Pelajaran 13 – Keuniversalan Sifat Rahmat Islam

Firman Allah taala

وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠

“….. dan sekiranya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti akan menolong  orang yang menolong (agama)Nya. Sesunguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” (Al-Haj : 40)

Pelajaran

1. Sebahagian dari sunnah alam ini ialah Allah taala akan membangkitkan sekelompok manusia bagi menolak keganasan manusia yang lain.

2. Umat Islam diajar bukan hanya untuk membela sesama umat Islam tetapi juga membela umat dari agama lain jika mereka dizalimi. Ini boleh difahami dari pernyataan biara, geraja, rumah ibadat Yahudi bersama dengan masjid dari dirobohkan oleh keganasan sebahagian manusia.

3. Jika ada sekelompok penganut agama lain yang dizalimi dan ditindas, umat

Islam adalah lebih utama untuk bangkit membela mereka, menyuarakan suara mereka dan membebaskan mereka dari kezaliman itu. Itulah semangat yang ditunjukkan oleh para sahabat apabila mereka maju ke segenap ceruk negeri Rum dan Parsi, bagi membebaskan rakyat dari kezaliman pemerintah.

4. Allah taala bukan hanya akan membantu kita dalam membela agama Islam tetapi juga agama lain yang ditindas, kerana membela penganut agama lain dari penindasan itu sebahagian dari ajaran Islam.

5. Walau pun Islam tidak sependapat dengan akidah agama lain tetapi Islam menghormati kehidupan beragama.

6. Apabila Islam menganjurkan kita memelihara rumah ibadat dari dimusnahkan, ia menunjukkan bahawa rumah ibadat dan hidup beragama mempunyai peranan yang positif dalam kehidupan manusia serta sosial. Mereka yang beragama dengan erti yang sebenar dan jujur lebih baik dari tidak beragama.

7. Jika ada sekelompok manusia bukan Islam yang bangkit menentang kezaliman, dalam erti kata sebenar, adalah wajar umat Islam bersama dalam usaha melawan kezaliman itu berdasarkan erti umum ayat. Sebagai contoh, sekelompok penganut Kristian Katolik dizalimi oleh penganut ajaran Kristian dari mazhab lain. Lalu diputuskan oleh PBB agar dikirim pasukan pengaman bagi menghentikan pertikaian dan kezaliman. Jika kezaliman itu benar terbukti, wajarlah negara Islam untuk terlibat sebagai sebahagian dari pasukan berkenaan walau pun ia diketuai oleh ketua yang bukan Islam.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.