Pelajaran 28 – Pro-Aktif Dalam Dakwah

Allah taala berfirman

لَّيۡسَ عَلَى ٱلضُّعَفَآءِ وَلَا عَلَى ٱلۡمَرۡضَىٰ وَلَا عَلَى ٱلَّذِينَ لَا يَجِدُونَ مَا يُنفِقُونَ حَرَجٌ إِذَا نَصَحُواْ لِلَّهِ وَرَسُولِهِۦۚ مَا عَلَى ٱلۡمُحۡسِنِينَ مِن سَبِيلٖۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٩١

وَلَا عَلَى ٱلَّذِينَ إِذَا مَآ أَتَوۡكَ لِتَحۡمِلَهُمۡ قُلۡتَ لَآ أَجِدُ مَآ أَحۡمِلُكُمۡ عَلَيۡهِ تَوَلَّواْ وَّأَعۡيُنُهُمۡ تَفِيضُ مِنَ ٱلدَّمۡعِ حَزَنًا أَلَّا يَجِدُواْ مَا يُنفِقُونَ ٩٢

 إِنَّمَا ٱلسَّبِيلُ عَلَى ٱلَّذِينَ يَسۡتَـٔۡذِنُونَكَ وَهُمۡ أَغۡنِيَآءُۚ رَضُواْ بِأَن يَكُونُواْ مَعَ ٱلۡخَوَالِفِ وَطَبَعَ ٱللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمۡ فَهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ ٩٣

“Dan tiada (pula dosa) atas orang-orang yang apabila mereka datang kepadamu, supaya kamu memberi kenderaan, lalu kamu berkata ‘Aku tidak memperoleh kenderaan untuk membawamu’, lalu mereka kembali sedang mata mereka bercucuran air mata kerana kesedihan, lantaran mereka tidak mempunyai apa yang dapat mereka nafkahkan. Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkah) hanyalah terhadap orang-orang yang meminta izin kepadamu, padahal mereka itu kaya. Mereka rela berada bersama orang-orang yang tidak ikut berperang dan Allah telah mengunci, mati hati mereka, maka mereka tidak mengetahui (akibat perbuatan mereka).” (Al-Taubah: 91-93)

Pelajaran

1. Seorang mukmin yang menghayati tanggungjawabnya terhadap dakwah dan perjuangan di jalan Allah taala akan sentiasa berusaha untuk memberi sumbangan dan terlibat di dalam usaha tersebut, walau pun hakikatnya dia mempunyai keuzuran atau tidak berkemampuan.

2. Mukmin yang ikhlas terhadap perjuangan di jalan Allah taala akan menangis apabila terlepas peluang atau tidak diberi peluang untuk bersama dalam perjuangan.

3. Maka sikap yang sedemikian adalah tanda komitmen seseorang terhadap agama dan menjadi ukurtara dalam pentarbiyahan untuk melahirkan aktivis dakwah. Inilah sifat manusia yang telah mewakafkan dirinya untuk dakwah. Manusia yang hidupnya untuk kerana dakwah dan dakwah hidup kerananya.

4. Sebaliknya, Allah taala mencela mereka yang sentiasa mencari keuzuran di jalan dakwah. Mereka yang berterusan seperti ini setelah diberi peringatan, menanggung risiko untuk dimatikan hatinya, sehingga ia akan terus selesa dan bergembira setiap kali mendapat alasan untuk dikecualikan dari tugas perjuangan di jalan Allah taala.

5. Orang yang sentiasa mencari alasan dalam perjuangan adalah manusia yang hatinya sakit sehingga kalau pun ia mampu atau mempunyai keupayaan untuk memberi sumbangan, ia akan tetap mengelak dan melarikan diri.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.