Ciri-ciri Sederhana Dalam Islam 1 – Mudah dan Tidak Menyulitkan

(Dipetik dari buku Kesederhanaan Dalam Islam Dalam Konteks Masyarakat Islam Singapura, terbitan Pergas, 2004)

 

Kesederhanaan dan moderat adalah salah satu dari ciri-ciri utama Islam. Hakikat ini dapat dilihat dari satu hakikat bahawa Allah taala menyifatkan kesederhanaan dan pertengahan bagi umat Islam dalam firmanNya;

 

“Dan demikian (pula) Kami menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan, agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) s.a.w menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.” (Al-Baqarah : 143)

 

Para ulama telah mentafsirkan perkataan Ummatan Wasatan dengan erti adil (Al-`Adl) dan juga pilihan (Al-Khiyar). Kedua-dua tidak bercanggah kerana golongan yang terpilih ialah golongan yang adil. Pengertian ini juga tidak bercanggah dengan erti pertengahan, sederhana dan moderat sebagai lawan dari pelampauan kerana yang dikatakan adil ialah apabila ia seimbang dan dipertengahan antara dua ekstrem.

 

Sifat kesederhanaan yang wujud dalam Islam diperkukuhkan oleh beberapa ciri berikut:

 

1.   Islam sebagai agama yang mudah dan anjuran agar mempermudahkan dalam           mengamalkan agama.

 

Allah taala berfirman yang bermaksud:

 

“Dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama satu kesempitan.” (Al-Haj : 78)

 

Dalam mensyariatkan puasa, Allah taala berfirman yang bermaksud:

 

“Allah menghendaki bagi kamu kemudahan dan Dia tidak menghendaki bagi kamu kesulitan.” (Al-Baqarah : 185)

 

Dalam mensyariatkan wudhu’, Allah taala berfirman yang bermaksud:

 

Allah tidak hendak menyulitkan kamu, tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmatNya bagimu, supaya kamu bersyukur.” (Al-Maidah : 6)

 

Hakikat ini disokong pula oleh hadits Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

 

“Sesungguhnya agama ini mudah dan tidak ada sesiapa yang menyulitkan agama ini kecuali dia akan dikalahkan olehnya.” (Riwayat Al-Bukhari)

 

Maksud dikalahkan olehnya ialah dia tidak akan mampu melakukan amalan yang dia sendiri memberat-beratkannya.

 

Rasulullah s.a.w juga bersabda yang bermaksud:

 

“Sesungguhnya agama yang paling disukai oleh Allah ialah yang mudah dan toleran.” (Riwayat Al-Bukhari)

 

Apabila Rasulullah s.a.w mengutus utusannya, beliau berpesan dengan pesanan yang bermaksud:

 

“Permudahkan dan jangan persulitkan, berikan berita gembira dan jangan menjadikan orang lari.” (Riwayat Al-Bukhari)

 

Selain itu, Rasulullah s.a.w juga berpesan yang bermaksud:

 

“Sesungguhnya kamu dibangkitkan sebagai kelompok yang memudahkan dan kamu tidak dibangkitkan sebagai kelompok yang mempersulitkan.” (Riwayat Al-Bukhari)

 

Aisyah r.a pernah berkata yang bermaksud:

 

“Tidaklah Rasulullah s.a.w. diberi dua pilihan kecuali dia akan memilih yang paling mudah antara keduanya selama mana dia tidak berdosa.” (Riwayat Al-Bukhari)

 

Antara lambang kemudahan Islam dalam beragama ialah pensyariatan rukhsah (keringanan) apabila seseorang menghadapi kesulitan untuk menunaikan perintah yang asal.