedah ini dibangunkan sesuai dengan panduan dari Al-Quran dan contoh dari Nabi s.a.w bagi memastikan proses berfikir yang bermetodologi, bukan untuk menghalang kreativiti, menggalakkan fahaman literal atau menekan intelek.

Perlu difahami bahawa para ulama berbeza dalam mentafsirkan ayat-ayat Al-Quran, walaupun mengggunakan ilmu metodologi tafsir yang sama dan mereka saling menghormati antara satu sama lain.

Maka yang membezakan tafsiran yang salah dan benar ialah metodologi yang digunapakai, bukan perbezaan pada idea.

7.    Kesemua nota di atas juga memberi pelajaran kepada dakwah, iaitu;

– kebenaran tidak mesti disampaikan secara “straight forward”
– dakwah mesti menggalakkan berfikir secara mendalam, bukan berpada dengan yang tersurat sahaja
– dakwah perlu ada unsur-unsur kreatif bagi menarik minat dan merangsang minda, bukan “kering”
– dakwah hendaklah menggunakan pelbagai pendekatan untuk kesan maksima
– dakwah hendaklah menerima perbezaan pendapat dalam memahami Al-Quran.