Pelajaran 56 – Mengutamakan Usul (Prinsip) Sebelum Furu’ (Cabang)

Al-Barra’ b. `Azib berkata “Ketika Rasulullah s.a.w telah sepakat membuat surat perjanjian Hudaibiyah, Ali berperanan sebagai penulis surat perjanjian itu. Beliau menulis ‘Muhammad Rasulullah’. Orang-orang musyrik berkata “Jangan tulis Muhammad Rasulullah. Jika kau benar seorang Rasul, kami tidak akan memerangi kamu. Rasulullah s.a.w lalu berkata “Padamlah ia.” Ali berkata “Aku tidak akan memadamnya.” Rasulullah s.a.w lalu memadamnya dengan tanggannya sendiri. Rasulullah s.a.w mengikat perjanjian dengan orang-orang musyrik akan hanya masuk ke Mekah untuk berumrah pada tahun hadapan bersama sahabat-sahabatnya selama tiga hari sahaja. Mereka tidak boleh masuk kecuali dengan senjata yang tetap dalam sarungnya.” (Al-Bukhari & Muslim)

Pelajaran

1. Hadits ini mengajar dua pengajaran penting dalam kerja dakwah;

a. Kaedah mengutamakan Usul (Prinsip / Dasar) Sebelum Furu’ (Cabang).

b. Kaedah mengutamakan maslahat jangka panjang dan besar dari maslahat jangka pendek dan kecil.

b. Bertoleransi.

2. Sering kali dalam usaha dakwah, kita menghadapi situasi untuk membuat pilihan seperti samada hendak menamakan sesuatu program dengan nama Islam atau tidak, menonjolkan imej Islam dengan jelas atau hanya fokus kepada ajarannya sahaja. Dengan memahami hadits ini dapat membantu kita untuk membuat keputusan dan pilihan.

3. Salah satu prinsip untuk membuat pilihan ialah dengan membezakan antara prinsip dan furu’ dalam sesuatu perkara dan mengenalpasti apa dia maslahat jangka panjang dan besar dan maslahat jangka pendek dan kecil. Ini hanyalah panduan umum kerana kadangkala dalam sesuatu situasi mungkin kita perlu memilih maslahat jangka pendek yang besar dari maslahat jangka panjang yang kecil.

4. Dalam menghadapi masalah dalam usaha dakwah, kita mestilah objektif. Ia membuat keputusan dengan pertimbangan yang rasional dan kejelasan akan maslahat dan mudharat bukan berdasarkan emosi atau faktor-faktor sentimental.

5. Tidak salah bertoleransi dengan orang lain dalam perkara yang bukan prinsip dan dasar. Apatah lagi jika toleransi itu akan mendatangkan maslahat yang besar di masa akan datang.

6. Keyakinan seorang pemimpin terhadap prinsip yang dipegang, janganlah menghalangnya untuk  membenarkan pengikutnya bersuara dan menyatakan perasaannya. Rasulullah s.a.w tidak memarahi Ali r.a kerana tidak mahu memadamkan perkataan ‘Rasulullah’, walau pun dia tidak menerima pendiriannya itu.

7. Dalam hadits ini, Rasulullah s.a.w diberi petunjuk oleh Allah taala untuk melihat jauh ke hadapan sehingga dengannya ia dapat menentukan maslahat masa hadapan dan masa terdekat, maslahat kecil dan besar. Ini memberi pengajaran akan kepentingan bagi kita untuk membina keupayaan sedemikian dalam diri dan organisasinya.

8. Hadits ini khususnya dan keseluruhan peristiwa Perjanjian Hudaibiyah amat relevan untuk memandu kita ketika melakukan negosiasi atau perundingan dalam kerja dakwah.

9. Namun bagi menyempurnakan kefahaman dalam isu ini, kita juga perlu mengkaji surah Al-Kafirun dan sebab turunnya surah berkenaan yang mengandungi ayat yang bermaksud “Bagi kamu agama kamu dan bagi ku agama ku”.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.