Pelajaran 87 – Bagaimana Menghadapi Kelemahan Manusia

Hasan b Ali r.a berkata “Ada seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w, maka orang itu berkata “Sesungguhnya aku adalah orang yang penakut dan aku juga termasuk orang yang lemah.” Maka Nabi menjawab “Kemarilah… lakukanlah jihad yang tidak menggunakan kekuatan di dalamnya, iaitu haji.” (Riwayat Al-Tabrani)

Pelajaran

1. Hadits ini mengajar kita bagaimana menghadapi seorang yang mempunyai kelemahan dalam menunaikan tanggungjawab agama.

2. Apabila berhadapan dengan lelaki berkenaan, Rasulullah s.a.w tidak mengkritik kelemahannya dan tidak pula menyisih dia. Sebaliknya beliau menyalurkan lelaki berkenaan kepada sesuatu yang lain.

3. Kita perlulah memahami bahawa setiap manusia mempunyai kelemahan. Tiada manusia yang mampu menunaikan seluruh tanggungjawab agama secara sempurna. Kelemahan seseorang untuk melaksanakan sesuatu kewajiban yang besar seperti jihad tidak bermakna dia tidak berkeupayaan untuk lakukan kewajiban besar yang lain. Kelemahan untuk menunaikan sesuatu kewajiban yang besar tidak menjadikan seseorang itu ‘tidak berguna langsung’ dalam usaha dakwah sehingga tiada tempat baginya dalam barisan usaha dakwah.

4. Kebijaksanaan bukan hanya terletak pada menilai kelemahan orang tetapi juga menilainya secara keseluruhan dan menyalurkannya ke saluran yang sesuai.

5. Apabila Rasulullah s.a.w menganjurkan lelaki berkenaan untuk berhaji, ia juga sebenarnya merupakan preskripsi kepada kelemahan dirinya. Semoga dengan berhaji dan beribadah, sifat takutnya dapat di atasi apabila iman semakin bertambah.

6. Menganjurkan seseorang itu untuk melakukan ibadah tertentu sebenarnya adalah sebahagian dari cara untuk menyelesaikan masalahnya kerana kadangkala kelemahan seseorang itu timbul adalah kerana hatinya yang lemah atau kerana sifat-sifat yang keji yang bersarang dalam diri. Dengan beribadah imannya akan bertambah kuat dan hatinya akan bersih. Ini membolehkan hidayah masuk dalam dirinya untuk mengatasi kelemahan yang ada.

7. Perbuatan Rasulullah s.a.w itu juga melihat akan sifat inklusif Islam. Kita hendaklah menerima manusia seadanya, membantu untuk membangun potensi diri dan melihat setiap insan yang jujur dan ikhlas sebagai aset yang berguna.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.