Pesanan Dari Al-Quran #93 – Contoh Pemimpin Yang Bertanggungjawab (1 Mac 2024)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 1 Mac 2024, di sini.

“(Iaitu) ketika orang-orang yang diikuti itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutinya, dan mereka melihat siksa; dan (ketika) segala hubungan antara mereka terputus sama sekali. Dan berkatalah orang-orang yang mengikuti: Seandainya kami dapat kembali (ke dunia), pasti kami akan berlepas diri dari mereka, sebagaimana mereka berlepas diri dari kami. Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal perbuatannya menjadi sesalan bagi mereka; dan sekali-kali mereka tidak akan ke luar dari api neraka.” (Al-Baqarah: 166-7)

“(Sikap) itu samalah seperti (sikap) Syaitan ketika dia berkata kepada manusia: Berlaku kufurlah engkau! Setelah orang itu berlaku kufur (dan tetap terkena azab), berkatalah Syaitan kepadanya: Sesungguhnya aku adalah berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang Menguasai seluruh alam!” (Al-Hashr: 16)

“Dan apabila Nabi Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan dukacita, berkatalah ia: Amatlah buruknya apa yang telah kamu lakukan sepeninggalanku; mengapa kamu terburu-buru (tidak menunggu) perintah Tuhan kamu? Dan dia meletakkan papan-papan (yang mengandungi tulisan Taurat) itu serta dia memegang (rambut) kepala saudaranya (Nabi Harun) sambil menariknya kepadanya. Nabi Harun berkata: Wahai anak ibuku! Sesungguhnya kaum (Bani Israil) memandangku lemah dan nyaris-nyaris mereka membunuhku (ketika aku melarang mereka); oleh itu, janganlah engkau menjadikan musuh bergembira melihat (tempelakmu) terhadapku dan janganlah engkau jadikan aku termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim. Nabi Musa berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, ampunkanlah bagiku dan bagi saudaraku dan masukkanlah kami ke dalam rahmatMu, kerana Engkaulah sahaja Yang Maha Mengasihani dari segala yang lain mengasihani.” (Al-A`raf: 150-1)

Pelajaran

  1. Ayat-ayat ini di atas mengandungi pelajaran tentang sifat pemimpin yang baik untuk dicontohi dan yang keji untuk dijauhi apabila telah gagal memimpin pengikutnya untuk melakukan tugas dengan baik atau apabila berhadapan dengan kesilapan yang dilakukan oleh pengikut.

  2. Al-Baqarah 166-7 menceritakan tentang golongan pemimpin yang semasa di dunia telah membawa para pengikutnya ke jalan yang sesat tetapi apabila berada di hadapan Allah taala berlepas diri dari perbuatannya. Mereka sebaliknya menyalahkan para pengikut yang telah pernah di bawa mengikut cara hidup yang sesat setelah melihat sendiri akan azab neraka.

  3. Sikap keji yang sama dikaitkan dengan sikap syaitan di Akhirat nanti (Al-Hashr: 16). Syaitan juga tidak mahu bertanggungjawab atas perbuatannya yang menyesatkan manusia semasa di dunia, walaupun hakikatnya dia sendiri telah berazam di hadapan Allah taala untuk melakukan sedemikian setelah dihalau dari syurga kerana tidak mahu sujud kepada Nabi Adam a.s.

  4. Hal ini memberi pelajaran kepada para pemimpin Muslim agar menjauhi sifat sedemikian. Jangan menjadi pemimpin yang menuntut ketaatan penuh dari pangikut dan memberi arahan itu dan ini tetapi apabila mendapati arahan-arahannya silap atau tidak menatijahkan hasil yang diharapkan segera menyalahkan orang bawahan bagi mengelak pertanggungjawaban atau hukuman dari pihak atasan.

  5. Sebagai perbandingan, jadilah seperti Nabi Musa a.s selaku pemimpin bagi Nabi Harun a.s dan Bani Israel dalam Al-A`raf: 150-1.

  6. Al-A`raf: 150 menceritakan kisah Bani Israel yang telah melakukan kesalahan serius iaitu menyembah berhala anak lembu. Insiden ini berlaku ketika Nabi Musa a.s tidak berada bersama mereka kerana pergi bersama beberapa pengikutnya yang lain beruzlah untuk menerima wahyu dari Allah taala selama 40 hari.

    Sebelum Nabi Musa a.s. pergi, beliau telah berpesan Nabi Harun a.s. untuk mengambil alih tugas memimpin dan membimbing Bani Israel selama ketiadaanya.

    Apabila Nabi Musa a.s. pulang dan dapati Bani Israel menyembah berhala anak lembu, beliau sangat marah kepada Nabi Harun a.s kerana dinilai gagal untuk membimbing mereka. Namun Nabi Harun a.s. menjelaskan bahawa beliau telah berusaha semampu mungkin, walaupun gagal.

    Nabi Musa a.s. kemudian berdoa memohon keampunan dari Allah taala akan dosanya dan dosa saudaranya Nabi Harun a.s. atas apa yang berlaku.

  7. Doa Nabi Musa a.s. adalah contoh sifat pemimpin yang terpuji untuk dicontohi. Permohonan ampun kepada Allah taala menunjukkan bahawa beliau mahu bertanggungjawab atas apa yang telah berlaku (Al-A`raf: 151), walaupun beliau mempunyai alasan untuk berlepas diri kerana beliau tidak ada pada ketika kejadian berlaku sebab menyahut perintah Allah taala untuk beruzlah.

    Nabi Musa a.s. juga memohonkan keampunan untuk Nabi Harun a.s., walaupun setelah diberi penjelasan bahawa saudaranya itu telah berusaha semampu mungkin sebagai perakuan akan kelemahan atau kesilapan, jika ada.

  8. Pemimpin yang baik seharusnya berani ke depan bersama memikul tanggungjawab atas kesilapan dan kegagalan pengikut walaupun jika dia:

    a) telah berusaha sebaik mungkin dalam memberi arahan dan membimbing mereka
    b) mempunyai alasan kukuh untuk berlepas diri dari kesilapan atau kegagalan yang berlaku
    c) sumbangan dia kepada kesilapan iyu mungkin rendah atau tidak signifikan.

    Ini harus dilihat sebagai harga bagi status pemimpin yang wajib dihormati dan ditaati.

  9. Pemimpin yang buruk pula ialah mereka yang segera “cuci tangan” dari segala keburukan yang berlaku bagi menjaga kepentingan diri sendiri atau mengelak dari hukum dan pertanggungjawaban.

  10. Yang terburuk pula ialah pemimpin yang tidak mahu mengaku bersalah, bahkan hanya menyalahkan orang bawahan atas kegagalan atau kesilapan yang berpunca dari arahan, perancangan atau idea-ideanya sendiri kerana mengelak dari hukuman.

    Akibatnya segala pertanggungjawapan dan hukuman hanya dipikul oleh orang bawahan yang hanya menjalankan arahan dari dia.

    Ini adalah sifat pemimpin yang terkeji dan zalim. Dia tidak berasa salah untuk membebankan orang lain demi menyelamatkan dirinya. Ini adalah sifat syaitan yang wajib dijauhi pemimpin Muslim.