Menangkis Usaha Al-Qaeda Mengekspot Jihad Ke Merata Dunia

Operasi anti-pengganasan yang dilancarkan oleh pelbagai agensi keselamatan telah melemahkan Al-Qaeda. Namun ia tidak mengurangkan azamnya untuk menyebarkan tindakan pengganasan atas nama jihad di merata tempat di dunia. Bagi memenuhi tujuan berkenaan, Al-Qaeda melancarkan kempen yang gencar untuk mengeksport ideologinya melalui pelbagai pernyataan-pernyataan audio dan video yang semakin meningkat kebelakangan ini.

 

Kesan dari usaha Al-Qaeda ini tidak boleh diambil ringan kerana ia berpotensi untuk melahirkan kelompok penjihad bebas yang melakukan aktiviti pengganasan tetapi tidak menganggotai Al-Qaeda. Mereka melakukannya semata-mata kerana dipengaruhi oleh hasutan-hasutan yang terkandung dalam pernyataan-pernyataan Al-Qaeda. Ancaman dari kelompok ini bukanlah satu ilusi tetapi adalah satu realiti sebagaimana yang ditunjukkan oleh insiden pengeboman keretapi London dan Madrid. Jika Al-Qaeda berjaya dalam usaha untuk mengeksport ideologinya, ia pasti akan menyulitkan lagi usaha membanteras pengganasan mereka kerana ancaman pengganasan akan menjadi lebih terselindung danm sukar dikesan.

 

Salah satu konsep yang digunakan oleh Al-Qaeda untuk mengekspot ideologinya ialah dengan mengemukakan pandangan bahawa jihad bersenjata sekarang ini adalah fardhu ain ke atas setiap individu Muslim di mana pun mereka berada. Pandangan ini berbeza sekali dengan pandangan para ulama yang menetapkan bahawa jihad bersenjata pada asalnya ialah fardhu kifayah – satu kewajiban yang memadai untuk dilakukan oleh segelintir umat Islam sahaja.

 

Pada pandangan Al-Qaeda, para ulama dahulu telah memfatwakan bahawa apabila satu inci bumi umat Islam ditakluk maka menjadi kewajiban ke atas penduduk bumi berkenaan untuk membebaskannya melalui jihad bersenjata. Jika mereka tidak berkeupayan, kewajiban berkenaan berpindah kepada umat Islam yang berdekatan dan seterusnya.

 

Dalam konteks hari  ini, Al-Qaeda berhujah bahawa terdapat banyak bumi umat Islam yang dijajah seperti Palestin, Iraq, Afghanistan, Chechnya, Kashmir dan Mindanao. Menurut mereka, oleh kerana penduduk kesemua bumi berkenaan tidak mampu menghalau musuh yang menjajah dengan upaya mereka sendiri, maka Muslim di seluruh dunia wajib menyertai jihad mereka sehingga penjajah dapat dihalau. Oleh kerana, jihad sudah menjadi kewajiban individu seperti solat harian dan puasa di bulan Ramadhan, seorang Muslim tidak lagi perlu untuk menanti penguasa Muslim atau izin ibu bapa untuk menunaikan tanggungjawab ini, jika ia mampu melakukannya sendiri. Dengan ini juga ia menyalahi pendapat para ulama yang berpendapat bahawa jihad bersenjata hanya boleh dilakukan di bawah kepimpinan seorang penguasa Muslim.

 

Bagi sebahagian Muslim, pandangan Al-Qaeda amat logikal dan meyakinkan. Namun, mereka sering kali tidak menyedari bahawa untuk memutuskan samada sesuatu masyarakat tidak mempunyai keupayaan mereka sendiri untuk melawaan musuh dan pada kadar mana tanggungjawab mereka berpindah kepada Muslim yang lain adalah suatu ijtihad. Sering kali dalam situasi berkenaan, perbezaan pandapat muncul di kalangan para ulama dan tidak dapat dielakkan.

 

Oleh itu, walau pun ulama bersetuju akan hukum dasar seperti yang dinyatakan di atas tetapi mereka sering berbeza dalam mengoperasikan hukum berkenaan dalam konteks yang khusus. Sememangnya pula ulama berbeza pendapat mengenai perincian dan syarat-syarat bila kewajiban berjihad berpindah dari penduudk negeri yang diserang kepada penduduk negeri lain.

 

Andaikan pula hukum mengenai jihad bersenjata sebagai fardhu ain diterima, terdapat satu lagi pertimbangan yang perlu diambil kira sebelum semua umat Islam menceburi jihad bersenjata bagi membantu saudranya yang dijajah. Umat Islam perlu membuat pertimbangan keutamaan kerana jihad bersenjata dalam apa jua keadaan bukan satu-satunya fardhu ain yang harus dipikul oleh umat Islam.

 

Membuat pertimbangan keutamaan adalah penting dalam Islam. Semua amalan Islam diatur dan tunduk pada hukum keutamaan yang dinamik dan ini adalah asas yang diterima pakai oleh semua mazhab fiqh. Sebagai contoh, semua mazhab fiqh menunut ulamanya untuk dalam menghasilkan hukum untuk mengutamakan maslahat yang pasti ke atas maslahat yang tidak pasti dan memikul mudarat yang kecil bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar.

 

Sebagaimana yang diketahui jihad dalam Islam mempunyai pelbagai makna dan bentuk bagi mencapai satu-satu tujuan. Maka memilih bentuk jihad itu sendiri merupakan satu ijtihad yang mana perbezaan pendapat dari para ulama pasti tidak dapat dielakkan. Sebagaai contoh, Al-Qaeda mendakwa bahawa jihad bersenjata amat penting bagi memelihara ribuan nyawa umat Islam yang menghadapi ancaman serangan musuh, namun hakikatnya terdapat ribuan nyawa umat Islam yang lain yang terancam disebabkan kebuluran, kemiskinan dan kemunduran.

 

Soalan utama yang perlu dijawab ialah, “Adakah mengutamakan jihad bersenjata ke atas fardhu ain yang lain merupakan satu hukum yang muktamad ke atas semua Muslim di mana pun mereka berada tanpa mengambil kira konteks dan masalah mereka sendiri? Adakah jihad bersenjata untuk membebaskan tanah umat Islam yang ditawan merupakan satu-satunya wasilah dan pilihan bagi semua umat Islam tanpa mengambil kira konteks dan keadaan mereka berhubungan dengan kwajiban-kewajiban agama yang lain.

 

Jawabannya adalah “tidak”, kerana Islam menuntut dari umatnya untuk sentiasa mengambil kira konteks dalam mengamalkan kewajiban agamanya. Ertinya, Islam mengambil kira realiti sesuatu keadaan, masa dan persekitaran dan faktor-faktor lain dalam menetapkan hukum bagi sesuatu permasalahan. Atas dasar itu, hukum bagi sesuatu permasalah boleh berbeza bagi seorang Muslim dengan seorang Muslim yang lain kerana perbezaaan konteks dan realiti di mana mereka berada. Pertimbangan seperti ini berlaku ke atas hukum yang berkaitan maslahat umum atau peribadi.

 

Sebenarnya, seorang Muslim yang baik bukan hanya mampu untuk berpegang teguh dengan prinsip agamanya tetapi juga mampu untuk menyesuaikan ajaran agama sejajar dengan konteks di mana ia berada. Jika kita mengkaji pandangan para ulama, kita akan dapati bahawa mereka mengubah pendapat mereka mengenai sesuatu hukum untuk menyesuaikannya dengan individu, masa atau tempat. Pertimbangan konteks sentiasa bersepadu dalam proses pembuatan fatwa para ulama sepanjang zaman.

 

Mengamalkan Islam mengikut kemampuan seseorang atau berdasarkan konteks adalah penting kerana kegagalan untuk memerhatikan tuntutan berkenaan akan menatijahkan kesan-kesan negatif seperti ketidakanjalan dan kejumudan terhadap kepelbagaian konteks dan perubahan keadaan dalam kehidupaan manusia. Ini pula akan menatijahkan pandangan-pandangan yang tidak praktikal dan realistik yang mengakibatkan pula pembaziran sumber kerana penentuan keutamaan yang tidak betul. Tambahan pula ia akan membebankan pula umat Islam dengan bebanan yang tidak sejajar dengan keupayaan mereka dan ini bercanggah dengan tuntutan Al-Quran yang mahu umat Islam menjadikan Islam sebagai satu agama yang mudah dan praktikal.

 

Kesimplannya, kalau pun umat Islam bersetuju, sebagai contoh, bahawa perjuangan rakyat Palestin menentang penjajahan Israel merupakan satu jihad bersenjata yang sah dan merupakan satu fardhu ain, ini tidak bermakna sama sekali bahawa semua Muslim wajib mengambil langkah atau cara yang sama seperti yang diambil oleh rakyat Palestin hari ini. Walau pun masalah Palestin itu penting, namun ini idak boleh dijadikan satu alasan untuk umat Islam di tempat lain mengabaikan masalah tempatan mereka semata-mata untuk memenuhi kewajiban jihad di Palestin.