Awal abad 21 ini menyaksikan Islam ibarat sedang diadili oleh masyarakat dunia. Walau pun sebelum ini pun Islam sering menerima tohmah dan hukuman, namun selepas peristiwa 911, pencerobohan ke atas Afghanistan dan Iraq, pengeboman di Bali, Riyadh dan Moroko serta penangkapan JI di rantau ini menjadikan ‘perbicaraan’ ke atas Islam semakin gencar.
Walau bagaimana pun, ‘perbicaraan’ yang sedang berlaku tidak sedikit menjejas arus kebangkitan Islam. Sebaliknya ia semakin menguatkan semangat ramai umat Islam untuk bangkit membela agamanya dan tidak mengurangkan pula arus kemasukan golongan bukan Muslim ke dalam agama ini.
Sebagai reaksi dengan suasana dunia hari ini, arus kebangkitan Islam semakin deras. Kederasan arus ini telah menarik bersamanya, pelbagai anak muda Muslim untuk mencebur dalam usaha dakwah.
Kebersamaan lebih ramai umat Islam dalam usaha dakwah adalah satu perkembangan yang positif. Namun, Islam menuntut umatnya untuk melaksanakan tugas dakwah ini dengan ilmu. Apatah lagi, medan dakwah hari ini merupakan satu medan yang sofistikated. Ia memerlukan disiplin ilmu tersendiri untuk menjayakannya dengan benar.
Dua perkara penting sebagai bekal ilmu bagi aktivis dakwah;
1. Menguasai ilmu yang dikenali sebagai Fiqh Dakwah.
2. Memastikan Fiqh Dakwah yang dikuasai mempunyai sandaran dalam Al-Quran dan Sunnah
Siri Petunjuk Dakwah Dalam Al-Quran ini ditulis bukan bertujuan untuk membekalkan para pembacanya dengan ilmu dakwah yang komprehensif. Kumpulan penulisan ini telah diterbitkan dalam sebuah buku bertajuk Fiqh Dakwah Dalam Al-Quran (2004).
Kandungan buku berkenaan dikirimkan semual dengan pengemaskinian.
Tujuann siri ini ialah untuk
a. Mengajak para pembaca untuk melihat isu-isu yang berkaitan dengan dakwah di bawah bimbingan Al-Quran. Hal ini adalah kerana dakwah sebagai salah satu kewajiban agama tidak boleh dioperasikan tanpa mengambilkira petunjuk-petunjuk yang ada dalam Al-Quran, rujukan utama Islam.
b. Dengan sentiasa melihat isu dakwah di bawah bimbingan Al-Quran akan mendekatkan diri pendakwah dengan Al-Quran. Ini merupakan elemen penting dalam pembentukan peribadi pendakwah kerana Al-Quranlah yang membezakan para pendakwah dengan aktivis sosial yang lain.
c. Membimbing para pembaca untuk berfikir bersama ayat-ayat Al-Quran dan membina keupayaan untuk mengaitkannya dengan masalah kehidupan, khususnya masalah dakwah yang dihadapi. Terlalu banyak ayat Al-Quran yang menganjurkan umatnya untuk berfikir. Maka pendakwah tidak boleh dibentuk secara dogmatik. Pendakwah juga tidak boleh menyampaikan dakwahnya secara dogmatik. Maka budaya berfikir mengenai apa yang tersurat dan tersirat adalah penting. Tiada satu yang lebih oenting bagi umat Islam untuk berfikir dengannya selain dari ayat-ayat Al-Quran yang mereka baca.
Pada asalnya tulisan bersiri ditulis secara mingguan oleh penulis dan dikirmkan kepada pelbagai kumpulan e-mail (mailing group). Sejajar dengan budaya pembaca e-mail, tulisan ini ditulis dengan memetik satu atau dua ayat dari Al-Quran sahaja. Ayat-ayat berkenaan diperjelaskan berdasarkan satu tema yang ada padanya. Dari tema itu, diambil beberapa pengajaran pula.
Pendekatan berfokus ini hanyalah bertujuan untuk meringkaskan pembacaan sesuai dengan media yang digunakan. Pastinya setiap ayat itu mempunyai banyak lagi pengajaran dan isu yang dapat dihuraikan. Setelah membaca buku ini, diharapkan para pembaca dapat berusaha untuk berfikir akan apakah lagi pengajaran yang dapat diambil dari ayat-ayat berkenaan, bertanya kepada orang yang arif mengenai dapatannya dan berkongsi pula dengan yang lain.
Tumpuan siri ini kepada Al-Quran bukanlah bermakna penulis menafikan peranan Sunnah bagi para pendakwah. InsyaAllah penulis akan menulis pula, dengan konsep yang sama, Fiqh Dakwah Dalam Sunnah.
Siri ini amat sesuai dijadikan bahan perbincangan dan tazkirah dalam sesi-sesi perbincangan bagi aktivis dakwah.
Untuk membaca segala kiriman di bahagian ini, sila ke https://haniff.sg/category/dakwahalquran/ atau kilk dakwah@al-quran di halaman utama.
Semoga Allah taala menerima usaha ini sebagai amal soleh yang berterusan manfaatnya.