Madrasah Dan Perang Ideologi Pelampau Dan Pengganasan

Dalam artikel yang diterbitkan oleh Berita Harian pada 28 Ogos 2004 yang lalu telah dihujahkan akan kepentingan pendekatan teologi dan fikah dalam membanteras idea-idea dan pegangan kelompok pelampau dan pengganas Muslim.

 

Ini menjurus pula kepada satu hakikat iaitu kepentingan peranan institusi madrasah dalam usaha membanteras pelampauan dan pengganasan dalam jangka masa panjang.

 

Keterkaitan Pondok Mukmin di Solo, Madrasah Lukmanul Hakim di Ulu Tiram Johor dan beberapa pondok pesantren yang lain serta sokongan yang diperolehi Taliban dari sekolah-sekolah agama di Pakistan telah mencoret arang pada imej institusi pendidikan Islam yang dikenali secara umum sebagai madrasah. Lalu timbul kebimbangan dan syak wasangka umum terhadap seluruh institusi madrasah sebagai sarang yang melahirkan para pelampau dan pengganas.

 

Namun jika dilihat kepada apa yang telah dihujahkan mengenai kepentingan pendekatan teologi dan fikah dalam perang ideologi melawan pengganasan akan ternyata kepentingan institusi madrasah sebagai ‘rakan penting’ dalam usaha ini, bukan hanya sebagai ancaman atau cabaran.

 

Hakikat ini lebih ketara dalam konteks Singapura kerana kesemua tahanan JI yang diketahui umum bukanlah mereka yang mendapat pendidikan sepenuh masa dari madrasah tempatan sejak kecil. Selain itu, madrasah di Singapura amat berbeza sama sekali dengan tanggapan sesetengah pihak sebagai satu institusi yang hanya mengajar ilmu-ilmu agama semata-mata serta menggunakan pula kaedah penddidikan tradisional yang ketinggalan zaman.

 

Sejak sedekad lebih sebelum polisi pendidikan wajib yang memerlukan madrasah untuk melaksanakan kurikulum pendidikan nasional di peringkat sekolah rendah bagi membolehkan para pelajarnya lulus PSLE, madrasah di Singapura sudah pun menyertakan pelbagai matapelajaran non-ukhrawi seperti Bahasa Inggeris, Sains dan Hisab di dalam program pendidikannya walau pun diakui bahawa yang diamalkan hari ini lebih dari pada masa sedekad yang lalu.

 

Selain itu madrasah-madrasah di Singapura sentiasa mempunyai ikatan dengan MUIS sebagai penguasa dalam pendidikan Islam. Walau pun madrasah di Singapura mempunyai otonomi, namun hubungan kerja dengan MUIS yang berterusan membataskan otonominya. Ini berbeza dengan realiti yang wujud pada madrasah di Pakistan atau sesetangah pondok pesantren di Indonesia.

 

Dalam konteks Singapura, disebabkan ketiadaan institusi pengajian tinggi Islam, madrasah sepenuh masa tempatan merupakan institusi penting yang menyediakan asas-asas kukuh bagi graduannya untuk menjadi tenaga yang terlatih dengan tradisi, metodologi dan pemikiran Islam corak tradisional yang merupakan asas bagi menghadapi pemikiran pelampau Muslim melalui pendekatan teologi dan fikah sebagaimana yang telah dihujahkan dahulu.

 

Tanpa para asatizah yang dilahirkan oleh institusi madrasah ini, usaha membanteras pemikiran pelampau menggunakan pendekatan teologi dan fikah pasti akan menghadapi kepayahan untuk menangkis hujah-hujah para pelampau yang dipakejkan dengan cara yang meyakinkan tetapi dan juga kesukaran bagi memenangi penerimaan masyarakat Muslim yang lain.

 

Asatizah lulusan madrasah merupakan agen penting dalam menyebarkan fahaman sederhana Islam dan mengkomunikasikan pesanan bagi yang menolak pemikiran pelampauan. Usaha ini telah dan sedang dilakukan oleh PERGAS melalui konvensyen ulamanya. Selain itu, asatizah terlibat secara aktif dalam proses pemulihan tahanan-tahanan JI hari ini.

 

Madrasah berkenaan juga berperanan dan sememangnya sehingga hari ini telah berperanan sebagai institusi yang menjadi benteng pemelihara tradisi, metodologi dan pemikiran Islam arus utama yang bersifat sederhana, realistik dan pragmatik yang menjadi pegangan masyarakat Islam Singapura.

 

Faktor-faktor di atas menyumbang secara jangka panjang dan pendek dalam usaha membanteras perang ideologi menentang pelampauan. Ia juga membuktikan bahawa madrasah mempunyai hubungan yang penting dalam perang ideologi.

 

Jika ini diterima, maka persoalannya ialah apakah langkah yang perlu diambil oleh pemerintah selaku penguasa yang bertanggungjawab terhadap persoalan keselamatan negara dari ancaman pengganasan dan penyelia bagi strategi menyeluruh bagi membanteras pengganasan sebagaimana yang dilakarkana dalam Strategi Keselamatan Kebangsaan yang diumumkan baru-baru ini.

 

Adalah tidak bijak jika inisiatif dalam aspek ini hanya dibiarkan kepada masyarakat Islam Singapura sahaja untuk memikirkan atau mengusahakannya kerana sumber-sumber yang ada pada pemerintah dan penglibatan bersamanya pasti mampu untuk melipatgandakan usaha berkenaan dan hasilnya juga.

 

Langkah pertama ialah untuk membina hubungan baik, mesra dan empatik dengan institusi madrasah dan komuniti yang berkaitan dengannya; para pengurus, tenaga pengajar, para pelajar dan ibu bapa.

 

Perlu diakui bahawa isu Pendidikan Wajib yang melibatkan madrasah satu masa dahulu mempunyai kesan psikologi dan emosi dan tidak mustahil juga membentuk persepsi tertentu dalam hubungan pemerintah dan madrasah. Tidak wajar untuk kita mengandaikan bahawa ‘luka’ berkenaan akan sembuh dengan sendirinya atau mengandaikan tiada apa-apa kesan dari isu berkenaan.

 

Keadaan ini pastinya tidak akan memudahkan penglibatan bersepadu asatizah dan institusi madrasah dalam perang ideologi menentang pelampauan.

 

Dalam rangka membanteras pelampauan secara jangka panjang, diharapkan agar pemerintah mempertimbangkan kembali polisinya sehubungan dengan madrasah. Sehingga kini, pemerintah mengambil sikap ‘lepas tangan’  dalam persoalan madrasah, selain dari apa yang dilakukan oleh MUIS, memandangkan madrasah sebagai sebuah institusi agama dan pemerintah pula bersifat sekular.

 

Sebenarnya penilaian kembali bukan sahaja terhadap polisi berkaitan madrasah tetapi juga berkaitan dengan hubungan pemerintah dengan pelbagai institusi agama di sebuah negara yang sekular kerana perubahan-perubahan yang berlaku. Namun bukan tujuan artikel ini untuk membincangkan persoalan di sini dengan mendalam.

 

Paling kurang pemerintah perlu memikirkan secara serius dan menilai kembali hubungan yang sedia ada dengan madrasah dalam rangka melibatkan mereka secara sepadu dalam usaha membanteras pelampauan dan menggalakkan kesederhanaan.

 

Kalau pun pihak pemerintah mahu mengekalkan polisi berkecuali dalaam urusan keagamaan, namun dengan pelaksanaan kurikulum pendidikan nasional di madrasah peringkat rendah, paling kurang pemerintah boleh menghulurkan bantaun atas dasar membantu madrasah untuk cemerlang dalama aspek berkenaan. Pastinya mempunyai ulama dan guru agama yang fasih dalam Bahasa Inggeris, ilmu Hisab dan sains merupakan sesuatu yang memenuhi kepentingan pemerintah Singapura juga. Hakikat ini pernah dinytakan oleh En. Goh Chok Tong semasa lawatannya ke Universiti Al-Azhar dan Universiti islam Antarabangsa Islamabad di awal tahun ini.

 

Jika madrasah mampu untuk melahirkan para ulama dan guru agama yang baik, ini akan mengurangkan pengaruh ulama luar negeri yang pendapatnya mungkin tidak sejajar dengan konteks Singapura. Hakikat ini adalah penting kerana pengalaman berkaitan dengan ideologi yang melampau menunjukkan bahawa ia adalah sesuatu yang dibawa masuk dari luar bukan yang dari dalam.

 

Kemurahan hati pemerintah untuk membantu madrasah bersama menghadapi cabaran ke atas pelampauan agama pasti akan menghasilkan kesyukuran dan penghargaan yang sewajarnya.

 

Usaha memasuki arus utama bukan hanya memerlukan inisiatif dari madrasah tetapi juga memerlukan kesediaan pemerintah untuk menghulurkan tangannya kepada madrasah.

 

Sebagaimana yang telah dihujahkan dalam artikel yang lalu pendekatan teologi dan fikah dalam perang ideologi yang memerlukan penglibatan ulama, asatizah dan madrasah, bukan satu-satunya pendekatan yang boleh digunakan. Namun ia adalah satu pendekatan yang tidak boleh diabaikan. Maka sebab itulah dihujahkan keperluan penglibatan madrasah dan asatizah sebagai barisan hadapan perang ideologi dan pensepaduan mereka dalam strategi menghadapi ancaman pengganasan.

 

Dengan penjelasan di atas, diharapkan madrasah tidak dilihat sebagai sumber ancaman atau masalah tetapi sebagai ‘rakan penting’ dalam membanteras pelampauan dan benteng bagi ancaman pengganasan.