Pesanan Dari Al-Quran #74 – Panduan Tentang Menerima dan Menyebarkan Berita dan Maklumat (2 Jun 2023)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 2 Jun 2023, di sini.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Al-Hujurat: 6)

Pelajaran

1.    Ayat ini membicarakan tentang etika yang perlu diamalkan oleh Muslim apabila menyebar atau menerima berita dan maklumat.

2.    Walaupun ayat ini bicara tentang berita yang dibawa oleh seorang yang fasik (jahat), aplikasinya berlaku kepada semua pembawa berita, tanpa kira samada dia seorang yang soleh atau tidak dikenali.

3.    Ayat ini memerintah seorang Muslim untuk memastikan kebenaran berita/maklumat yang diterima sebelum mempercayainya atau menyebarkannya kepada yang lain. Hal ini kerana mempercayai berita/maklumat yang pasti kebenarannya boleh menyebabkan seseorang menimpakan mudarat kepada orang lain tanpa disedari seperti memandang serong dan berburuk sangka terhadapnya.

4.    Jika memastikan kebenaran berita/maklumat yang diterima adalah sesuatu yang sangat dianjurkan agama, logik menetapkan bahawa perkara yang sama juga perlu diamalkan bagi sesiapa yang ingin berkongsi atau menyebarkan berita/maklumat kerana akibat dari kesilapan dalam penyebaran berita/maklumat kepada orang lain lebih besar dari kesilapan menerima berita/maklumat tanpa selidik.

Dengan ini juga, boleh difahami bahawa Muslim dilarang dari berkongsi berita/maklumat yang belum pasti benar.

5.    Jika menyebarkan berita/maklumat yang belum pasti benar dilarang agama, bolehlah dirumuskan pula bahawa menyebarkan berita/maklumat yang diketahui kepalsuannya dengan sengaja lebih tercela di sisi Islam.

6.    Hukum seorang Muslim sengaja menyebarkan berita yang diketahui bohong atau fitnah ke atas orang lain adalah haram, walaupun dia bukan pembuat berita itu. Dia dianggap telah melakukan fitnah seperti pembuat asal fitnah itu. Dia wajib bertaubat, hentikan penyebaran berita atau menarik balik sebaran yang telah dilakukannya.

7.    Ayat ini memerintah agar berita/maklumat dari seorang yang fasik diselidiki dahulu, bukan terus ditolak. Hal ini adalah kerana berita itu mungkin benar kerana seorang yang fasik bukan bermakna dia seorang pembohong. Kalau pun dia seorang yang yang dikenali pembohong, bukan bermakna pula berbohong setiap kali menyampaikan berita/maklumat. Kemungkinan bahawa dia bercakap benar ketika menyampaikan berita itu tetap ada. Oleh itu, jangan cepat berprejudis terhadapnya.

Hal ini juga mengajar Muslim agar menjauhi prejudis walaupun terhadap seorang yang tidak soleh. Dia jangan terus dihukum “tidak boleh pakai bila bercakap”. Yang lebih baik ialah untuk selidik dahulu berita/maklumat yang diberi.

Dengan ini, ayat ini juga memberi panduan kepada Muslim bagaimana hadapi sumber-sumber maklumat/berita yang diragui kewibawaannya; Jangan terus tolak berita/maklumat dari sumber sebegini, tapi kaji dahulu dengan merujuk sumber-sumber lain.

Sikap sebegini adalah baik kerana ia membolehkan Muslim mendapat manfaat ilmu dan maklumat dari sumber-sumber yang lebih luas, bukan sumber-sumber yang sesuai dengan “selera”nya sahaja.

8.    Perlu difahami bahawa kesilapan dalam menerima dan menyebarkan berita/maklumat salah bukan hanya persoalan haram atau halal, tapi ia membabitkan persoalan undang-undang yang mana pelakunya berisiko untuk didakwa atas tuduhan menyebarkan berita/maklumat palsu di bawah Protection of Online Falsehood and Manipulations Act atau dikenakan dakwaan jenayah atau saman sivil kerana memfitnah.

9.    Seorang Muslim yang bersembunyi disebalik identiti palsu dalam alam maya dan menyebarkan berita/maklumat palsu yang memudaratkan individu atau masyarakat mungkin terselamat dari tindakan pihak berkuasa, tapi sedarilah bahawa Allah taala Maha Mengetahui dan Dia pasti akan menghisab dan menghukum perbuatan jahat itu baik bukan hanya di Akhirat, tapi di dunia juga.

10.  Pelajaran yang dapat diambil dari ayat ini yang dihuraikan di atas berguna juga untuk digunakan sebagia panduan bagi karyawan dalam bidang kajian akademik, media dan mungkin lain-lain juga.