Pelajaran 82 – Dimensi Makro Dan Mikro Dalam Dakwah

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud

“Apabila di antara kamu ada yang menjadi imam manusia (dalam solat), hendaklah dia memperingankan kerana di antara mereka ada yang lemah, ada yang sakit dan ada yang tua. Apabila dia solat bersendirian, silakan memperpanjang sesuai dengan keinginannya.” (Riwayat Al-Bukhari)

Pelajaran

1. Hadits ini mengajar kita bahawa di sana terdapat dua dimensi yang berbeza yang perlu dipertimbangkan apabila kita menjalankan usaha dakwah atau dalam merangka polisi atau dalam mencari huraian bagi sesuatu masalah dakwah. Dimensi berkenaaan ialah dimensi makro dan mikro.

2. Dimensi makro bagi dakwah ialah yang bertujuan untuk mencapai maslahat bagi masyarakat umum yang meliputi pelbagai jenis manusia. Contoh-contoh kewujudannya ialah polisi-polisi umum negara dan perancangan strategi umum dakwah.

Dimensi mikro bagi dakwah pula ialah yang bertujuan untuk mencapai maslahat bagi situasi khusus seperti menangani masalah individu, atau kelompok tertentu atau situasi tertentu. Ia meliputi juga maslahat atau situasi peribadi aktivis dakwah sendiri atau organisasi dakwah berkenaan.

3. Dalam menangani masalah dakwah dalam dimensi makro, asas pertimbangannya ialah mengikut hukum aghlabiyah (kebanyakan orang). Iaitu sesuatu yang sesuai dengan keupayaan umum atau mengikut pertimbangan purata keupayaan masyarakat umum. Ini bertujuan agar polisi berkenaan tidak menimbulkan beban yang memberatkan kerana keadaan masyarakat umum yang mempunyai kepelbagaian.

Dalam konteks seperti inilah kaedah fiqh yang berbunyi Al-Nadir La Hukma Lahu (sesuatu yang jarang berlaku, tiada hukum baginya atau tiada pertimbangan baginya).

4. Memahami perspektif seperti ini adalah penting agar kita tidak mencampur adukkan apa yang sesuai di dimensi mikro ke dalam dimensi makro kerana ia akan menimbulkan kepayahan.

5. Seperti mana yang pernah dikatakan dahulu, kita atau organisasi dakwah tidak boleh memaksa nilai peribadi atau realiti kita yang bersifat khusus kepada orang lain atau kepada orang ramai. Apa yang sesuai dalam konteks yang khusus tidak bermakna baik dalam konteks umum. Apa yang pernah berjaya dilakukan dalam situasi tertentu bukan bermakna akan berjaya dilakukan dalam situasi umum.

6. Persoalannya ialah bagaimanakah sesuatu polisi atau perancangan strategi umum dakwah dapat tetap memelihara maslahat khusus, atau tidak mengabai dimensi mikro  dalam usaha untuk merealisasi dimensi makro dakwah? Hal ini adalah kerana dimensi mikro bagi dakwah juga adalah satu realiti yang perlu ditangani dan tidak boleh diabai. Apabila semua gerak kerja dakwah hanya menjurus kepada dimensi makro sahaja, mereka yang berada dalam dimensi mikro akan rasa terabai atau potensinya akan terhambat kerana harus sentiasa mengalah dengan masyarakat umum.

Dalam hal ini, tiada satu solusi yang tepat. Ia memerlukan keseimbangan. Untuk itu, ia memerlukan ijtihad dalam dakwah.

Namun terdapat panduan yang boleh diperolehi dari Al-Quran iaitu melalui proses itstitsnaiyah – pengecualian-pengecualian hukum. Apabila kita mengkaji penulisan para ulama dalam persoalan fiqh nescaya kita akan sentiasa dapati bahawa ulama akan menyatakan hukum asal atau yang bersifat umum kemudian dinyatakan pula hukum pengecualian dalam konteks-konteks tertentu.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.