Aisyah dan Anas telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Kamu lebih tahu mengenai urusan dunia kamu.” (Riwayat Muslim)
Rafi’ bin Hudaij pula meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
”Sesungguhnya aku hanya seorang manusia, kalau aku perintahkan kamu dalam urusan agama kamu, maka ambillah dan kalau aku perintahkan kalian berdasarkan pendapat sendiri, sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia biasa (yang pendapatnya boleh diambil atau ditolak).” (Riwayat Muslim)
Pelajaran
- Kedua hadits di atas merujuk kepada cadangan Rasulullah s.a.w kepada para petani di Madinah mengenai teknik penanaman kurma. Setelah cadangan itu diikuti, hasilnya tidak sebaik dari amalan yang biasa mereka lakukan.
- Hadits ini mengajar sifat tawaduk kepada kita. Walaupun Rasulullah s.a.w adalah seorang nabi yang dibimbing oleh wahyu, namun beliau mengakui bahawa kebijaksanaan (wisdom) itu tidak dimonopoli oleh beliau. Hatta seorang nabi sekali pun, mempunyai keterbatasan dari segi bidang penguasaan ilmunya dan pandangannya tidak sentiasa benar.
- Kejituan sesuatu pandangan adalah berdasarkan kepakaran si pemberi pandangan. Setiap bidang mempunyai pakar yang berotoriti dalam memberi pandangan. Penglibatan dan pengalaman bertahun-tahun dalam dakwah tidak menjadikan seseorang itu tahu segala perkara dan sentiasa benar. Kebijaksanaan (wisdom) bukan milik eksklusif organisasi dakwah. Penguasaan ilmu agama tidak menjadikan seseorang itu berotoriti dalam semua bidang.
- Penyelesaian dan huraian bagi masalah yang ada bukan hanya ditangan aktivis dakwah, organisasi dakwah atau tokoh agama tetapi ia memerlukan penguasaan dalam pelbagai bidang lain. Ertinya dakwah memerlukan gabungan pelbagai pihak dan kepakaran bagi menangani cabaran dan masalah masyarakat.
- Janganlah malu untuk mengaku kelemahan atau kesilapan kerana sifat malu yang seperti itu adalah sifat keji yang seharusnya dibersihkan dari diri aktivis dakwah dan tokoh agama.
- Pandangan seorang manusia, selain para anbiya dalam urusan agama, semuanya boleh benar dan boleh salah. Oleh itu, ia boleh diterima dan ditolak. Apa yang diterima hari ini, mungkin boleh salah pada masa akan datang dan apa yang dilihat salah hari ini, mungkin benar di ketika lain atau dalam situasi yang lain.
- Melalui hadits ini, kita diajar sifat demokrasi dalam memberi dan menerima pandangan. Kebenaran itu bukan milik seseorang atau sekumpulan tertentu sahaja.
- Melalui hadits ini juga, kita diajar kaedah saintifik dan ilmiyah dalam membuat keputusan dan penilaian. Sesuatu pandangan itu hendaklah dibina atas ilmu yang betul dan dari kepakaran yang tepat bukan atas andaian atau ikut-ikut sahaja.
Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.