Pesanan Dari Al-Quran #77 – Jauhi Bersangka-sangka (Zon) Yang Dilarang (21 Julai 2023)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 21 Julai 2023, di sini.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa….” (Al-Hujurat: 12)

“….tidak menurut melainkan sangkaan-sangkaan dan apa yang diingini oleh hawa nafsunya. Padahal demi sesungguhnya telah datang kepada mereka petunjuk dari Tuhan mereka.” (Al-Najm: 23)

“…Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-mata, padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad).” (Al-Najm: 28)

Pelajaran

  1. Ayat-ayat di atas melarang Muslim agar menjauhi sangkaan buruk terhadap sesiapa (Al-Hujurat: 12) dan tidak berpegang pada sesuatu berdasarkan sangka-sangka (Al-Najm: 23, 28).

  2. Menyimpan sangkaan buruk perlu dijauhi kerana ia boleh membuka pintu dosa iaitu memandang serong atau berprejudis terhadap seseorang tanpa bukti. Pandangan serong ini pula, jika tidak dikikis dengan segera, boleh mendorong untuk mengumpat, bergosip, memfitnah dan menyebarkan khabar angin yang melibatkan maruah orang lain, baik dengan menggunakan lidah di alam realiti atau menggunakan jari jemari di alam maya di media sosial hari ini.

    Akibat mudarat dari buruk sangka bukan hanya ia boleh mendatangkan dosa, tapi juga boleh menatijahkan seseorang itu berhadapan tindakan undang-undang atas kesalahan jenayah atau saman malu kerana memfitnah dan menyebarkan maklumat palsu.

  3. Al-Quran melarang manusia dari mempercayai sesuatu berdasarkan sangkaan dan andaian-andaian semata-mata.

    Ertinya, manusia hendaklah mengasaskan segala ilmu, khususnya ilmu-ilmu yang penting seperti iman kepada Tuhan, akhlak dan ibadah berdasarkan bukti yang kukuh.

  4. Perlu difahami bahawa ayat-ayat di atas bukan satu hujah bagi menolak sama sekali penggunaan sangkaan dan wajib berpegang pada ilmu yang kebenarannya bersifat mutlak. Fahaman sebegini boleh menjurus pada sikap yang anti sains dan hanya menerima kebenaran yang berdasarkan wahyu semata-mata kerana dinilai kebenaran tulen, sebagaimana yang pernah di alami oleh dunia Kristian satu masa dahulu.

  5. Sangkaan yang dilarang ialah sangkaan yang tidak mempunyai asas atau bukti sama sekali. Sangkaan yang berbukti yang dirumuskan secara metodologi, sebagaimana kebanyakan kajian dan penemuan sains moden, dibenarkan untuk digunapakai kerana manusia memang tidak dicipta oleh Allah taala untuk mempunyai akal yang tidak sempurna. Maka, kebenaran ilmunya selalu bersifat spekulatif, bukan mutlak/absolut.

  6. Jika semua sangkaan (maklumat bersifat spekulatif) ditolak kerana ia anjuran Al-Quran, umat Islam silam pasti tidak mencapai kemajuan ilmu yang tinggi dalam segala bidang, baik bidang agama, sains tulen atau sains sosial, hingga menjadi peneraju tamadun manusia selama beberapa kurun.

  7. Selain itu, menolak semua sangkaan juga akan melumpuhkan sistem keadilan kerana tidak banyak hukuman yang akan dapat dilaksanakan berdasarkan kebenaran mutlak.

    Ramai manusia akan kehilangan hak yang dituntut kerana tiada bukti yang seratus peratus benar. Ramai penjenayah pula terlepas dari hukuman kerana bukti-bukti tidak diterima kerana berunsur spekulatif, bukan kebenaran mutlak. Ini pula akan menjejas kesejahteraan kehidupan masyarakat.

  8. Al-Quran itu sendiri adalah kitab yang disusun oleh Allah taala dengan ayat-ayat yang terbuka kepada pelbagai tafsiran yang bersifat spekulatif (andaian) dengan tujuan agar manusia dapat mengkaji dan berfikir dan melalui proses itu, menjana pelbagai pendapat yang akan mengkayakan maklumat dan pengetahuan. Keterbukaan pada tafsiran dan kepelbagaian pendapat yang terhaasil darinya pula menjadikan Islam agama yang anjal bagi disesuaikan dengan pelbagai masa dan tempat.

  9. Terdapat kesejajaran antara Al-Quran dan sains moden pada prinsip yang membolehkan penggunaan bukti-bukti dan dapatan spekulatif dan tidak perlu bersifat absolut dalam semua perkara selama mana darjah spekulasinya tidak bersifat rambang.