Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 8 Disember 2023, di sini.
“Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: Ini adalah dari sisi Allah dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata: Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu. Katakanlah (wahai Muhammad): Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah. Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?” (Al-Nisa’: 78)
“Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri dan Kami telah mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat) dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini).” (Al-Nisa’: 79)
Pelajaran
- Dua ayat di atas ada membicarakan tentang satu perkara yang sama, iaitu punca kebaikan dan musibah yang terjadi dalam kehidupan ini.
Ayat pertama (Al-Nisa’: 78) memberitahu bahawa segala yang baik dan buruk adalah datang dari Allah taala atau segala yang berlaku adalah ketentuan takdirNya belaka.
Ayat kedua (Al-Nisa: 79) pula memberitahu bahawa yang baik adalah dari Allah taala manakala perkara buruk adalah berpunca dari diri manusia sendiri.
Kedua-dua ayat membicarakan satu perkara yang sama, tapi dengan isi kandungan yang berbeza dan zahirnya seolah-olah bercanggah. - Hakikatnya tiada percanggahan antara kedua-dua ayat di atas. Yang menjadikannya sedemikian ialah kerana perbezaan pihak yang menjadi sasaran ayat-ayat itu.
- Ayat pertama (Al-Nisa’: 78) ditujukan kepada kaum Arab yang menolak dakwah Nabi s.a.w. Mereka beriman kepada Allah taala sebagai Tuhan tapi tidak mahu menerima Nabi s.a.w sebagai utusan Allah taala membawa wahyu terakhir bagi sekalian manusia. Bahkan mereka menuduh Nabi s.a.w membawa sial dan musibah kepada mereka kerana membawa ajaran baru.
Allah taala menolak tuduhan mereka itu bagi membela NabiNya s.a.w dengan berkata musibah yang menimpa mereka bukan kerana kesesatan atau sial pada Nabi Muhammad s.a.w tapi dari Dia sendiri sebagai amaran ke atas kedegilan mereka yang tidak mahu beriman dengan kenabian Nabi s.a.w. - Ayat kedua pula ditujukan kepada Nabi Muhammad s.a.w dan umat Islam dengan tujuan untuk mendidik adab dan sikap yang betul terhadap Allah taala dan takdir iaitu.
a) hendaklah memuhasabah diri apabila ditimpa musibah
b) menjaga adab dengan Allah taala, iaitu berbaik sangka dan tidak menyandarkan yang buruk-buruk kepadaNya
c) jangan cepat menyalahkan takdir apabila ditimpa musibah
d) jangan juga cepat menjadikan takdir sebagai sebab musibah berlaku kerana ia akan menutup akan dari berfikir untuk membetulkan diri dan keadaan atau mencari huraian bagi masalah yang berlaku. - Hal ini memberi pelajaran-pelajaran berikut pula;
a) Al-Quran ada memberi respon yang berbeza kepada masalah yang sama untuk menyesuaikan respon itu dengan kumpulan sasaran yang berlainan. Maka usaha dakwah juga hendaklah ambil kira perkara ini apabila berbicara dengan manusia yang berbeza-beza.
b) perbezaan dalam hukum agama bukan bermakna percanggahan dan salah satu mesti salah/betul. Perbezaan hukum dan sikap agama boleh terjadi disebabkan konteks (kumpulan sasaran) atau isu itu dilihat dari sudut berbeza.
Dalam hal ini, semua pendapat yang berbeza-beza itu boleh betul. Oleh itu, tidak perlu saling menyalahkan atau menyesatkan.
c) penting untuk memahami konteks bagi memahami sesuatu hukum dan pendirian agama, bukan hanya memahaminya dari sudut teks dan yang tersurat sahaja.
d) mensandarkan musibah kepada takdir tidak salah jika ia bertujuan untuk menunjukkan sikap reda kepada apa yang berlaku. Yang tidak boleh jika ia dilakukan kerana untuk menyalahkan Tuhan dan menghalang dari mengoreksi diri.
f) bersikap “yang baik datang dari Allah taala dan yang buruk adalah diri saya” tidak salah jika ia bertujuan untuk menjaga adab kepada Allah taala dan supaya mendorong diri untuk bertanggungjawap atas apa yang telah berlaku sebagaimana yang terkandung dalam Al-Nisa: 79, tanpa menafikan takdir.