Pelajaran 67 – Memudahkan Manusia Melakukan Ibadah

Abdullah b. Amr B. Al-`As berkata bahawa Rasulullah s.a.w, ketika melakukan haji wida’, berdiri di Mina sedang orang-orang bertanya padanya. Seorang bertanya ‘Aku tidak mengerti lalu aku cukur sebelum menyembelih.’ Jawab Nabi s.a.w ‘Sembelihlah dan tidak mengapa (berdosa).’ Dan orang lain bertanya ‘Aku tidak mengerti, maka aku menyembelih sebelum melempar.’ Jawab Nabi s.a.w ‘Lemparlah dan tidak apa-apa.’ Maka pada saat itu ditanya tentang sesuatu yang diajukan atau diundurkan melainkan dijawab ‘Berbuatlah dan tidak apa-apa (dosa)’. (Riwayat Al-Bukhari & Muslim. Rujuk Al-Lulu’ Wa Al-Marjan, hadits no. 822)

Pelajaran

1. Hadits ini menunjukkan bagaimana Rasulullah s.a.w memudahkan amalan agama dengan meraikan kepelbagaian manusia dan membenarkan kepelbagaian dalam persoalan furu’ (cabang). Walau pun kita tidak mempunyai kuasa tasyri’ sebagaimana Rasulullah s.a.w untuk menentukan apa yang boleh dan tidak boleh dalam amalan agama tetapi semangat yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w boleh dicontohi.

2. Contoh penghayatan kepada semangat berkenaan ialah dengan menawarkan kepada mereka yang bermasalah pandangan ulama yang berbeza dalam persoalan yang wujud khilaf ulama sesuai dengan konteks pihak yang berkenaan. Dengan ini, pihak yang bermasalah itu merasa rahmat dari keluasan dan keanjalan Islam hasil dari khilaf ulama yang ada.

3. Kita hendaklah sentiasa peka akan kepelbagaian manusia. Kepelbagaian ini menyebabkan satu huraian sahaja tidak mungkin sesuai untuk semua. Oleh itu, apabila menghadapi sesuatu masalah dan situasi, kita hendaklah sentiasa berusaha menyediakan huraian yang pelbagai sesuai dengan kepelbagaian manusia.

4. Hakikat ini nyata dalam pelbagai syariat yang diturunkan dalam Al-Quran. Dalam ayat mengenai pensyariatan puasa misalnya (Al-Baqarah : 183-185), Allah taala menyatakan hukum puasa bagi pelbagai pihak dalam yang berada dalam situasi yang berbeza. Begitu juga dalam persoalan haji (Al-Baqarah : 196-203).

5. Jika dalam persoalan ibadah Islam memberi keluasan dan meraikan kepelbagaian, pastinya dalam persoalan keduniaan seperti dakwah keterbukaan kepada kepelbagaian lebih diperlukan lagi, selama mana terdapat dasar mengenainya.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.