Sekadar berkongsi – Buku kecil bantu awasi pelampau agama (Berita Harian (Singapura), 3 May 2008)

Bimbing cara menjauhkan diri daripada terpengaruh dengan ideologi songsang

By Chairul Fahmy Hussaini

MEMERANGI penyelewengan agama dan ideologi pengganasan bukan satu tugas mudah.

Namun keadaan itu sama sekali tidak menghalang dua zamil penyelidik bersekutu – Ustaz Muhammad Haniff Hassan dan Ustaz Mohamed Haji Ali – daripada Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) untuk menerbitkan sebuah buku kecil bagi membanterasnya.

Buku percuma bertajuk Jangan Melampau Dalam Beragama ini memberi panduan kepada masyarakat supaya tidak terjerumus ke lembah ekstremisme atau sikap melampau dalam beragama.

Di dalam buku setebal 24 halaman itu, pembaca didedahkan cara-cara bagaimana mereka dapat menjauhkan diri daripada terpengaruh dengan ideologi songsang.

Pertama: Memastikan ajaran agama tidak dilakukan di tempat-tempat tertutup atau diadakan dalam kumpulankumpulan kecil.

Meskipun kelas-kelas yang diadakan itu pada awalnya memberi tumpuan kepada ajaran-ajaran berbentuk umum seperti akidah, ibadah dan akhlak, setelah seketika ia lebih condong pada isu-isu berbaur politik, menyentuh soal kezaliman dan penindasan yang menimpa umat Islam di serata dunia.

Seperti dinyatakan kedua-dua penulis dalam buku itu:

‘Walaupun pada hakikatnya membicarakan isu ini secara adil dan saksama bukan satu kesalahan atau pelampauan, kelas-kelas pengajian yang dijalankan oleh golongan pelampau hari ini memberi perhatian yang lebih istimewa dengan tujuan menarik simpati serta menaikkan semangat dan rasa marah mereka yang hadir.

‘Isu-isu politik ini menjadi dominan daripada topik-topik tradisi yang berkaitan akidah dan ibadah.

‘Kalaupun topik-topik akidah dan ibadah disampaikan, ia akan dikaitkan juga dengan soal menangani isu politik yang dibangkitkan.’

Dan bagi memberi penekanan terhadap isu ini, mereka yang datang ke majlis-majlis atau kelas-kelas agama akan dipertontonkan video atau bahan-bahan lain mengenai kesengsaraan umat Islam dan perjuangan bersenjata mereka.

Dan setelah didapati para hadirin menunjukkan minat lebih mendalam, barulah mereka diminta memberi sumbangan menerusi ‘jihad’ bagi membantu mengatasi masalah yang menimpa umat Islam.

Di peringkat awal, kata kedua-dua penulis itu dalam buku mereka, sumbangan wang dan ‘tenaga’ diperlukan bagi menjalankan dakwah Islamiah.

‘Selanjutnya, anda akan diajar mengenai kemuliaan, kepentingan dan kelebihan jihad bersenjata dan mati syahid berbanding amal-amal Islam yang lain.

‘Anda akan diajar bahawa jihad bersenjata adalah satu-satunya cara yang boleh melepaskan umat Islam daripada penindasan dan kezaliman yang dialami.’

Satu cara paling ketara dalam menyeleweng pemahaman masyarakat Islam tentang jihad adalah dengan menyatakan ia sebagai fardu ain – demi membebaskan bumi Islam yang dicerobohi seperti di Palestin, Kashmir, Iraq dan Afghanistan.

Di samping itu, pemikiran umat Islam juga dipengaruhi dengan penekanan kuat mengenai ‘pakatan jahat golongan bukan Islam yang diterajui oleh golongan Yahudi dan Nasrani bagi menghancurkan umat Islam dan segala musibah yang berlaku ke atas umat Islam, dari dulu hingga sekarang, adalah disebabkan oleh pakatan ini’.

Atas dasar itulah, Ustaz Muhammad Haniff dan Ustaz Mohamed, menerusi buku tersebut, menyeru masyarakat Islam supaya berhati-hati dalam mencari kebenaran dalam beragama.

Menurut mereka, kajian menunjukkan ramai di antara mereka yang terlibat dalam aktiviti pelampauan sebenarnya cetek agama, tetapi berasa insaf dan mahu kembali kepada ajaran sebenar agama.

Namun, kurangnya pengetahuan agama telah menyebabkan sebahagian daripada mereka terperangkap dan terjebak dalam kumpulan pengganas semasa dalam proses pencarian ilmiah.

‘Setelah lama berada dalam kelas pengajian yang dihadiri dan terlibat dalam pelbagai aktiviti kumpulan berkenaan, mereka sama ada terus berpegang dengan ajaran yang diterima atau berasa sukar untuk meninggalkan kumpulan itu kerana berasa telah jauh terlibat di dalamnya dan kerana tekanan sosial yang lain,’ nyata buku itu.

Jadi bagaimanakah seseorang Muslim yang ingin mendalami ajaran agama memastikan mereka tidak terjebak dalam kumpulan yang tidak diingini?

Menurut panduan yang diberikan, seseorang itu haruslah mendapatkan bimbingan agama melalui guru agama bertauliah.

Mereka harus memastikan kelas pengajian dijalankan di tempat awam terbuka untuk orang ramai dan dianjurkan badan Islam berdaftar dan dikenali.

Jika kelas diadakan di rumah, pastikan guru agama itu seorang yang bertauliah.

Andai berasa ragu, orang ramai digesa mengajukan pertanyaan kepada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) atau melungsuri laman: http://www.muis.gov.sg/eServices/Asatizah/AsatizahList.aspx

Mereka juga boleh membuat pertanyaan kepada pihak urus setia Skim Pengiktirafan Asatizah dengan menghubungi talian Pergas di 6346-9350.

Buku kecil itu juga turut memberi panduan kepada pembaca tentang bagaimana mereka dapat menjauhkan diri daripada terpengaruh dengan bahan berkenaan ideologi pengganasan dan ekstremisme di Internet.

Satu cara adalah dengan memastikan pengguna mengenali kewibawaan individu atau organisasi yang mengemukakan atau menawarkan bahan-bahan keagamaan di Internet.

Sebaiknya, maklumat agama yang diperolehi daripada ruang siber tetapi tidak dapat dipastikan kesahihan sumbernya, harus dirujukkan kepada guru agama yang arif.

Andai seseorang mempunyai pertanyaan tentang sesuatu isu agama, buku itu juga mengemukakan beberapa laman yang boleh dikunjungi, seperti:

  • www.iask.com.sg
  • invoke.sg
  • www.haniff.sg
  • ceramahislam.com
  • www.ghousekhan.blogspot.com

    Selain itu, buku kecil tersebut turut memberi panduan bagi mereka yang ingin membantu rakan-rakan atau saudara-mara yang terlibat dalam ajaran yang meragukan.

    Antara lain, memujuk mereka bertemu mana-mana guru agama yang dipercayai atau pegawai di Pejabat Mufti serta mengajaknya mengikuti kelas pengajian agama anjuran badan-badan Islam yang dikenali.

    ‘Ini bertujuan memberinya (seseorang itu) perspektif yang berlainan daripada apa yang dipelajari agar dia dapat membuat perbandingan lalu membuat pilihan antara yang betul dan yang salah,’ kata buku itu lagi.

    Buku kecil yang diterbitkan dalam bahasa Melayu dan Inggeris itu boleh juga dimuat turun daripada laman: http://counterideology.multiply.com