Pesanan Dari Al-Quran #7 – Tawakal dan Usaha

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 4 September 2020, di sini. 

“…bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” (Al Imran: 159)

“Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya).” (Yusuf: 47-9)

 “Dan ia berkata lagi: “Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk (ke bandar Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan. Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan sesuatu (sebab dan musabab) itu hanya tertentu bagi Allah. KepadaNyalah aku berserah diri, dan kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri”.” (Yusuf: 67)

 “…dan hendaklah dia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar); dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu. Sesungguhnya, kalaulah mereka mengetahui hal kamu, tentulah mereka akan merejam dengan membunuh kamu atau mereka akan mengembalikan kamu kepada agama mereka (secara paksa) dan jika berlaku demikian, kamu tidak sekali-kali akan berjaya selama-lamanya.” (Al-Kahf: 19-20)

Pelajaran

  1. Ayat Al Imran: 159 memberitahu perintah Allah taala kepada Rasulullah s.a.w tentang bagaimana mengurus masalah-masalah masyarakat dan berurusan dengan para sahabatnya. Ini ini dilakukan dengan menilai dengan saksama segala faktor yang berkaitan untuk membuat keputusan (berazam) sebelum bertawakal kepada Allah taala.

  2. Ayat Yusuf: 47-9 menceritakan tafsiran mimpi raja Mesir oleh Nabi Yusuf a.s.. Mimpi itu memberitahu raja agar bersiap-siap menghadapi musim kemarau yang buruk yang akan berlaku di Mesir. Untuk itu, dia hendaklah berjimat apabila menggunakan segala tuaian tahunan dan menyimpannya untuk persiapan kemarau yang panjang. Ayat ini menjadi panduan bagi Muslim tentang kepentingan mengurus risiko dan persiapan bagi krisis yang mendatang.

  3. Ayat Yusuf: 67 menceritakan nasihat Nabi Yaakob kepada anak-anaknya yang akan berangkat ke Mesir untuk mendapat bekalan makanan bagi keluarga mereka yang sedang alami musim kemarau yang sulit. Mereka hendaklah berpecah kepada beberapa kumpulan dan memasuki Mesir dari pintu-pintu yang berbeza bagi mengurangkan risiko mudarat berlaku ke atas mereka semua jika berlaku musibah. Dengan itu, paling kurang sebahagian dari mereka masih boleh kembali dengan bekalan makanan yang diperlukan.

  4. Ayat Al-Kahf: 19-20 menceritakan tentang penghuni gua (Ashab Al-Kahf) setelah terbangun dari tidur yang lama. Apabila salah seorang dari mereka ditugaskan pergi ke kota bagi mengintai keadaan di sana dan membeli makanan untuk mereka semua, dia dinasihatkan agar mengambil langkah berjaga-jaga dan berselindung agar tidak dikenali bagi mengelak dari ditangkap oleh raja yang zalim hingga menyebabkan mereka semua bakal disiksa agar meninggalkan iman kepada Allah.

  5. Kesemua ayat-ayat ini memberi rumusan bahawa tawakal, a) bukan bermaksud berserah tanpa usaha walau pun jika seseorang itu beriman bahawa Allah adalah Tuhan Yang Maha Perkasa dan Berkuasa untuk melindungi hamba-hambaNya, dan b) tidak menafikan keperluan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dari bahaya walau pun pada ketika ia ingin melakukan perkara baik dan benar, sebagaimana sabda Nabi s.a.w kepada pemilik unta, “Ikat (unta kamu) kemudian bertawakallah.” (Riwayat Al-Turmuzi)

  6. Ayat-ayat ini mengisahkan tentang insan-insan soleh di sisi Allah taala. Oleh itu, ia memberi pengajaran tentang tawakal yang tepat kerana tidak mungkin apa yang mereka lakukan itu menyalahi tawakal yang dianjurkan Tuhan.

  7. Oleh itu, berserah kepada Tuhan bukan bermaksud berserah kepada iradah (kehendak)Nya semata-mata. Ia juga bermaksud berserah kepada hukum alam (proses sebab dan musabab) yang telah Allah taala wujudkan yang dapat diketahui melalui pemerhatian dan kajian kerana ketentuan Allah taala (takdir) tidak berlaku secara rambang (random) atau magik, walau pun ia tidak mustahil di sisiNya.

  8. Muslim hendaklah faham bahawa kehendak dan ketentuan Allah taala berlaku melalui proses sebab dan musabab yang tercapai melalui usaha manusia. Maka manusia yang lapar perlu menyuap makanan yang ada di hadapannya, bukan melihat atau dan berserah sahaja agar Allah menghilangkan kelaparannya. Hinggkan berdoa dan solat pun tidak akan menghilangkan lapar, tanpa usaha menyuapkan makanan ke mulut.

  9. Tidak dinafikan, perkara di luar kebiaasaan berlaku dan harus di sisi Allah, tetapi ia bukan hukum asasi untuk dijadikan sandaran.