Jaringan Pengganas Dimusnahkan: Adakah Ancaman Akan Berakhir?

Presiden Musharraf dari Pakistan membuat pernyataan bahawa negaranya telah berjaya melumpuhkan jaringan pengganas dan mengakibatkan kerosakan yang besar terhadap jaringannya. Pernyataan yang sama juga telah beberapa kali dinyatakan oleh Presiden Bush dari Amerika Syarikat sebelum ini dan beberapa ketua negara yang lain. Pernyataan sedemikian dapat difahami kerana sememangnya perang ke atas pengganasan, antara lain, berusaha untuk membasmi pertubuhan-pertubuhaan pengganas dengan memburu mereka yang bertanggungjawab melakukan pengganasan sehingga tertangkap.

 

Dari satu sudut pernyataan itu memberi semacam jaminan keselamatan kepada orang ramai, namun pada hakikatnya ancaman pengganasan masih jauh dari berlalu. Satu penganalisaan yang kritikal diperlukan bagi menentukan sebenar-benarnya adakah tindakan yang dikatakan melumpuhkan pertubuhan pengganasan sememangnya akan menatijahkaan situasi yang lebih selamat?

 

Tidak dinafikan usaha-usaha oleh pihak keselamatan di merata dunia telah memberi pukulan yang hebat ke atas jaringan pengganas. Penangkapan individu-individu yang mempunyai hubungan dengan jaringan berkenaan, penutupan kem-kem latihan, pembekuan aset-aset dan saluran kewangan dan operasi-operasi ketenteraan telah mencerai-beraikan jaringan pengganas dari sebuah pertubuhan kepada sel-sel kecil atau individu-individu yang bergelandangan. Ini telah membataskan keupayaan pertubuhan itu untuk beroperasi dan melancarkan serangan-serangan ganas yang sama seperti serangan 911.

 

Operasi berterusan pihak keselamatan bukan hanya telah memecah belahkan pertubuhan itu, ia juga telah memaksa ahli-ahlinya untuk meninggalkan negeri mereka, bersembunyi atau terus menerus dalam pelarian. Tekanan demi tekanan yang dikenakan pula berpotensi untuk mencetus perbalahan dalaman sesama mereka, terutama dalam persoalan pemilihan ketua yang baru dan pemilihan strategi baru bagi membalas tindakan pihak keselataman. Ini pastinya akan menambah kelemahan dan perpecahan jaringan pengganas dan sekutu-sekutunya. Atas dasar ini, sepatutnya logik untuk disimpulkan bahawa keupayaan fisikal jaringan pengganas dan sekutunya telah dilemahkan dari melancarkan operasi pengganasan.

 

Namun adakah benar situasi yang ada sekarang ini benar-benar telah melemahkan ancaman ke tahap yang amat rendah?

 

Hakikatnya, walaupun tindakan pihak keselamatan telah mampu memporak peranda keutuhan jaringan pengganas, namun ia juga telah menjadikan pertubuhan berkenaan kepada kelompok-kelompok sel yang kecil tanpa satu pusat perintah. Ini menjadikan sel-sel ini lebih sukar untuk dikesan, lebih anjal dan mempunyai mobiliti yang lebih tinggi. Ini menjadikan usaha untuk melakukan dialog dan perbincangan lebih sukar. Kumpulan-kumpulan sel kecil ini, walau pun telah berpecah belah, namun tidak bermakna kurang motivasi untuk bertindak disebabkan ideologi yang dipegang oleh mereka.

 

Menjadi satu kesilapan untuk diandaikan bahawa tindakan yang memporakperandakan jaringan pengganas yang telah berjaya sekarang ini akan mentijahkan berakhirnya perang ke atas pengganasan kerana boleh diandaikan bahawa kumpulan-kumpulan kecil yang bercerai-berai ini sebenarya hanya menanti ‘mendung’ berlalu sebelum lancarkan semula operasi pengganasan. Di masa akan datang, mereka berkemungkinan akan menjadi lebih bahaya dan canggih setelah melalui segala pengalaman ini.

 

Selain itu, perlulah juga difahami bahawa umumnya tindakan pengganasan berlaku apabila wujud tiga perkara; motivasi, peluang dan keupayaan. Usaha membanteras pengganasan mestilah menjurus ke arah menghilangkan paling kurang salah satu dari ketiga-tiga perkara ini untuk mencapai kejayaan sebenar.

 

Motivasi merupakan fungsi kepimpinan, namun apabila ia telah tertanam dalam diri individu ia menjadi dorongan dalaman dalam diri individu sehingga ketiadaan kepimpinan disebabkan ditangkap atau terkorban atau musnahnya pertubuhan tidak menjejas tahap motivais individu berkenaan. Individu ini didorong oleh keyakinan bahawa ideologi yang dipeganginya adalah benar. Keyakinan ini menjadi sumber motivasi yang ampuh bagi individu untuk meneruskan ‘perjuangan’nya dalam apa jua keadaan. Al-Qaeda, khususnya, mempunyai ramai individu yang seperti ini kerana kewujudanya yang lama sebelum dibanteras dengan hebat setelah insiden 911 telah membolehkan ia melakukan indoktrinasi yang kuat ke atas ahli-ahlinya.

 

Dalam keadaan ini, porak peranda yang ditimpakan ke atas jaringan pengganas dan sekutu-sekutunya hanya akan menyumbang secara positif kepada pembanterasan pengganasan, jika ia disokong oleh penguatkuasaan undang-undang yang mantap dan agensi keselamatan yang berwibawa dan berkesan bagi menafikan kumpulan-kumpulan sel kecil ini peluang untuk mendapatkan sasarannya dan membina keupayaan operasi.

 

Tanpa adanya penguakuasaan undang-undang yang mantap dan agensi keselamatan yang berwibawa dan mantap, kumpulan-kumpulan ini akan mudah untuk meneruskan operasi mereka. Hal ini adalah kerana usaha untuk membiaya operasi pengganasan sebenarnya bukanlah mahal. Tanpa sokongan dari luar sekali pun, kumpulan-kumpulan kecil ini akan mampu untuk mengumpul dana dari para simpatisannya atau anggota masyarakat Muslim biasa yang ‘terpujuk’ untuk memberi derma atas alasan untuk membantu Muslim yang lain yang ditimpa nasib yang malang atau Muslim yang tertindas atau melalui rompakan. Contoh di sini ialah insiden pengeboman di Bali yang mana biayanya diperolehi melalui wang rompakan dari kedai emas.

 

Bahan-bahan bagi membuat bom atau persenjataan pula mudah diperolehi melalui elemen-elemen yang korup dalam agensi keselamatan atau melalui penyeludupan. Umumnya negara yang mempunyai agensi keselamatan yang lemah sering mempunyai masalah kekurangan sumber untuk mengawal sempadan negaranya. Selain itu, terdapat pula elemen-elemen yang mahu disogok yang membolehkan para pengganas untuk mendapatkan bekalan mereka. Keadaan ini lebih menjadi mudah di negara-negara yang mana senjata amat mudah diperolehi atau dibuat secara amatur dalam masyarakat seperti di Mindanao dan Pakistan.

 

Ketiadaan undang-undang untuk membuat tindakan ke atas para pelaku pengganasan dan pertubuhannya juga merupakan satu masalah utama yang perlu diatasi jika tindakan memporak perandakan pertubuhan pengganas benarf-benar memberi kesan positif. Degan senario yang dinyatakan di atas, tanpa undang-undang yang mencukupi, individu-individu atau kumpulan-kumpulan kecil, walau pun berpecah belah, tetap berupaya untuk menncetus ancaman keselamatan ke atas sesebuah negara.

 

Dalam hal ini, bolehlah dihujahkan bahawa jaringan pengganas dan sekutu-sekutunya yang telah diporak perandakan sehingga menjadi kumpulan-kumpulan kecil yang bertempiaran akan mengakibatkan ancaman keselamatan yang lebih serius di negara-negara yang mempunyai kelemahan dalam penguatkuasana undang-undang dan agensi keselamatannya. Kumpulan-kumpulan kecil itu bukan hanya lebih menyulitkan usaha untuk membanterasnya tetapi juga akan mampu meneruskan operasinya dengan bantuan kelemahan yang ada, walau pun dengan sedikit kesulitan. Satu pengeboman setahun seperti yang dilakukan di Bali, Hotel JW Marriott dan Kedutaan Australia di Jakarta memadai bagi jaringan pengganas untuk menyampaikan pesanannya bahawa ia masih wujud dan meneruskan ‘perjuangan’nya.

 

Hakikat ini menerangkan mengapa tindakan memporak perandakan jaringan pengganas mampu menghalang berlaku serangan pengganasan di negara seperti Amerika Syarikat, kebanyakan negara Eropah, Australia, Singapura dan Malaysia. Kecuali pengeboman yang berlaku ke atas sistem keretapi di Madrid, negara-negara ini tidak mengalami apa-apa serangan pengganasan setelah tahap keselamatan diperketatkan sejak insiden 911. Ini berbeza dengan apa yang berlaku di Indonesia, Filipina, Pakistan dan Rusia. Laporan mengenai bagaimana Dr. Azhari, pakar bom Jemaah Islamiyah yang dalam pelarian di Indonesia, mampu melepaskan diri dengan memberi rasuah walau tiga kali ditahan oleh pihak polis memberi gambaran akan apa yang dinyatakan.

 

Jika ditinjau dari perspektif usaha membanteras pengganasan di peringkat global, maka tidak seharusnya pula seseorang itu cepat merasa lega dan bersenang diri dengan porak perandanya jaringan pengganas di peringkat organisasi kerana negara-negara yang lemah penguatkuasaan undang-undang dan agensi keselamatan wujud di pelbagai pelusuk dunia hari ini. Negara-negara ini menyediakan sasaran yang ampuh dan peluang untuk melancarkan serangan bai menyampaikan pesanan kepada dunia umumnya.

 

Namun satu elemen yang tetap dapat dikenalpasti dalam situasi samada jaringan pengganas utuh atau bercerai-berai dan beroperasi dalam kumpulan-kumpulan kecil, atau samada dalam situasi global atau tempatan. Elemen berkenaan ialah ideologi yang menjadi sumber motivasi ahli-ahli jaringan pengganas dan sekutu-sekutunya. Hakikat ini menunjukkan kepentingan perang ke atas ideologi bagi mengalahkan pengganas dalam apa jua keadaan.

 

Perang ideologi ini harus berusaha untuk mendidik masyarakat umum agar mereka tidak mudah untuk dipengaruhi atau ditipu oleh propaganda-propaganda yang dilontarkan ke atas mereka. Ini membolehkan sumber-sumber sokongan dan simpati ke atas pengganasan dapat dikurangkan. Individu yang terpinggir, walau macam mana kuat sekali pun motivasinya, akan merasa sukar untuk mengekalkan tahap motivasinya atau meneruskan aktivitinya tanpa kekuatan berkumpulan dan kerana sifat naluri semulajadi manusia itu sendiri. Di sini, perang ke atas ideologi akan mampu untuk mencetus keraguan atau menggoncang keyakinan indivividu itu terhadap ideologi yang dipegangnya sehingga menjejas keberkesanan dirinya. Ini pula akan mencetus perbalahan dan perbezaan dikalangan kumpulan yang telah pun lemah kerana diporak perandakan organisasinya.

 

Kesimpulannya, pengumuman mengenai kejayaan memporak perandakan jaringan pengganas tanpa penguatkuasaan undang-undang dan agensi keselamatan yang kuat tidak akan memberi apa-apa makna dan jaminan akan prospek keselamatan yang lebih baik. Di sebabkan oleh kewujudan negara-negara yang lemah penguatkuasaan undang-undang dan agensi keselamatan, serangan pengganasan dijangka akan berterusan. Oleh itu, perang ke atas pengganasan dan segala implikasinya tidak akan berkahir. Peranan ideologi sebagai sumber motivasi menunjukkan bahawa pengganasan tidak dapat dikalahkan hanya melalui tindakan bersenjata semata-mata dan perang ideologi adalah penting dalam semua situasi untuk membanteras pengganasan.