Ciri-ciri Sederhana Islam Dalam 2 – Toleransi

(Nota: Artikel ini dipetik dari buku Kesederhanaan Dalam Islam Dalam Konteks Masyarakat Islam Singapura, terbitan Pergas, 2004)

 

Sifat ini dapat ditemukan pada dasar tiada paksaan dalam beragama sebagaimana firman Allah taala yang bermaksud:

 

“Tiada paksaan dalam beragama.” ( Al-Baqarah : 256) 

 

“Adakah kau ingin memaksa manusia sehingga mereka menjadi orang-orang beriman.” (Yunus : 99)

 

Islam juga menganjurkan sikap hormat kepada agama lain dan tidak mencampuri urusan keagamaan penganut agama lain. Ini dapat difahami dari firman Allah taala yang bermaksud:

 

“Katakanlah ‘Wahai Orang-orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah yang aku sembah. Untukmu agamamu, dan untukku agamaku.” (Al-Kafiruun : 1-6)

 

Sebahagian dari sifat hormat ini ditunjukkan dalam bentuk larangan dari mencela dan menghina agama lain. Perkara ini disebutkan dalam firman Allah taala yang bermaksud:

 

“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana nanti (mereka) akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah, tempat kembali mereka lalu Dia memberitahukan mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.” (Al-An`am : 108)

 

Satu bentuk toleransi juga ialah anjuran agar membalas kejahatan dengan sesuatu yang lebih baik. Allah taala berfirman yang bermaksud:

 

“Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang di antaramu dan antara dia ada permusuhan, seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia.” (Fussilat : 34)

 

“Tolaklah satu kejahatan dengan sesuatu yang lebih baik. Kami lebih mengetahui apa yang mereka sifatkan.” (Al-Mukminun : 96)

 

Selain itu, Islam menganjurkan sifat pemaaf di kalangan umatnya kepada orang lain. Bukti mengenainya ialah anjuran agar keluarga mangsa pembunuhan memaafkan si pembunuh yang bersalah dari dihukum bunuh dan begitu juga orang yang bersalah melakukan kesalahan kecederaan atas diri (qisas). Allah taala berfirman yang bermaksud:

 

“Dan barangsiapa mendapat satu kemaafan dari saudaranya, hendaklah (yang memaafkan) mengikuti dengan cara yang baik, dan hendaklah (yang dimaafkan) membayar (diyah) kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik (pula).” (Al-Baqarah : 178)

 

Hatta diyat pun dianjurkan bagi keluarga mangsa pembunuhan agar dihalalkan sahaja. Allah taala berfirman yang bermaksud;

 

“Dan barangsiapa membunuh seorang mukmin kerana tersalah (hendaklah) ia memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar diyah yang diserahkan kepada keluarganya (mangsa pembunuhan) kecuali jika mereka (keluarga mangsa pembunuhan) bersedekah.” (An-Nisa’ : 92)

 

Pembunuhan adalah satu dosa besar. Namun Islam menganjurkan sikap pemaaf kepada mereka yang telah melakukannya.

 

Dalam urusan rumahtangga, Allah taala berfirman yang bermaksud:

 

“Hai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya di antara isteri-isteri dan anak-anak kamu ada yang menjadi musuh bagimu, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka, dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (At-Taghabun : 14)

 

Ayat ini diturunkan mengenai seorang sahabat yang dipujuk rayu oleh isteri dan anak-anaknya agar tidak menyertai pasukan tentera Rasulullah s.a.w untuk melawan musuh. Jihad adalah satu kewajiban yang besar dan menghalang  orang dari berjihad adalah satu kesalahan yang besar juga. Namun, Islam tetap menganjurkan sifat pemaaf dalam kesalahan yang besar ini.

 

Allah taala menjadikan sifat pemaaf sebagai sifat ahli syurga dalam firmanNya yang bermaksud:

 

“Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa. (Iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang atau sempit, dan orang yang menahan marahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (Ali-Imran : 133 – 134)

 

Allah taala sendiri adalah Maha Pengampun. Rasulullah s.a.w berkata bahawa Allah taala berfirman yang bermaksud :

 

“Wahai anak Adam, sesungguhnya selama engkau berdoa kepada dan berharap kepadaKu, Aku akan mengampunkan apa jua kesalahan kau dan Aku tidak akan peduli. Wahai anak Adam, jika dosa kau mencapai langit kemudian kau memohon ampun kepadaKu, Aku akan ampunkan kau. Wahai anak Adam, sesungguhnya, jika kau datang kepadaKu dengan dosa sebanyak tanah di dunia kemudian kau bertemu denganKu tanpa mensyirikkan Aku dengan sesuatu, Aku akan mendatangi kau dengan keampunan sebanyak tanah di dunia.” (Riwayat At-Turmuzi)

 

Toleransi dalam Islam juga dapat dilihat bagaimana Rasulullah s.a.w. melayan mereka yang melakukan kesilapan untuk dijadikan contoh yang baik kepada umat Islam semuanya.

 

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa seorang badwi telah kencing di dalam masjid Rasulullah s.a.w, lalu orang ramai mahu mendapatkannya. Rasulullah s.a.w lalu bersabda yang bermaksud:

 

“Tinggalkan dia. Tuangkanlah ke atas kencingnya itu satu gayung dari air. Sesungguhnya kamu diutus sebagai manusia yang memudahkan bukan menyulitkan.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

 

Muawiyah ibn Al-Hakam As-Salami r.a. menceritakan bahawa beliau bersolat bersama Rasulullah s.a.w lalu seorang lelaki telah bersin. Lalu aku pun berkata “Semoga Allah merahmati kamu”. Lalu orang ramai pun memandang kepada ku dengan pandangan yang tajam. Aku pun berkata “Kenapakah kamu semua melihat aku seperti itu?”. Mereka pun mula menepuk paha-paha mereka dengan tangan mereka. Apabila aku melihat mereka cuba mendiamkan aku, aku pun diam. Apabila Rasulullah s.a.w habis bersolat, sesungguhnya aku tidak pernah melihat seorang guru sebelumnya atau selepasnya yang paling baik tunjuk ajarnya. Demi Allah, dia tidak mengherdik, memukul dan menghamputku, kemudian dia s.a.w berkata yang bermaksud:

 

“Sesungguhnya solat ini tidak sesuai di dalamnya sesuatu dari kata-kata manusia. Dia adalah tasbih, takbir dan bacaan Al-Quran.” (Riwayat Muslim & Abu Daud)