Pelajaran 31 – Sumber-Sumber Kekuatan Dakwah I

Allah taala berfirman

لَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا رُسُلَنَا بِٱلۡبَيِّنَٰتِ وَأَنزَلۡنَا مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡمِيزَانَ لِيَقُومَ ٱلنَّاسُ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَأَنزَلۡنَا ٱلۡحَدِيدَ فِيهِ بَأۡسٞ شَدِيدٞ وَمَنَٰفِعُ لِلنَّاسِ وَلِيَعۡلَمَ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥ وَرُسُلَهُۥ بِٱلۡغَيۡبِۚ إِنَّ ٱللَّهَ قَوِيٌّ عَزِيزٞ ٢٥

“Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah kami turunkan bersama mereka Al-Kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan. Dan Kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia, (supaya mereka mempergunakan besi itu) dan supaya Allah taala mengetahui siapa yang menolong (agama)Nya dan rasul-rasulNya pada hal Allah tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” (Al-Hadid : 25)

Pelajaran

1. Allah taala mengaitkan golongan yang menolong agamaNya dengan

a. bukti-bukti nyata yang dibawa oleh para rasul

b. kitab suci

c. keadilan

d. besi

2. Bukti-bukti nyata merujuk kepada kekuatan minda kerana untuk memahami bukti dan mengemukakan kepada orang lain memerlukan minda intelektual yang baik.

3. Kitab suci merujuk kepada kekuatan manhaj, dasar dan prinsip perjuangan.

4. Keadilan merujuk kepada kekuatan nilai dalam diri dan misi perjuangan. Bahawa perjuangan ini ialah untuk keadilan dan ia mesti dilaksanakan sejajar dengan nilai keadilan. Keadilan tidak akan boleh memperjuangkan misi yang zalim dan kezaliman tidak boleh mendasari usaha untuk menegakkan keadilan.

5. Besi merujuk kepada kekuatan kebendaan sekaligus juga kekuatan teknologi kerana galian tidak dapat dicanai menjadi besi tanpa penguasaan terhadap ilmu dan teknologi berkenaan.

6. Walau pun aqidah mendasari usaha untuk memenangkan agama Allah taala dan ia adalah kekuatan yang utama tetapi untuk memenangkan agamaNya memerlukan lebih dari hanya kekuatan aqidah.

7. Kesyumulan Islam menuntut agar jalan untuk memenangkannya juga syumul yang meliputi segala aspek kekuatan, cara dan strategi.

8. Oleh itu, ayat di atas tadi memberi garis besar akan apa yang perlu dibina dalam diri pendakwah dan apa yang perlu dibina dalam gerakan dakwah dalam rangka untuk memenangkan agama Allah taala.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.