Merusuh Adalah Haram

Laporan mengenai rusuhan di Perancis menjadi liputan utama akhbar sepanjang minggu ini. Sehingga kini, tanda-tanda ia akan mereda belum kelihatan sebaliknya terdapat petanda pula bahwa ia mula merebak ke negara Eropah yang lain.

 

Sebahagian penganalisa menuding kepada keterpinggiran sosial dan ekonomi yang berlaku bertahun-tahun dan secara senyap, ibarat api dalam sekam, sebagai faktor yang menyebabkan insiden berkenaan. Selain dari itu, ia juga menggambarkan kegagalan polisi asimilasi pemerintah Perancis selama ini terhadap kaum pendatang.

 

Namun, umat Islam juga tidak boleh lari dari fakta bahawa kebanyakan mereka yang terlibat adalah dari kalangan mereka. Dengan dunia yang lebih terbuka dan maklumat mengalir begitu mudah, sudah pasti masyarakat Islam di Singapura turut terdedah dengan perkembangan yang berlaku. Pastinya ramai yang mempunyai seribu satu persoalan dan di antara persoalan itu ialah pandangan hukum dan agama terhadap apa yang berlaku.

 

Adalah diakui menetapkan hukum ke atas apa yang berlaku tidak menyelesaikan masalah tetapi ia merupakan sebahagian dari penyelesaian masalah dan dalam konteks masyarakat Islam Singapura, ia merupakan sebahagian dari langkah pencegahan yang penting agar tindakan yang sedemikian tidak dicontohi di masa-masa akan datang.

 

Rusuhan sedemikian dalam Islam adalah salah dan haram, walaupun mereka yang terlibat mempunyai sebab dan sungutan yang sah.

 

Islam adalah agama yang mementingkan ketertiban. Terdapat banyak ibadah yang tidak sah dilakukan tanpa tertib seperti solat dan haji. Falsafah tertib dalam Islam menuntut pula umatnya untuk melakukan sesuatu mengikut lunas undang-undang.

 

Allah taala melarang umat Islam dari melampau (Al-Baqarah: 190). Perkataan ‘ta`taduu’ (melampau) yang terdapat dalam firman beerkenaan ditafsirkan pula dalam ayat lain dengan erti tidak melanggar batas-batas (syariat) Allah (Al-Baqarah: 229).

 

Walau pun, ayat itu merujuk kepada larangan melanggar syariat Allah taala, namun aplikasinya dalam konteks undang-undang negara tetap relevan jika undang-undang itu tidak bercanggah dengan ajaran Islam dan prinsipnya seperti mematuhi undang-undang jalanraya; atau jika undang-undang itu bercanggah dengan ajaran Islam tetapi menghormatinya dan menegakkannya memberi maslahat kepada masyarakat seperti kebanyakan undang-undang jenayah yang ada.

 

Walau pun undang-undang berkaitan mencuri tidak menepati kehendak syariat Islam, namun ini tidak bermakna kita mesti mengabaikan atau tidak menegakkannya kerana yang demikian akan menimbulkan mudarat yang lebih besar.

 

Dalam konteks amalan kenegaraan hari ini, apabila seseorang menerima untuk menjadi rakyat sebuah negara maka dia sebenarnya telah bersetuju untuk mengikat kontrak dengan negara berkenaan yang antaranya menuntut dirinya untuk mematuhi undang-undang. Oleh itu, mematuhi undang-undang termasuklah dalam keumuman perintah Allah taala yang memerintah umat Islam agar menunaikan perjanjian (Al-Maidah: 1).

 

Selain itu, Islam adalah agama yang menganjurkan keamanan dan kelembutan dahulu, sebelum kekereasan. Sesungguhnya asas dakwah dan usaha aislah ialah kata-kata yang lembut dan halus. Walaupun jika yang didakwah itu seorang yang paling ingkar. Contoh dalam hal ini ialah perintah Allah taala kepada nabi Musa dan Harun a.s ketika keduanya diutus kepada Firaun. Keduanya telah diperintah untuk bercakap kepada Firaun “َdengan kata-kata yang lembut. Moga-moga ia akan beringat atau takut.” (Taha: 44).

 

Rasulullah s.a.w pula bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya tidaklah sifat lembut itu ada pada sesuatu kecuali dia akan menyeimbangkannya dan jika dicabut dari sesuatu, dia akan memburukkannya.” (Riwayat Muslim).

 

Oleh itu, selama mana ada jalan dan cara yang aman dan lembut untuk menangani masalah, umat Islam harus mengutamakannya dari apa jua bentuk kekerasan, apatah lagi keganasan.

 

Sememangnya Islam menganjurkan umatnya untuk melakukan islah, menganjurkan kebaikan dan mencegah kemunkaran, menentang ketidakadilan dan berusaha untuk mencapai hak-hak yang sah bagi mereka. Namun, usaha ini perlulah dilakukan dengan mengikut garis panduan tertentu. Antara panduan terpenting dalam hal ini ialah ketidakadilan tidak boleh ditangani sehingga mencetus kemungkaran yang lebih besar atau kemudharatan yang lebih besar atau menghilangkan maslahat yang lebih banyak.

 

Merusuh dan membakar harta benda awam dan orang lain adalah haram kerana ia melibatkan harta mereka yang tidak bersalah dan tidak kena mengena dengan masalah yang ada. Mencabul hak milik seseorang secara keras dan ganas seperti itu adalah perlakuan fasad (kerosakan) di muka bumi yang disifatkan oleh Allah taala sebagai perlakuan yang memerangi Allah dan RasulNya dan diancam pula dengan hukuman yang keras di dunia dan di akhirat (Al-Maidah: 33).

 

Kesatuan Pertubuhan-pertubuhan Islam Perancis telah pun mengeluarkan pernyataan yang menolak tindakan merusuh sedemikian. Ia menegaskan tidak boleh bagi sesiapa pun untuk menyatakan perasaan kecewanya dengan merosakkan harta benda dan melakukan pembakaran dan Islam melarang seseorang untuk memusnahkan hak orang lain kerana untuk mendapatkan hak bagi dirinya.

 

Apa yang berlaku di Perancis adalah sesuatu yang tidak boleh dicontohi oleh mana-mana umat Islam, walau di mana pun mereka berada. Jika perkara sedemikian itu salah dilakukan oleh non-muslim di negara Islam, maka ia juga salah jika dilakukan oleh Muslim di negara bukan Islam.

 

Sifat masalah yang berlaku di Perancis ibarat api dalam sekam juga merupakan sesuatu yang patut diambil iktibar oleh para pemimpin negara dan masyarakat. Ia memberi pengajaran agar tidak mengambil mudah dan bersikap lengah dengan sungutan masyakarat minoriti.

 

Walau pun rata-rata hubungan pemerintah dan masyarakat Muslim Singapura adalah baik, namun ini tidak bermakna tiada isu sama sekali yang terselindung atau sungutan yang masih belum di atasi.

 

Jika disingkap kembali beberapa tahun yang silam ketika isu Pendidikan Wajib dan bertudung di sekolah hangat diperkatakan akan terdapat petanda-petanda bahawa ada perkara yang “outstanding” yang masih perlu ditangani, paling kurang di sisi sebahagian anggota masyarakat Muslim.

 

Walaupun rata-rata isu yang berkaitan dengan pendidikan Islam dan tudung telah senyap, namun ia tidak bermakna isu-isu berkenaan tidak akan timbul lagi. Oleh itu, para pemimpin masyarakat dan pemerintah perlu mula berfikir atau berbincang bagaimana  isu-isu ini ini dapat ditangani secara bersama dalam bentuk permuafakatan. Ini adalah langkah proaktif yang perlu diambil sekaligus mencipta ruang untuk membincangkannya dalam bentuk yang sivil, sehingga sekam yanag tersembunyi dapat dikenalpasti dan sungutan tidak berbuku dihati yang pada satu masa mungkin menjadi bom jangka yang tidak terjangka sama sekali.