Pesanan Dari Al-Quran #97 – Bagaimana Allah taala Ajak Manusia Beriman Kepada Kebenaran (26 April 2024)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 26 April 2024, di sini.

“Demi angin yang menerbang dan menabur, dengan penerbangan dan penaburan yang sesungguh-sungguhnya (1) Dan awan yang membawa dan mengangkut muatannya (2) Dan kapal-kapal yang belayar laju dengan kemudahan yang diberikan kepadanya (3) Dan malaikat-malaikat yang membahagi-bahagikan segala perkara yang mereka ditugaskan membahagikannya (4) Bahawa sesungguhnya segala yang dijanjikan kepada kamu (Akhirat) tetap benar (5) Dan bahawa sesungguhnya balasan amal, tetap berlaku (6) Demi langit yang mempunyai jalan-jalan yang berbagai bentuk keadaannya (7) Sesungguhnya kamu berada dalam keadaan berlainan pendapat (mengenai agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w) (8) Dipalingkan daripada (perselisihan) itu orang-orang yang telah dipalingkan Allah (9) Binasalah orang-orang yang sentiasa mengeluarkan pendapat dengan cara agak-agak sahaja (10) Orang-orang yang tenggelam dalam kejahilan, serta lalaikan (hari pembalasan) (11) Mereka bertanya (secara mengejek): Bilakah datangnya hari pembalasan itu? (12) Hari mereka disiksa atas api Neraka (13) Rasalah azab yang disediakan untuk kamu; inilah dia yang dahulu kamu minta disegerakan kedatangannya (14) Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya (15) Sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan (16) Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: Masa dari waktu malam, untuk mereka tidur (17) Dan pada waktu akhir malam pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (18) Dan pada harta-harta mereka, hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (19) Dan pada bumi ada tanda-tanda  bagi orang-orang yang mahu yakin (20) Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan? (21) Dan di langit pula terdapat rezeki kamu dan juga terdapat apa yang telah dijanjikan kepada kamu (22) Maka demi Tuhan langit dan bumi, sesungguhnya itu tetap benar, sebagaimana benarnya kamu dapat berkata-kata (23)” (Al-Zariyat: 1-23)

Pelajaran

  1. Ayat-ayat di atas mengandungi pelajaran tentang pendekatan Allah taala dalam mengajak manusia untuk menerima kebenaran; secara khusus dalam konteks ayat-ayat di atas, ialah untuk beriman dengan Kiamat, iaitu waktu di mana alam ini akan musnah dan setelah itu semua manusia akan dibangkitkan kembali untuk melalui perbicaraan di hadapan Allah taala tentang kehidupan di dunia bagi penentuan tentang nasib terakhir mereka, samada ke syurga atau neraka.

    Memahami pendekatan ini pula memberi pelajaran tentang:

    a) proses yang perlu diambil oleh manusia yang ingin mencari kebenaran dan beriman dengannya
    b) proses dakwah bagi mengajak manusia beriman dengan kebenaran yang dibawa oleh Islam.

  2. Allah taala memulakan pendekatanNya dengan mengajak manusia berfikir bahawa alam yang indah ini tidak mungkin dapat wujud dengan sendirinya kerana logik akal menetapkan tiada sesuatu boleh wujud atau berlaku kecuali ada yang menyebabkan ia wujud dan berlaku, iaitu Allah taala yang Maha Pencipta (Al-Zariyat: 23) dan kemudian mengurusnya hingga berlaku Kiamat (Al-Zariyat: 12).

    Manusia yang terima logik ini tidak harus menolak kemungkinan berlaku Kiamat kerana jika Allah taala berkuasa untuk mencipta alam dari tiada, sudah pasti Dia lebih mampu untuk mencipta semula alam yang telah musnah. Oleh itu, membangkitkan semula manusia yang telah mati dan musnah jasadnya adalah mudah bagi Allah taala dan logik juga.

  3. Pendekatan kedua pula ialah menunjukkan kepada manusia sumber kebenaran untuk dikaji sebelum diyakini. Sumber pertama ialah alam seperti angin, awan dan langit yang memberi banyak manfaat pada manusia (Al-Zariyat: 1-3 dan 7) seperti pelayaran kapal-kapal di laut yang mengkagumkan akal dan memudahkan perdagangan dan memajukan ekonomi (Al-Zariyat: 3) sebagai bukti akan kewujudan Zat Yang Maha Berkuasa untuk mencipta, memusnah dan mencipta semula alam ini.

  4. Sumber kedua pula ialah Nabi s.a.w yang menyampaikan wahyu Allah taala yang memberi tahu bahawa Kiamat adalah pasti.

    Allah taala mencela kaum Quraisy yang bersikap tidak konsisten terhadap kewibawaan Nabi s.a.w, iaitu menolak dakwahnya dengan beliau sebagai penipu, gila dan lain-lain, sedangkan dahulu mereka bersaksi bahawa beliau adalah insan yang jujur dan sangat dipercayai hingga mereka menggelarnya Al-Amin (yang jujur, amanah dan boleh dipercayai) (Al-Zariyat: 51:8-9)

    Setelah kewafatan Nabi s.a.w, sosok beliau diganti oleh Al-Quran – wahyu Tuhan yang disampaikan olehnya yang kandungan dan sejarahnya boleh diselidiki bahawa ia bukan karangan manusia. Pelbagai kajian pula telah dibuat yang menunjukkan kepada hakikat ini seperti:

    a) The History of The Quranic Text, from Revelation to Compilation: A Comparative Study with the Old and New Testaments, oleh Mustafa Al-Azami
    b) Structure and Qur’anic Interpretation: A Study of Symmetry and Coherence in Islam’s Holy Text, oleh Raymond Farrin

  5. Allah taala menunjukkan pula wasilah bagi memanfaatkan kededua sumber di atas, iaitu akal/intelek dan segala deria manusia.

    Hal ini dapat dilihat apabila Allah taala menyuruh manusia merenung dan berfikir segala yang disebutkan dalam ayat-ayat di atas bagi mencapai yakin (Al-Zariyat: 20-1 dan 23).

    Ertinya, manusia hendaklah gunakan akal dan deria-derianya untuk mengkaji alam dan wahyu untuk terima kebenaran Kiamat.

    Ini juga pengiktirafan Allah taala akan peranan akal dalam soal iman, bukan bergantung pada wahyu semata-mata.

  6. Bagi memandu manusia menggunakan akal dan deria dengan betul, Allah taala mengingatkan agar jauhi perangkap minda, iaitu bersifat berat sebelah (bias) dalam berfikir, pola-pola berfikir yang songsang (fallacious thinking) dan bersandar pada andaian (conjectures) semata-mata (Al-Zariyat: 8-11).

  7. Dalam pendekatan Allah taala, manusia diberi pilihan untuk beriman atau menolak bukti-bukti kebenaran Kiamat yang dikemukakan.

    Allah taala hanya memberi tahu akibat dari pilihan yang dibuat, iaitu neraka dan siksaannya bagi yang menolak dan syurga bersama segala nikmatnya bagi yang menerima.

    Tiada paksaan dalam perkara ini. Bahkan Allah taala melarang penggunaan paksaan dalam perkara iman (Al-Baqarah: 258, Yunus: 99).

  8. Demikianlah pendekatan Allah taala yang dapat dicerna dari ayat-ayat di atas bagi sesiapa yang ingin mencari kebenaran seperti beriman kepada Allah taala dan Kiamat dan mengajak orang lain ke tujuan yang sama:

    a) perkenalkan diri melalui dalil-dalil yang kukuh bagi membina iman atas dasar keyakinan
    b) tunjuk sumber dalil yang terbuka untuk dikaji, iaitu alam dan wahyu
    c) tunjuk wasilah atau alat bagi mengguna sumber yang dicadangkan, iaitu akal dan deria
    d) bimbing cara guna akal dan deria yang betul
    f) terangkan kesan baik dan buruk pilihan yang dibuat
    g) serahkan kepada manusia untuk buat pilihan tanpa paksaan