Pesanan Dari Al-Quran #82 – Ketelitian Dalam Mengadili Manusia (29 September 2023)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 29 September 2023, di sini.

“Orang-orang kafir dibawa ke neraka Jahanam berombong-rombongan. Sehingga apabila mereka sampai ke neraka itu dibukakanlah pintu-pintunya dan berkatalah kepada mereka penjaga-penjaganya: Apakah belum pernah datang kepadamu rasul-rasul di antaramu yang membacakan kepadamu ayat-ayat Tuhanmu dan memperingatkan kepadamu akan pertemuan dengan hari ini? Mereka menjawab: Benar (telah datang). Tetapi telah pasti berlaku ketetapan azab terhadap orang-orang yang kafir.” (Al-Zumar: 71)

Pelajaran

  1. Ayat di atas memberi pelajaran tentang ketelitian Allah taala sebelum menghukum hambaNya masuk neraka sebagai balasan atas kekufuran dan keingkaran mematuhi ajaranNya yang diturunkan melalui para Nabi.

  2. Al-Quran memberitahu sebab mereka yang menolak kebenaran dimasukkan ke dalam neraka bukan hanya apabila mereka telah menerima maklumat tentang kebenaran sahaja.

  3. Al-Quran menerangkan sebab itu dalam bentuk,
    a) kedatangan seorang Rasul
    b) Rasul itu pula menjelaskan kebenaran, bukan hanya menyampaikan atau memberitahu sahaja, dan
    c) memberi amaran akan risiko jika menolak kebenaran yang telah dijelaskan dengan sempurna.

  4. Bukan hanya kebenaran itu perlu dijelaskan dan tidak hanya disampaikan, sebab (a) – (c) juga memberi petunjuk tentang proses tertentu yang bertahap dan kompleks bagi memastikan kebenaran disampaikan dengan betul dan jelas, sebelum hukum kufr dan derhaka disabitkan.

  5. Ini menunjukkan bahawa Allah taala meletakkan satu sistem sebagai piawai bagi menentukan siapa yang kufur dan ingkar, bukan secara rambang dan ambil jalan mudah.

  6. Ketelitian Allah taala dalam mengadili dan menghukum mereka yang kufur dan ingkar juga dapat dilihat pada pelaksanaan hukum.

    Sebelum hukum itu dilaksanakan, mereka yang bakal dimasukkan ke nerara ditanya lagi untuk dipastikan bahawa mereka benar-benar bersalah atas pengakuan diri sendiri.

  7. Kenapakah hal ini berlaku sedangkan Allah taala Maha Mengetahui dan Dia adalah Penguasa Mutlak di Akhirat? Hari di mana, tiada sesiapa yang dapat mempersoalkan ilmu Allah taala dan mencabar pula keputusanNya di masa itu.

    Jawapannya ialah supaya ia menjadi contoh dan pelajaran manusia tentang pelaksanaan keadilan;

    a) keadilan bukan hanya perlu dilaksanakan, tapi juga “dilihat” bagaimana ia dilaksanakan dengan betul (justice must not only be done, but be seen to be done)

    b) keadilan bukan hanya soal menghukum orang yang bersalah, tapi juga soal proses bagaimana hukuman itu disabitkan dan kemudian dilaksanakan

    c) jika manusia yang telah bersalah kerana Allah taala telah tahu tentangnya pun berhak diberikan proses keadilan yang sempurna, mereka yang belum tentu bersalah kerana keterbatasan pengetahuan manusia, lebih utama untuk diberikan proses yang sepatutnya

    d) jangan gopoh untuk menghukum, walaupun ke atas seseorang yang telah dikenali sebagai kufur dan ahli maksiat.

  8. Segala di atas memberi pelajaran dalam usaha dakwah apabila berinteraksi dengan manusia-manusia yang dilihat pada mata kasar sebagai kufur dan pendosa – jangan gopoh untuk menghukum mereka dan jangan bertingkah lebih dari Tuhan terhadap mereka.

  9. Sebelum menyalahkan mereka yang kufur dan pendosa, pastikan dahulu samada proses dakwah yang baik telah pun wujud dan kebenaran telah benar-benar dijelaskan, bukan hanya disampaikan, kepada mereka.