Islam adalah agama berdasarkan suasana atau konteks. Ia mengambil kira hakikat masa dan juga faktor-faktor lain yang menentukan peraturan dan amalan agamanya.
Jadi, perintah sesuatu perkara mungkin berubah kerana adanya keadaan berbeza. Muslim yang baik bukan saja menjulang asas-asas agama tetapi juga menggarap ajaran Islam menurut keadaan apabila timbul keperluan tanpa mengorbankan prinsip terasnya.
Islam dikembangkan secara bertahap dalam zaman Nabi selama 23 tahun demi sesuai dengan suasana dan perkembangan ummah dalam satu-satu masa.
Contoh baik ialah larangan ke atas meminum arak yang merupakan tabiat lazim kaum Arab sebelum Islam.
Memanglah sukar untuk segera melarang mereka meninggalkan arak sepenuhnya. Islam mula menegur tabiat ini, kemudian melarang orang Islam minum arak jika hendak bersolat. Hanya selepas 15 tahun barulah Al-Quran menetapkan umat Islam dilarang langsung minum arak.
Al-Quran menyuruh Muslim mengamalkan agamanya “”menurut kemampuanmu” (Surah Al-Baqarah: 286). Ini menunjukkan Islam mengiktiraf batasan yang dihadapi Muslim dalam mengamalkan agamanya.
Jadi, Muslim wajib mencuba sedaya upaya, dan bukan di luar batas munasabah. Inilah teras garapan Islam menurut suasana atau konteks.
Rukhsah (Keluwesan)
Syariah mengizinkan keluwesan. Ia merujuk kepada peruntukan dalam syariah yang mengizinkan pengecualian daripada hukum umum, sekiranya peraturan tadi melibatkan atau menimbulkan kesukaran yang merumitkan.
Pengecualian tadi khusus menurut keperluan. Rukhsah membolehkan syariah dimanfaatkan menurut pelbagai suasana yang dihadapi manusia.
Misalnya, arak memang dilarang Islam, tetapi ia bolehkan bagi pengembara yang sesat dan tidak menemui air.
Keadaan menjadi genting jika beliau boleh mati tanpa minum, maka arak tadi diizinkan
baginya minum. Dalam suasana darurat seperti menyelamatkan nyawa, hal begini dibolehkan.
Suasana ialah sebahagian pertimbangan ulama fikah dalam mengeluarkan fatwa. Maka kajian mengenai ulama di peringkat awal Islam menunjukkan mereka merubah atau
menyesuaikan fatwa mereka dari tempat ke tempat.
Di Singapura, Mufti mengeluarkan fatwa menegah pemindahan organ pada 1973. Terbit pula fatwa baru pada 1986 kerana kemajuan perubatan menjejas fatwa pertama.
Fikah untuk minoriti
Memandangkan keperluan menurut suasana atau konteks mencirikan Islam, ada pemikir Islam dan ulama kian menyedari perbezaan antara Muslim majoriti dengan Muslim minoriti.
Muslim minoriti, menurut pandangan para pemikir tadi, berdepan dengan suasana unik. Oleh itu, mereka memerlukan huraian dan pendekatan khusus untuk mereka.
Maka, timbullah gagasan fikah khas bagi Muslim minoriti dan pembentukan Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah dipengerusikan ulama ternama, Dr Yusuf Al-Qardhawi.
Antara matlamatnya ialah mengeluarkan fatwa sesuai dengan keperluan Muslim di Eropah, menghurai masalah mereka dan mengatur interaksi mereka dengan masyarakat lain di Eropah.
Gagasan itu kian diterima kerana adanya kesedaran dan usaha meluas oleh Muslim minoriti di Eropah, Amerika dan negara lain untuk bersama dengan masyarakat utama dalam negara bukan Muslim yang mereka diami.
Namun, seperti agama lain, Islam memiliki asas-asas yang mutlak dan daim (tidak berubah). Apa yang masih dibahaskan ialah apakah itu yang mutlak dan tidak boleh berubah? Dan jika yang mutlak tidak dapat disesuaikan, jadi bilakah rukhsah boleh diguna pakai dan garapan menurut suasana dapat dibuat?