Pesanan Dari Al-Quran #70 – Al-Quran Memberi Nilai Kepada Pengetahuan Yang Terperinci (7 April 2023)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 7 April 2023, di sini.

“Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala sesuatu.” (Al-Taghabun: 11)

“Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dialah sahaja dan Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Luh Mahfuz) yang terang nyata.” (Al-An`am: 59)

Pelajaran

1.    Ayat-ayat di atas memberitahu tentang sifat Allah, iaitu Yang Maha Mengetahui. Ayat pertama berbicara tentang sifat itu secara umum. Yang kedua itu pula memperincikan sifat Maha Mengetahui itu.

2.    Hakikatnya, ayat pertama memadai untuk memberitahu manusia akan sifat Maha Mengetahui Allah taala yang menyeluruh.

Frasa “Allah Maha Mengetahui segala sesuatu” sudah memberi maksud segala perkara baik kecil atau besar dalam pengetahuan Allah taala dan tiada yang tersembunyi dariNya, walaupun satu bakteria di dalam bumi yang gelap.

3.    Pastinya ayat kedua diwahyukan dengan tujuan tertentu kerana tiada sesuatu dalam Al-Quran yang wujud tanpa hikmah untuk difikirkan.

4.    Satu hikmah yang dapat dirumuskan dari ayat kedua ialah Allah taala memberi perhatian terhadap maklumat yang terperinci.

Ini pula bertujuan untuk memberitahu Muslim akan nilai dan kepentingan mengetahui perincian sesuatu perkara.

Jika Allah taala memberi perhatian pada maklumat terperinci, Muslim sebagai manusia yang lemah lebih utama lagi.

5.    Maklumat terperinci amat berguna kerana ia;

a) membolehkan penghasilan produk atau inisiatif yang berkualiti
b) memudahkan proses bagi menyelesaikan sesuatu masalah atau membaiki sesuatu perkara dan keadaan
c) membantu menjangka masa depan bagi membolehkan langkah-langkah untuk mencegah ancaman atau memanfaatkan peluang
d) mengetahui dengan lebih baik kekuatan dan kelemahan diri untuk dimanfaatkan dan ditangani
e) mewujudkan kelebihan persaingan (competitive advantage) bagi diri ke atas yang lain.

6.    Badan dakwah perlu beri perhatian pada maklumat terperinci kerana ia satu anjuran dalam Al-Quran disamping membantu untuk menghasilkan dakwah yang lebih bermutu, berkesan dan berdaya saing.

7.    Namun maklumat terperinci tidak datang secara bergolek. Usaha perlu dikerah untuk mendapat dan mengumpulkannya. Ini pula memerlukan sumber tenaga, masa dan wang.

Ramai Muslim dan banyak badan dakwah yang mengabaikan maklumat terperinci kerana anggap usaha mengumpulkannya adalah leceh dan bersikap lokek pula untuk mengenepikan bajet untuknya.

Sikap ini mesti diubah kerana ia tidak sejajar dengan ayat-ayat di atas dan merugikan individu dan dakwah. Maklumat terperinci adalah modal yang perlu. Ia menjadi tidak berguna jika individu dan badan dakwah tidak tahu bagaimana memanfaatkannya, bukan kerana ia adalah sesuatu yang sia-sia.

8.    Sememangnya ilmu manusia tidak akan pernah sempurna, tapi ini tidak bermakna Muslim boleh bersikap tidak acuh terhadap perincian dalam perkara-perkara yang amat relevan bagi diri dan dakwah.

Menjadikan ketidaksempurnaan pengetahun manusia sebagai alasan memberi perhatian pada maklumat terperinci, sama seperti mempersoalkan keperluan belajar setinggi mungkin; Adakah patut Muslim berhenti belajar kerana setinggi mana pun dia belajar, ilmunya tetap tidak sempurna? Jawapannya pastilah tidak!