Faktor-Faktor Penyebab Pelampauan Yang Ganas (Bah. 2)

Bersambung dari kiriman yang lalu.

 

3. Konteks

 

Hakikatnya, masalah pelampauan yang ganas adalah dua dimensi; salah tafsiran terhadap teks dan juga konteks yang menyediakan peluang bagi salah tafsiran dibuat atau diterima oleh golongan tertentu.

 

Dalam masalah pelampauan yang ganas di kalangan umat Islam, kebanyakannya berlaku dengan berlatarbelakangkan kemunduran ekonomi dan ketiadaan kebebasan politik serta keadilan yang berpanjangan bagi rakyat. Penguasa yang berorientasi sekular yang memerintah negara-negara umat Islam dipersalahkan atas keadaan sedemikian kerana mengamalkan korupsi dan telah menghampakan orang ramai. Rakyat negara-negara ini kemudiannya berpaling kepada Islam untuk mencari huraian bagi masalah kehidupan mereka. Dalam proses pencarian itu, sebahagian mereka terjerumus ke kancah pelampauan yang ganas disebabkan salah faham terhadap agama dan sebahagian lain pula kerana ditangkap dan didera kerana melibatkan diri dalam aktiviti reformasi atas nama Islam.

 

Umat Islam di merata dunia juga berkongsi kekecewaan yang mendalam terhadap ketidakadilan yang dialami oleh saudara-saudara seagama di pelbagai tempat di dunia ini disebabkan permainan politik negara-negara kuasa besar yang menjadi pelindung dan penaja para penguasa yang korup yang mengakibatkan kemelaratan hidup mereka.

 

Ramai cendekiawan berpendapat bahawa ketidakseimbangan dasar-dasar luar negeri Amerika Syarikat di Timur Tengah, terutamanya dalam masalah konflik Palestin dan Israel dan pencerobohan ke atas Iraq telah menyumbang kepada bertambahnya radikalisasi di kalangan belai Islam di pelbagai tempat.

 

Samada segala konteks yang dinyatakan itu benar-benar telah mempengaruhi kelompok penjihad atau ia hanya digunakan sebagai alat untuk mempengaruhi orang ramai, kedua-duanya menunjukkan akan peranan konteks dalam mewujudkan peluang untuk berkembangnya idea-idea dan tindakan pelampauan dan pengganasan.

 

Perlulah diperhatikan bahawa pemimpin kumpulan pengganas, walaupun amat tegar dalam berpegang dengan ideologinya sehingga sukar untuk mengubah pendirian mereka, namun mereka tidak akan mudah untuk memenangi sokongan orang ramai tanpa kewujudan konteks yang membantu idea-idea mereka berkembang subur.

 

4. Krisis minda

 

Abdul Hamid Abu Sulayman, mantan rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, pernah membicarakan mengenai kewujudan krisis dalam minda umat Islam hari ini dalam sebuah buku yang bertajuk Crisis in the Muslim Mind. Beliau merujuk kepada keadaan minda umat Islam hari ini yang telah hilang keupayaan untuk memahami apa yang sebenarnya penting dan membezakan di antara prinsip yang kekal dan apa yang boleh berubah-ubah dalam ajaran agama. Antara natijah dari kelemahan ini ialah umat Islam hari ini samada menerima bulat-bulat segala tradisi yang dihasilkan di masa lalu. Krisis minda ini ditandai juga dengan kebekuan minda sehingga gagal untuk menilai sesuatu yang datang dari tradisi masa lalu secara kritikal.

 

Dalam masalah kelompok penjihad, mereka jatuh dalam pelampauan kerana mereka terlalu berpegang dengan pendapat dan ijtihad ulama masa lalu tanpa memahami konteks yang melatakbelakangi pandanagn berkenaan dan perubahan konteks yang telah berlaku hari ini. Satu contoh ialah pendangan yang membahagikan negara kepada Dar Al-Islam (negara Islam) dan Dar Al-Harb (negara perang/bukan Islam) yang dihasilkan oleh para ulama dahulu. Dalam minda kelompok penjihad, Dar Al-Islam ialah negara yang diperintah oleh seorang Muslim dan undang-undang yang berkuatkuasa berteraskan syariah. Manakala, Dar Al-Harb pula ialah negara yang diperintah oleh seorang bukan Muslim atau undang-undang yang dikuatkuasakan tidak berteraskan syariah. Mereka berpendapat bahawa istilah Dar Al-Harb yang digunakan oleh para ulama dahulu menunjukkan bahawa negara berkenaan perlu dianggap sebagai negara yang perlu diperangi sehingga kesemuanya tunduk di bawah Dar Al-Islam.

 

Penerapan konsep Dar Al-Islam dan Dar Al-Harb oleh kelompok penjihad di hari ini tanpa mengambilkira bahawa ia adalah satu ijtihad yang terikat dengan sesuatu masa dan konteks lalu digabungkan pula dengan fahaman bahawa jihad bersenjata wajib dilancarkan secara berterusan ke atas golongan bukan Muslim telah melahirkan dan mengukuhkan perspektif, “samada kamu bersama kami atau kamu adalah musuh kami” yang menyuburkan permusuhan dan kebencian terhadap orang lain. Selain itu, ia juga seolah-olah menggambarkan Islam sebagai satu agama yang bersifat simplistik yang hanya melihat “orang lain” dari kaca mata permusuhan semata-mata.

 

Empat sebab di atas tidaklah mewakili kesemua sebab-sebab yang menyebabkan pelampauan di kalangan umat Islam hari ini. Di sana mungkin terdapat sebab-sebab lain tetapi keempat sebab-sebab itu memadai untuk menjelaskan bagaimana Islam boleh disalahtafsirkan dan kemudiannya mengakibatkan pelampauan yang ganas.

 

Walaupun tulisan ini mengakui bahawa pelampauan yang ganas sememangnya wujud di kalangan umat Islam dan terdapat faktor-faktor dalam Islam dan umatnya yang menyebabkannya, namun amat penting untuk dijelaskan bahawa sepanjang sejarah kelompok umat Islam yang jatuh dalam pelampauan sentiasa terdiri dari kelompok pinggiran dan tidak mewakili umat Islam secara keseluruhannya. Selain itu pula, akan sentiasa ada di kalangan umat Islam juga yang bangkit, samada sebagai individu atau kumpulan, untuk menentang kelompok pelampau ini, berusaha untuk memulihkan mereka atau menjelaskan kepada umum akan Islam yang sebenar sejajar dengan janji Allah taala di dalam Al-Quran yang bermaksud, “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” (Al-Quran, 15:9) dan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Akan sentiasa ada di kalangan umatku yang akan menegakkan kebenaran. Mereka tidak akan dimudaratkan oleh sesiapa yang mencela mereka sehingga Allah memenangkan mereka dan mereka kekal dalam keadaan sedemikian.” (Riwayat Al-Bukhari)

 

Namun, ini tidak sama sekali bermakna bahawa umat Islam bertindak pasif dan menyerahkan urusan ini kepada Allah taala semata-mata. Sebaliknya, umat Islam seharusnya berlumba-lumba untuk berusaha menjadi golongan yang mendapat keistimewaan sebagai kelompok yang memikul amanah untuk memelihara agama Allah taala ini dari penyelewengan dan kesesatan.

 

Melihat kepada hakikat agama dan sejarah, bolehlah dikatakan bahawa akan sentiasa ada sekelompok dari kalangan umat Islam yang akan jatuh dalam pelampauan dan kesesatan. Mereka akan terus menjadi sebahgaian dari sejarah umat Islam sepanjang masa.

 

Matlamat yang lebih praktikal untuk dicapai, bukanlah untuk memastikan kelompok pelampau dan penggasan ini pupus sama sekali, tetapi dengan memastikan bahawa mereka kekal sebagai kelompok pinggiran dari kalangan umat Islam. Walau bagaimana pun, ini hanya boleh dicapai jika golongan majoriti dari umat Islam yang berpegang dengan Islam yang sebenar, bangkit dan bersuara bagi menyatakan pendirian dan kefahaman mereka. Hanya dengan bersuara secara kolektif dan tersusun, suara kelopom majoriti umat Islam yang sederhana akan menjadi lebih lantang dari propaganda kumpulan pelampau dan ganas.

 

Telah dinyatakan sebelum ini bahawa masalah salah tafsiran agama bukan hanya disebabkan oleh teks agama semata-mata tetapi juga disebabkan oleh konteks. Oleh itu, sebagai tambahan bagi usaha untuk menguatkan suara-suara sederhana umat Islam, konteks yang memudahkan idea-idea pelampauan berkembang dan dimanipulasi hendaklah juga ditangani. Ini memerlukan semacam kerjasama antara umat Islam dan golongan bukan Muslim dalam persoalan pelampauan yang ganas ini. Ia juga memerlukan keazaman yang kuat dari pihak penguasa untuk menghilangkan akar-akar yang membakari sungutan umat Islam selama ini.