Pelajaran 51 – Dakwah Berorientasi Sasaran Dakwah

Telah diriwayatkan bahawa Abdullah b Mas`ud r.a selalu memberi nasihat kepada orang ramai setiap hari Khamis. Ketika ditanya oleh seorang lelaki “Hai Abu Abdul Rahman, saya ingin tuan memberi ajaran dan nasihat pada setiap hari.” Jawab Ibn Mas`ud “Sesungguhnya yang mencegah diriku untuk memberi nasihat kepada kalian setiap hari ialah kerana kekhuatiran kalian akan merasa jemu. Oleh itu, aku menjarangkan nasihat kepada kalian sebagaimana Nabi s.a.w dahulu berbuat sedemikian kepada kami kerana khuatir kami akan jemu juga.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Pelajaran

1. Dakwah haruslah memahami akan tabiat manusia, samada psikologi, budaya dan sebagainya. Hadits ini mengajar kita akan prinsip dakwah berorientasikan sasaran dakwah. Konsep ini sama seperti konsep khidmat berfokus kepada pelanggan (customer oriented).

2. Aktivis dakwah yang berdakwah hanya mengikut rasa dan keinginannya sahaja kerana hendak cepat menyampaikan sesuatu agar manusia cepat berubah, bukan hanya menyebabkan usahanya menjadi sia-sia tetapi juga mungkin akan menyebabkan orang lari atau kemudharatan yang lain.

3. Berbanyak-banyak dalam amal kebaikan bukanlah satu kebaikan, jika ia tidak bersesuaian dengan fitrah manusia. Dakwah tidak akan berjaya tanpa memperhatikan apa jua aturan alam.

4. Oleh kerana dakwah adalah usaha yang berterusan dan bersifat jangka panjang, hadits ini mengingatkan para pendakwah akan satu cabaran penting iaitu mengekalkan minat manusia terhadap usaha dakwah yang dilakukan.

5. Oleh kerana sifat jemu adalah fitrah manusia, maka aktivis dakwah mempunyai dua pilihan;

a. Mengurus keadaan dan usaha dakwahnya agar manusia tidak jemu.

b. Membenarkan manusia memenuhi rasa jemu dalam diri atau mewujudkan saluran bagi mereka melepaskan rasa jemu tanpa menyebabkan mereka lari sama sekali dari dakwah. Dalam hal ini, hadits ini mengajar satu teknik iaitu memberi mereka waktu rehat (give them a break).

6. Ini menunjukkan akan kepentingan bagi pendakwah untuk berupaya mengurus dengan baik program dakwah dan manusia yang menjadi sasaran dakwah.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.