Allah taala berfirman
لَا يَسۡتَـٔۡذِنُكَ ٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ أَن يُجَٰهِدُواْ بِأَمۡوَٰلِهِمۡ وَأَنفُسِهِمۡۗ وَٱللَّهُ عَلِيمُۢ بِٱلۡمُتَّقِينَ ٤٤
إِنَّمَا يَسۡتَـٔۡذِنُكَ ٱلَّذِينَ لَا يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ وَٱرۡتَابَتۡ قُلُوبُهُمۡ فَهُمۡ فِي رَيۡبِهِمۡ يَتَرَدَّدُونَ ٤٥
وَلَوۡ أَرَادُواْ ٱلۡخُرُوجَ لَأَعَدُّواْ لَهُۥ عُدَّةٗ وَلَٰكِن كَرِهَ ٱللَّهُ ٱنۢبِعَاثَهُمۡ فَثَبَّطَهُمۡ وَقِيلَ ٱقۡعُدُواْ مَعَ ٱلۡقَٰعِدِينَ ٤٦
“Orang-orang yang beriman kepada Allah taala dan hari kemudian, tidak akan meminta izin kepadamu untuk (tidak ikut) berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan Allah Maha Mengetahui orang-orang yang bertakwa. Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu, hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah taala dan hari kemudian dan hati mereka ragu-ragu kerana itu mereka selalu bimbang dalam keraguannya. Dan jika mereka mahu keluar (berjihad), tentulah mereka menyiapkan persiapan untuk keberangkatan itu, tetapi Allah tidak menyukai keberangkatan mereka, maka Allah melemahkan keinginan mereka dan katakan kepada mereka ‘Tinggallah kamu bersama-sama orang-orang yang tinggal’.” (Al-Taubah : 44 – 46)
Pelajaran
1. Terdapat kaitan antara iman kepada Allah taala, iman kepada Akhirat, kesungguhan untuk melakukan tanggungjawab kepada Allah taala dan ketaqwaan. Kekurangan pada satu aspek akan menjejas aspek yang lain.
2. Seorang mukmin yang ikhlas terhadap agamanya tidak akan mencari alasan untuk tidak menunaikan tanggungjawab kepada Allah taala atau dengan mudah memberi keuzuran.
3. Mereka yang sentiasa memberi alasan dan keuzuran dalam menunaikan tanggungjawab kepada Allah taala, ditakuti jatuh dalam kelompok golongan yang dimurkai olehNya.
4. Tanda keikhlasan dan komitmen kepada Allah taala ialah sentiasa membuat persediaan untuk menunaikan tanggungjawab kepadaNya. Persediaan yang dimaksudkan meliputi segala aspek yang termampu – simpanan kewangan, bekal dan kekuatan jasmani.
5. Hal ini adalah kerana menunaikan tanggungjawab kepada Allah menuntut kekuatan dan kesihatan jasmani. Maka menjadi kewajiban kita untuk menjaga kesihatan dan tahap kecergasan diri bagi membolehkan kita melaksanakan tanggungjawab kita dan sebagai menunaikan perintah untuk bersedia. Kelalaian kita dalam hal ini ditakuti menjerumuskan diri ke dalam kelompok yang dicela oleh Allah taala kerana lalai dalam persediaan.
6. Sungguh ironis, jika kita berdoa dan menangis untuk mati kerana berkhidmat di jalan Allah taala tetapi jasmani kita lemah dan tidak cergas kerana tidak menjaga kesihatan diri dan tidak ada masa untuk bersenam.
Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku