Pelajaran 61 – Dakwah Hendaklah Hidup Dengan Ekologinya

Abu Hurairah r.a berkata “Rasulullah s.a.w bersabda ‘Perumpamaan seorang mukmin bagaikan pohon yang lunak dahannya, dari mana datangnya angin dia sanggup mengikutinya. Manakala apabila ia mula keras, ia dijatuhkan oleh bala’. Perumpamaan orang yang fajir (jahat) ialah bagaikan pohon yang kaku tegak. Apabila ada angin keras, ia langsung patah, jika Allah menghendaki’.” (Riwayat Al- Bukhari & Muslim, Kitab Al-Lu’lu Wa Al-Marjan, hadits 1790)

Pelajaran

1. Rasulullah mengumpamakan seorang Muslim yang baik ialah seorang yang hidup sejajar dengan ekologi dan persekitarannya. Ia hidup harmoni dengan konteks dan realitinya tanpa terungkai dari dasarnya. Ibarat sepohon pokok yang harmoni dengan hembusan angin dalam keadaan akarnya tetap terpacak di bumi.

2. Apabila seorang Muslim itu mula keras dan kaku dalam menghadapi persekitarannya seperti pokok yang keras batangnya, ia akan pasti diuji, menghadapi kepayahan dan kesulitan seperti pokok yang tercabut dari dasarnya atau dahan yang patah dari pokok.

3. Ini pastinya mengajar seorang Muslim agar hidup dengan keanjalan (flexibility) sejajar dengan persekitaran. Keanjalan yang benar adalah kunci bagi penakatan (survival) seorang Muslim dan Islam itu sendiri.

4. Beku, keras dan kaku dikaitkan sebagai sifat seorang fajir (jahat). Ia adalah punca fitnah dan kepayahan.

5. Anjal, mengambil rukhsah dan berubah mengikut persekitaran tidak semestinya buruk atau imej kelompok yang bermudah (mutasahil) dalam agama, selama mana ia dilakukan sejajar dengan garis pandu syariat.

6. Demikianlah juga sepatutnya sifat kita dalam menunaikan tanggungjawab dalam masyarakat.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.