Pelajaran 37 – Beransur-ansur Dalam Perubahan Bukan Revolusi Mendadak

Allah taala berfirman

وَقُرۡءَانٗا فَرَقۡنَٰهُ لِتَقۡرَأَهُۥ عَلَى ٱلنَّاسِ عَلَىٰ مُكۡثٖ وَنَزَّلۡنَٰهُ تَنزِيلٗا ١٠٦

“Dan Al-Quran itu telah Kami turunkan dengan beransur-ansur agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dan Kami menurunkannya bahagian demi bahagian.” (Al-Isra’: 106)

وَقَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ لَوۡلَا نُزِّلَ عَلَيۡهِ ٱلۡقُرۡءَانُ جُمۡلَةٗ وَٰحِدَةٗۚ كَذَٰلِكَ لِنُثَبِّتَ بِهِۦ فُؤَادَكَۖ وَرَتَّلۡنَٰهُ تَرۡتِيلٗا ٣٢

“Berkata orang-orang kafir ‘Mengapa Al-Quran itu tidak diturunkan kepadanya sekali gus?’ Demikianlah supaya Kami perkuat hatimu dengannya dan Kami membacakannya secara tartil (teratur dan benar).” (Al-Furqan: 32)

Pelajaran

1. Ayat ini mentsabitkan bahawa proses penurunan Al-Quran ialah secara beransur-ansur. Allah taala sebenarnya mampu untuk menurunkan Al-Quran dan syariat sekali gus sebagaimana ia pernah buat ke atas Bani Israel melalui nabi Musa a.s.

2. Hikmah penurunan Al-Quran secara beransur-ansur ialah

a. agar menjadi rahmat kepada manusia.

b. agar memudahkan hati untuk menerima ajaran Al-Quran.

c. agar memudahkan hati yang telah menerima ajaran Al-Quran untuk

memantapkannya.

3. Sesiapa sahaja yang meneliti Al-Quran, pasti akan dapati sifat beransur-ansur dan bertahap-tahap ini merupakan satu aturan alam ini, contohnya;

a. Allah taala sendiri menjadikan alam dalam tempoh 6 hari (tahap).

b. Allah taala mensyariatkan banyak hukum secara bertahap e.g pengharaman

arak, riba dan perintah jihad.

c. Allah taala memusnahkan sesuatu umat pun melalui proses beransur-ansur

e.g diutus nabi, dibiarkan kemunculan kelompok yang melampau (mutrafiiha) dan dibanyakkan maksiat bermaharajalela dahulu.

4. Maka demikianlah usaha dakwah. Ia mesti mematuhi aturan alam. Ia mesti memelihara prinsip beransur-ansur dan bertahap-tahap (tadarruj).

5. Islam datang untuk mengubah perkara yang mendasar seperti persoalan sistem kepercayaan manusia dan sasaran utama dakwah adalah sentiasa perkara pokok dan dasar. Tetapi perkara pokok dan dasar ini pun, mestilah diubah secara beransur-ansur. Maka revolusi dalam erti mencetus perubahan secara mendadak, bukan pilihan utama dakwah, walau ia kelihatan gah (glamour) pada pandangan umum.

6. Apabila kita menerima proses bertahap-tahap dalam dakwah maka perlulah

juga kita menerima akibat darinya. Ini bermaksud kita harus sanggup hidup dalam ketidaksempurnaan dahulu sementara ia dapat diubah. Oleh itu, kita tidak lari dari satu tempat semata-mata kerana ia adalah tempat atau masyarakat yang tidak sejajar dengan Islam. Kita harus sanggup untuk membiarkan kemunkaran yang kecil bagi menumpu kepada usaha merubah kemunkaran yang besar. Kita mesti sanggup menanggung sedikit mafsadah (kerosakan) bagi menghilangkan mafsadah atau menarik maslahat yang lebih besar.

7. Sesiapa yang ingin memilih jalan yang pantas dan cepat dalam usaha dakwahnya, wajiblah baginya memastikan bahawa usahanya itu tidak menimbulkan mudarat yang lebih besar. Jika tidak, ke atas bahunya pertanggungjawaban di hadapan Allah taala.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.