Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 27 Oktober 2023, di sini.
“Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad) dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu.” (Al-Hijr: 94)
Pelajaran
- Ayat di atas mengandungi perintah kepada Nabi s.a.w untuk menyampaikan dakwah dengan terang-terangan.
- Yang dimaksudkan dengan terang-terangan di sini bukan hanya dari sudut kandungan dakwah, tapi juga dari segi identiti Nabi s.a.w sebagai penyampai dakwah.
- Sebahagian ulama berpendapat ayat ini diturunkan bagi mengakhiri fasa dakwah secara senyap-senyap di tiga tahun pertama kenabian. Pada fasa ini, Nabi s.a.w menyampaikan dakwah dalam bentuk dakwah fardiyah (dakwah antara individu) dan tidak menggunakan cara dakwah secara terbuka, iaitu di tempat-tempat awam. Walaupun begitu, Nabi s.a.w tidak merahsiakan dirinya atau identitinya kepada sesiapa. Di tiga tahun pertama dakwah, kaum Quraisy telah mengetahui bahawa Nabi s.a.w berdakwah mengajak kepada agama Islam, Namun mereka tidak bertindak keras ke atas Nabi s.a.w pengikut-pengikutnya kerana ia dijalankan secara peribadi hingga boleh dianggap sebagai mencabar status quo yang ada. Ini adalah pendapat yang lebih tepat tentang dakwah Nabi s.a.w di tahun-tahun pertama.
- Fokus pelajaran yang penting di sini ialah Al-Quran anjur sifat telus dan jelas bagi sesiapa yang ingin memikul tugas dakwah sebagaimana yang diperintahkan ke atas dan dicontohkan oleh Nabi s.a.w sepanjang sejarah dakwahnya.
- Tiada kesamaran tentang diri dan keperibadian Nabi s.a.w ketika berdakwah. Beliau tidak pernah bersembunyi disebalik nama-nama atau identiti samara untuk berdakwah.
- Bahkan beliau dikenali oleh masyarakat dan integriti diakui pula sebelum menjadi Nabi s.a.w apabila diberi gelaran sebagai Al-Amin (seorang yang amanah).
- Al-Quran mahu, dari ayat di atas, bahawa kebenaran dakwah bukan dibina atas kemantapan idea sahaja, tapi juga atas integriti pendakwah itu sendiri yang dapat dinilai kerana identitinya yang jelas dan transparen.
- Hal ini kemudian diterjemahkan dalam bentuk tradisi menuntut ilmu dalam Islam yang mana salah satu cirinya ialah mengambil ilmu melalui rantaian sanad.
Dalam sistem sanad, kewibawaan ilmu yang diambil bukan diukur dari rantaian sanad yang bersambung-sambung tapi juga pada kredibiliti setiap mata rantai (perawi ilmu atau guru). Jika satu mata rantai cacat kerana masalah integritinya yang antara sebabnya ialah ia seorang yang tidak dikenali, ia mencacatkan pula ilmu yang diperolehi dan disampaikan oleh seseorang pula. - Muslim yang ingin terlibat dan menjalankan tugas dakwah harus beridentiti terbuka dan jelas dan tidak berselindung disebalik nama, profil dan akaun samaran. Lebih buruk lagi jika dia bersembunyi disebalik identiti palsu dengan mengguna identiti orang lain. Ini adalah satu bentuk penipuan yang tidak halal digunakan hanya kerana untuk berdakwah.
- Sesetengah Muslim berhujah dengan kata-kata, “lihat apa yang dikatakan, jangan lihat siapa yang berkata” bagi berdakwah di alam siber dengan identiti samaran.
Hujah sebegini ada kepincangannya. Kata-kata itu bukan ayat Al-Quran atau hadis untuk dijadikan panduan dalam dakwah. Ia boleh digunapakai tanpa membelakangi maksud dari Al-Quran dan contoh dari Nabi s.a.w. seperti menerima sesuatu pendapat atau hukum yang telah diselidiki kebenarannya walaupun disampaikan oleh seorang yang kurang soleh atau ilmu, bukan orang yang sengaja menyembunyikan identitinya.
Kata-kata itu hanya benar bagi penerima ilmu atau dakwah, tapi tidak benar bagi penyampai ilmu atau dakwah.
Ertinya, penerima dakwah boleh menerima apa jua yang disampaikan setelah dinilai dan diselidik kandungannya benar, tanpa berkira sangat akan sifat si penyampainya.
Namun, penyampai dakwah hendaklah sentiasa bersifat telus dengan identiti dirinya apabila berdakwah sebagaimana yang dicontohkan oleh Nabi s.a.w dan tidak boleh bersembunyi disebalik identiti palsu. - Pengecualian dibenarkan dalam keadaan apabila Muslim berhadapan dengan penindasan keras yang mana mendedahkan identiti sebenar ketika berdakwah boleh mengancam keselamatan diri, keluarga dan harta bendanya.