Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 10 November 2023, di sini.
“(Iaitu) Hari (ketika) mereka keluar (dari kubur); tiada suatu pun dari keadaan mereka yang tersembunyi bagi Allah. (Lalu Allah berfirman): Kepunyaan siapakah kerajaan pada hari ini? Kepunyaan Allah Yang Maha Esa (Al-Wahid) lagi Maha Mengalahkan (Al-Qahhar).” (Ghafir: 16)
“Pada hari ini tiap-tiap jiwa diberi balasan dengan apa yang diusahakannya. Tidak ada yang dirugikan pada hari ini. Sesungguhnya Allah amat cepat hisabnya.” (Ghafir: 17)
Pelajaran
- Dalam kedua-dua ayat di atas, Allah taala mengaitkan sifat berkuasa (Penguasa di Akhirat, Ghafir: 16) dan gagah (Al-Qahhar, Ghafir: 16) dengan keadilanNya (Ghafir, 17).
- Hal ini mengandungi pelajaran tentang kuasa, iaitu apabila dikurniakan nikmat kuasa sebagai ketua organisasi atau tempat kerja, majikan, ibubapa, pemerintah, guru dan sebagainya hendaklah berlaku adil.
- Manusia secara naluri akan suka kepada kuasa dan setiap manusia sepanjang hdupnya akan pasti dikurniakan nikmat kuasa ke atas seseorang yang lain. Namun, Allah taala menunjukkan contoh, iaitu jangan hanya mahukan kuasa sahaja, tapi setelah itu tidak berlaku adil atau dengan kata lain buat zalim ke atas orang lain dengan kuasa yang ada.
- Ayat-ayat di atas juga mengajar erti adil, iaitu hendaklah memberi seseorang apa yang layak untuknya atau haknya i.e. yang baik, dibalas dengan kebaikan dan yang jahat, dihukum atas kejahatannya (Ghafir: 17)
- Keadilan juga bukan hanya memberi hak kepada yang berhak, tapi memberinya tepat pada masa yang sepatutnya, tanpa bertangguh kerana bagi setiap keadilan yang tertangguh akan ada hak yang terabai atau kezaliman berlaku (Ghafir: 17).
Hal ini dapat difahami dalam frasa, “…sesungguhnya Allah amat cepat hisabnya.” (Ghafir: 17). Cepat dalam menjalankan hisab bermakna bukan hanya yang baik mendapat ganjaran baik yang cepat, yang jahat juga dihukum tanpa ada penangguhan. - Al-Quran meletak piawai bagi satu sistem keadilan yang baik dan berkesan bagi manusia. Ia bukan hanya bergantung pada hukum yang wajar bagi kesalahan yang dilakukan, tapi juga proses yang baik.
- Bagi suami, ibubapa, ketua, majikan, anak-anak, penerima khidmat dan penghutang, hendaklah tidak bertangguh dalam menunaikan tanggungjawab (nafkah, gaji, bonus, upah kerja, kredit dsb.) kepada keluarga, pekerja, pemberi khidmat, pemiutang dsb.
- Nikmat kuasa tidak percuma. Ada harga (adil) yang perlu dibayar. Demikian juga hak yang dimiliki (hak utuk ditaati dan dihormati) ada pula tanggungjawab yang perlu ditunaikan (menjaga kebajikan mereka yang di bawah kuasa itu).
- Demikianlah juga dengan kegagahan yang ada pada diri, baik kegagahan fisikal, kewangan, aset kebendaan, intelek, teknologi dll.
Ia harus diguna untuk berkhidmat kepada keadilan, bukan hanya untuk menambah kuasa dan kegagahan yang sedia ada dan bukan pula untuk menzalimi orang lain seperti membuli, merampas hak atau menjatuhkan orang lain.