Pesanan Dari Al-Quran #73 – Adab Berbicara – Hendaklah Bersuara Rendah (19 Mei 2023)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 19 Mei 2023, di sini.

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan setengahnya yang lain. (Larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya.” (Al-Hujurat: 2)

“Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.” (Luqman: 19)

Pelajaran

  1. Al-Hujurat: 2 diturunkan sebagai teguran ke atas beberapa sahabat yang berbicara sesama mereka di hadapan Nabi s.a.w dengan suara yang lantang dan tinggi hingga menyebabkan beliau rasa tidak selesa.

  2. Luqman: 9 pula adalah antara nasihat Luqman kepada anaknya tentang akhlak yang baik yang perlu ada diri seorang hamba Allah di muka bumi ini.

  3. Kedua-dua ayat ini mengandungi pelajaran tentang adab apabila berbicara bagi Muslim, iaitu hendaklah berbicara dengan suara yang rendah dan jauhi nada tinggi dan lantang apabila berbicara sesama individu atau di hadapan orang lain.

    Walaupun bicara dengan suara lantang mungkin tidak bermasalah bagi pihak-pihak yang terlibat, tapi ia perlu dijauhi juga apabila dihadapan orang lain kerana boleh menggangu keselesaan mereka. Tambahan pula bersuara rendah dianggap satu etika universal yang baik yang perlu diakur oleh Muslim bagi menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat lain.

  4. Islam tidak suka Muslim berperangai “loudmouth” (memekak) kerana ia tidak sopan bagi ramai orang dan mengganggu keselesaan. Perkara ini dianggap serius berdasarkan hukuman yang Al-Quran kenakan kepada kelakuan ini (Al-Hujurat: 2) dan pelakukan diibaratkan pula seperti keldai (Luqman: 19).

    Muslim yang baik hendaklah jauhi perangai buruk ini, apatah lagi sengaja melakukannya untuk tujuan menonjolkan diri di tempat awam.

    Pengecualian ialah pada mereka yang memang secara tabi`ii dikurniakan dengan suara yang bernada tinggi (high pitch voice). Mereka ini tidak tercela kerana nada suaranya bukan pilihannya. Namun, dia hendaklah berusaha juga agar tidak meninggikan suaranya tanpa keperluan.

  5. Muslim juga hendaklah menjaga gaya dan nada bicara, iaitu bersuara rendah dalam situasi;
    a) mesyuarat, khususnya ketika membincangkan isu-isu yang hangat dan kontroversi
    b) berbual di telefon bimbit atas bersama kawan dengan suara kuat di dalam MRT, bas, kapalterbang  atau ketika beratur
    c) terlalu lantang bersorak ketika menyaksikan pertandingan.

  6. Pelajaran di atas relevan juga bagi konteks komunikasi dalam talian walaupun pada hakikatnya ia satu komunikasi tanpa suara.

    Semangat dari ayat-ayat ini hendaklah diterapkan juga dalam tingkah laku Muslim ketika berkomunikasi di alam maya, iaitu jauhi dari gaya komunikasi yang pada norma di alam maya bersifat “loud” (lantang) dan mencetus ketidakselesaan kepada orang lain.

  7. Islam adalah agama yang amat mementingkan adab dan kesopanan hingga dalam soal nada suara pun ada panduan untuk Muslim.

    Atas semangat itu juga, Muslim hendaklah berusaha sebaik mungkin untuk sentiasa menjaga adab dan kesopanan agar dapat menunjukan contoh yang baik kepada orang lain.

  8. Intipati dari larangan bersuara lantang ketika berbicara ialah untuk elak melakukan gangguan (nuisance) dan perkara yang menjengkelkan (annoyance) di hadapan orang lain.

    Ertinya juga, Muslim hendaklah elak dari menjadi sumber pada gangguan dan kejengkelan kepada orang lain. Ini disokong oleh hadis, “Muslim [yang baik] ialah seorang yang Muslim lain terselamat dari kejahatan lidah dan tangannya.” (Riwayat Al-Bukhari).

    Walaupun hadis ini bicara tentang soal hubungan sesama Muslim, tapi pelajarannya diterapkan juga dalam konteks hubungan dengan semua orang.