Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 16 Februari 2024, di sini.
“Dan sesungguhnya Ibrahim benar-benar termasuk golongannya (Nuh). (Ingatlah) ketika ia datang kepada Tuhannya dengan hati yang sejahtera. (Ingatlah) ketika ia berkata kepada bapaknya dan kaumnya: Apakah yang kamu sembah itu?” (Al-Saffat: 83-5)
“Sebagaimana (Kami telah menyempurnakan nikmat Kami kepadamu) Kami telah mengutus kepadamu Rasul di antara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan menyucikan kamu dan mengajarkan kepadamu Al-Kitab dan Al-Hikmah, serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui.” (Al-Baqarah: 151)
“Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu (Muhammad) yang terdekat.” (Al-Shu`ara’: 214)
Pelajaran
- Ayat-ayat di atas mengandungi pelajaran tentang persiapan yang perlu dibuat oleh individu Muslim untuk melaksanakan tugas dakwah dan sasaran dakwah yang perlu didahulukan.
- Al-Saffat: 83-5 memberi tahu tentang Nabi Ibrahim a.s:
a) sebelum berdakwah, Nabi Ibrahim a.s. menguasai ajaran yang diwarisi dari Nabi Nuh a.s. (Al-Saffat:83)
b) setelah itu beliau mendatangi Tuhan (Al-Saffat:84) dan mencapai hati yang sejahtera (Al-Saffat:84)
c) kemudian baru beliau dilaporkan berdakwah kepada bapanya (Al-Saffat: 85) - Poin-poin ini memberi pelajaran akan kepentingan mencapai ilmu tentang kebenaran bagi membina keyakinan terhadap akidah yang benar hingga membolehkan seorang Muslim beriman dan mendatangi Tuhan dalam keadaan hatinya suci dari segala segala sifat-sifat keji sebelum melaksanakan tugas dakwah.
Untuk melakukan ini pula, memerlukan sumber ilmu yang benar iaitu wahyu dari Tuhan sebagaimana yang dicontohkan oleh Nabi Ibrahim a.s. yang menguasai ilmu yang diwarisi dari Nabi Nuh a.s. - Ini memberi pelajaran:
a) dakwah bukan dipikul oleh seseorang begitu sahaja tanpa persiapan
b) persiapan yang diperlukan ialah ialah pembangunan akal dan penyucian jiwa
c) dakwah perlu persiapan bukan hanya intelektual ATAU spiritual, tetapi kedua-duanya. - Hal ini disokong oleh Al-Baqarah: 151 yang menceritakan tugas yang perlu dilaksanakan oleh Nabi Muhammad s.a.w:
a) mengajar manusia di zamannya akan Al-Quran (wahyu Allah taala), hikmah dan ilmu-ilmu lain yang relevan
b) menyucikan jiwa.
Walaupun ayat ini menceritakan tentang tugas Nabi s.a.w tetapi ia juga memberi pelajaran tentang persiapan dakwah kerana apa yang diperintahkan kepada Nabi s.a.w sebenarnya adalah proses mempersiapkan orang-orang beriman di zamannya untuk melakukan tugas dakwah dengan beliau dan meneruskannya pula setelah kewafatan beliau s.a.w. - Badan dakwah tidak boleh berjaya tanpa program pembangunan aktivis dakwah yang sistematik.
- Program pembangunan aktivis dakwah hendaklah seimbang antara keperluan intelek dan kerohanian kerana aktivis yang tinggi ilmu tanpa hati yang suci akan mudah jatuh dalam sombong, riyak, keras hati hingga dakwahnya dinilai “kering” oleh orang lain.
- Pembangunan aktivis juga tidak boleh berat pada kerohanian sahaja kerana ia menjadi aktivis dakwah lemah untuk berhadapan dengan cabaran ideologi luar dan tidak mampu pula menyampaikan dakwah sesuai dengan perkembangan masa hingga dinilai dangkal dan kolot.
- Terdapat juga kecenderungan untuk memberi penekanan pada aspek kemahiran sahaja dalam pembangunan aktivis dakwah kerana dipengaruhi oleh idea-idea pembangunan sumber manusia yang popular dilaksanakan dalam dunia korporat.
Hal ini perlu diwaspadai juga kerana aktivis yang tidak mempunyai ilmu yang mantap tentang agama yang hendak didakwahkan dan jiwa yang suci dan kental mungkin tidak akan mampu kekal lama di jalan dakwah disebabkan ujian dan tribulasi berat yang biasa berlaku dalam arena dakwah. - Setelah persiapan yang betul, perlu pula kepada keutamaan yang betul iaitu dakwah kepada bapa (Al-Saffat:85) dan keluarga terdekat (Al-Shu`ara’: 241) mendahului dakwah kepada kaum dan masyarakat.
Walaupun ayat-ayat di atas menyebut keutamaan berdakwah kepada keluarga terdekat, tapi ia juga memberi pelajaran bahawa prinsip memilih keutamaan yang betul (prioritising) adalah penting dalam dakwah. Ertinya ia bukan dilakukan ikut rasa diri (whims and fancy) seseorang; keutamaan dalam memilih sasaran, bentuk dakwah, strategi dll.