Pesanan Dari Al-Quran #81 – Mengungkit-ungkit Sumbangan Dalam Dakwah (15 September 2023)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 15 September 2023, di sini.

“Mereka mengira dirinya berbudi kepadamu (wahai Muhammad) dengan sebab mereka telah memeluk Islam. Katakanlah (kepada mereka): Janganlah kamu mengira keislaman kamu itu sebagai budi kepadaku, bahkan (kalaulah sah dakwaan kamu itu sekalipun maka) Allah jualah yang berhak membangkit-bangkitkan budiNya kepada kamu, kerana Dialah yang memimpin kamu kepada iman (yang kamu dakwakan itu), kalau betul kamu orang-orang yang benar (pengakuan imannya).” (Al-Hujurat: 17)

“Sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia langit dan bumi dan Allah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan.” (Al-Hujurat: 18)

Pelajaran

  1. Ayat-ayat di atas diturunkan sebagai teguran ke atas beberapa ketua kabilah Arab yang bermegah diri dengan sumbangan yang mereka berikan kepada Islam melalui kemuliaan status kabilah mereka di mata kaum Arab di zaman itu serta kekuatan harta dan ketenteraan hingga merasa bahawa Nabi s.a.w telah terhutang budi dengan mereka.

  2. Kandungan dan kisah disebaliknya memberi peringatan kepada Muslim yang aktif dalam usaha dakwah agar beringat-ingat apabila ingin menonjolkan sumbangan yang telah dibuat kepada dakwah di khalayak awam agar tidak jatuh dalam kesilapan kabilah Arab yang dicela, iaitu mendabik dada tinggi hingga menyangka dakwah telah terhutang budi kepada dirinya.

  3. Al-Hujurat: 17 memberitahu sikap yang betul bagi Muslim yang telah dan mahu menyumbang di jalan Allah taala ialah yang sebaliknya, iaitu bersyukur kepada Allah taala yang membolehkan sumbangan itu hingga dapat pula menjadi saham untuk kehidupannya di Akhirat kelak.

    Hal ini kerana penglibatan Muslim dalam dakwah mungkin tidak tercapai tanpa hidayah dari Allah taala. Hidayah dari Allah taala telah menggerakkan iman dan dorongan untuk Muslim membuat sumbangan sedangkan di sana terdapat banyak perkara-perkara keduniaan lain yang boleh dilakukan seperti mengisi masa dan salurkan tenaga serta wang kepada hobi bersukan, bersosial dan memelihara haiwan.

    Selain hidayah, Allah taala juga memberi kekuatan untuk kekal menyumbang dalam kerja-kerja dakwah walau berhadapan dengan cabaran.

  4. Dari perspektif ini, setiap aktivis dakwah sebenarnya termakan budi kepada Allah taala selaku “boss” bagi kerja dakwah kerana telah memilihnya untuk menyumbang pada agamaNya sedangkan Allah taala boleh memilih dan beri hidayah kepada orang lain sebagaimana yang difirmankan dalam banyak ayat-ayat Al-Quran seperti Al-Nisa: 133, Al-Maidah: 54, Ibrahim: 1920 dan Muhammad: 38.


  5. Hal ini tidak bermakna Muslim tidak boleh menyebut-nyebut sumbangannya di jalan dakwah. Al-Quran membenarkan Muslim mewar-warkan amal kebaikannya ke khalayak ramai (Al-Baqarah: 271).

    Nabi Ibrahim a.s. pula berdoa agar Allah taala sentiasa menjadi orang ramai sentiasa menyebut-nyebut namanya atau ingat dirinya kerana sumbangan dan legasi yang dia tinggalkan (Al-Shu`ara’: 84).

    Namun ini hendaklah dilakukan atas tujuan menjadi galakan, contoh yang baik dan inspirasi bagi orang lain untuk membuat amal kebaikan dan menyumbang di jalan Allah taala, bukan untuk bermegah-megah terhadap orang lain atau mengungkit-ungkit jasa hingga orang ramai rasa terhina dan terguris perasaan. Yang seperti ini dicela kerana ia memupuk sifat sombong dan riyak dalam diri sendiri dan hasad dan kebencian dalam diri orang lain.

  6. Al-Hujurat: 18 pula memberi peringatan bahawa nilai amal kebajikan dan sumbangan dalam dakwah di sisi Allah taala bukan terletak pada kualiti dan kuantiti “output”, tapi juga pada apa yang ada terkandung dalam hati yang tersembunyi dari mata orang ramai tapi tidak pada mata Allah taala, iaitu ia dilakukan atas dasar iman kepadaNya dan ikhlas.

    Ada manusia yang banyak sumbangan, tapi hatinya tidak beriman. Ada pula yang banyak sumbangan dan beriman pada Allah taala, tapi tidak ikhlas dalam sumbangannya kerana niat di hati ialah untuk kepentingan diri sendiri seperti nama, peluang niaga, atau kuasa. Hal ini tidak mustahil berlaku walaupun kepada seorang yang kuat beriman disebabkan tipu daya syaitan yang licik. Kalaupun tidak berlaku pada semua amal kebajikannya, tapi berlaku pada sebahagiannya, jika seseorang itu leka.

    Khalayak ramai tidak tahu dan tidak pula perlu untuk mereka tahu dan siasat apa yang ada di hati, tapi Allah taala Maha mengetahui.

  7. Sumbangan besar di jalan Allah taala pasti bermanfaat pada masyarakat dan kepada penyumbang di dunia ini, tapi tidak bernilai di sisi Allah taala jika tiada iman dan ikhlas di Akhirat kelak.

    Maka jangan letakkan nilai amal dan sumbangan hanya pada pengiktirafan dan pengakuan manusia, tapi pada pengiktirafan Allah juga.

  8. Muslim tidak perlu bersedih atau kecewa jika tiada atau kurang perakuan dan penilaian manusia terhadap jasa dan sumbangannya kerana telah berusaha untuk mewar-warkannya dengan tujuan untuk menggalakkan mereka membuat amal kebajikan kerana yang penting adalah perakuan Allah taala.

    Tidak seperti manusia, Allah taala tidak akan terlepas pandang sekecil mana sekalipun amal hamba-hambaNya (Al-Hujurat: 18).