Bertahap-Tahap Melakukan Perubahan

tudung
(c) Muhammad Haniff Hassan

Antara faktor yang menyebabkan seseorang itu jatuh dalam pelampauan ialah kerana sifat tergesa-gesa untuk melakukan perubahan atau ingin bersegera melihat perubahan berlaku.

Artikel di bawah ditulis bagi menerangkan pendirian Islam mengenai proses perubahan.

Islam menyeru umatnya untuk melakukan islah yang bermaksud reformasi atau perubahan kerana tanpanya keadaan masyarakat akan kekal di takuk lama.

Islah adalah tugas para anbiya’ yang patut kita contohi.

Allah taala berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya aku tidak kehendaki kecuali untuk melakukan islah semampuku.” (Hud: 88)

Islam juga menyeru kita semua untuk menyuruh manusia ke arah kebaikan dan mencegah kemunkaran.

Allah taala berfirman yang bermaksud, “Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia, kamu menyeru kepada yang makruf dan mencegah yang munkar dan beriman kepada Allah.” (Ali-Imran: 110)

Rasulullah s.a.w pula bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang melihat kemunkaran hendaklah ia ubah dengan tangannya. Jika ia tidak mampu, maka ubahlah dengan lidahnya. Jika ia tidak mampu, maka ubahlah dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)

Menyuruh yang makruf bermaksud menggalakkan orang ramai untuk terus beramal dengan perintah Allah taala atau mengajak mereka yang tidak mengamalkannya untuk mula melakukan perintah Allah  taala.

Manakala mencegah yang munkar ialah mencegah masyarakat dari jatuh dalam kemunkaran atau mengajak mereka yang terjerumus dalam kemunkaran untuk meninggalkannya.

Usaha melakukan islah ini bukan hanya dilakukan melalui masjid atau badan-badan Islam tetapi ia juga dilakukan di rumah kita atau di tempat kerja kita.

Ertinya hendaklah sentiasa berusaha melakukan perubahan dalam kehidupan.

Namun, perlu diingatkan bahawa Islam menganjurkan agar apa jua perubahan yang hendak dibuat mesti dilakukan secara bertahap-tahap, berperingkat-peringkat bukan secara mendadak, tergesa-gesa atau sekali gus.

Hali ini adalah kerana ia adalah sunnah atau aturan yang ditetapkan oleh Allah taala bagi syariatNya dan juga merupakan aturan semula jadi alam ini.

Buktinya adalah Allah taala mencipta alam ini dengan bertahap-tahap.

Allah taala berfirman yang bermaksud, “Allah yang telah mencipta langit-langit  dan bumi dan apa yang di antara keduanya dalam tempoh enam hari kemudian dia duduk di atas arasy.” (Al-Sajadah : 4)

Allah taala pula menurunkan Al-Quran secara beransur-ansur sebagaimana firmanNya yang bermaksud, “Dan Al-Quran itu telah Kami turunkan dengan beransur-ansur agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dan Kami menurunkannya bahagian demi bahagian.” (Al-Isra’ : 106)

Aisyah r.a berkata, “Pertama kali dari sesuatu yang diturunkan oleh Al-Quran adalah surat-surat Al-Mufassal yang di dalamnya disebutkan mengenai syurga dan neraka. Sehingga ketika manusia sudah bersemangat melaksanakan Islam, maka turunlah kemudian tentang halal dan haram. Seandainya yang pertama kali turun adalah larangan, ‘janganlah kamu minum arak’, nescaya mereka akan berkata, ‘kami tidak boleh meninggalkan arak untuk selama-lamanya’, atau jika yang diturunkan ialah, ‘janganlah kamu berzina’, nescaya mereka akan menjawab, ‘kami tidak boleh meninggalkan zina untuk selama-lamanya’.” (Riwayat Al-Bukhari)

Jika kita mengkaji pula cara dakwah yang dilakukan aoleh Rasulullah s.a.w, kita akan dapati bahawa beliau sentiasa menjaga prinsip bertahap-tahap dalam mengubah kaumnya.

Beliau bersabda kepada Aisyah yang bermaksud, “Seandainya bukan kerana kaummu yang masih kufur, aku akan meruntuhkan Ka`bah kemudian aku dirikan kembali atas asas binaan Ibrahim kerana orang Quraisy telah mengurangi dalam pembinaan Ka`bah dan membuat pintu (khusus).” (Riwayat Al-Bukhari)

Rasulullah s.a.w bahkan mengajar sahabatnya untuk mengamalkan bertahap-tahap dalam melakukan perubahan.

Beliau bersabda kepada Mu`az ketika menghantarnya ke Yaman yang bermaksud, “Sesungguhnya engkau akan mendatangi kaum dari Ahli Kitab. Maka jika kamu telah datang kepada mereka, ajaklah mereka untuk bersyahadah bahawa sesungguhnya tiada tuhan selain Allah dan sesungguhnya Muhamad adalah Rasulullah. Jika mereka telah mentaatimu dengan ajakanmu itu, maka beritahukan kepada mereka bahawa Allah mewajibkan atas mereka solat lima waktu dalam sehari semalam. Jika mereka telah mentaati perintahmu, maka beritahulah kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan kepada mereka sedekah (zakat) yang diambil atau dipungut dari orang-orang kaya mereka kemudian dibahagikan kepada orang-orang miskin di antara mereka. Jika mereka telah mentaati perintahmu itu, maka janganlah kamu mengambil harta mereka yang berharga, dan takutilah kamu terhadap doa orang yang dizalimi. Sesungguhnya tidak ada hijab antara doa mereka dengan Allah.” (Riwayat Al-Bukhari)

Barangsiapa mengkaji syariat Allah taala, dia akan dapati pula banyak dari syariat itu diturunkan secara bertahap-tahap seperti pengharaman arak dan riba.

Melakukan perubahan secara bertahap-tahap bukan bererti lemah atau takut tetapi ia sebenarnya adalah petanda iltizam seseorang kepada anjuran Islam itu sendiri.

Sesiapa yang ingin melakukan perubahan haruslah berhati-hati agar semangatnya itu tidak membutakan matanya atau menutup akalnya dari berfikir dan bertindak sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam.

Apabila sesuatu perubahan itu ingin dilakukan dengan mendadak, tergesa-gesa dan radikal, ia bukan hanya bercanggah dengan prinsip Islam tetapi ia juga tidak sejajar dengan aturan alam ini.

Akibatnya ialah ia akan mencetus kesan-kesan negatif seperti kemudaratan yang lebih besar, kesulitan kepada masyarakat atau individu berkenaan, melarikan orang lain dari kebaikan atau mungkin sahaja menyebabkan orang menjadi lebih degil untuk melakukan kemunkaran.

Kesemua ini hanya akan menimbulkan firnat pada Islam dan umatnya.

Sesiapa yang ingin melakukan perubahan perlulah ingat bahawa niat yang baik itu tidak semestinya membolehkan apa jua cara untuk mencapai niat berkenaan.

Niat dan tujuan yang baik hendaklah dicapai melalui cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.

Bertahap-tahap dalam perubahan adalah kaedah yang relevan samada seseorang itu ingin mengubah anaknya, ahli keluarganya, temannya atau masyarakat.

Apabila prinsip bertahap-tahap ini diabaikan, seseorang akan menghadapi risiko jatuh dalam pelampauan yang dicela, walau pun jika ia melakukannya atas nama Islam itu sendiri.