Sekadar berkongsi – Memintas pesona laman web pengganasan

cyBerita: Lelaman Internet Berita Harian Singapura.


Komentar

Jumaat, 1 Februari 2008
Memintas pesona laman web pengganasan

PENANGKAPAN tiga pemuda Melayu/Muslim (dua ditahan dan seorang dikenakan perintah sekatan) oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) baru-baru ini, bak sudah dijangka. Ia merupakan trend di seluruh dunia, termasuk dalam aksi pengeboman sekumpulan pemuda Muslim di Britain dua tahun lalu. Tanpa perlu menghadiri khemah militan, para belia itu ‘belajar sendiri’ menerusi pelungsuran laman web pengganas. Sekali gus, mereka telah menimba idea-idea yang tampaknya bersifat jihad tetapi sebenarnya sudah diselewengkan daripada akidah Islam yang sebenar.

Usia muda bagi sesetengah orang, termasuk belia Muslim, memang sering bergejolak dengan idealisme dan semangat berkobar-kobar serta rasa tidak puas hati. Tidak syak para pemuda yang terjebak itu mempunyai hasrat untuk membela umat Islam yang daif dan ditindas. Mereka terpikat dan termakan oleh hujah pesona laman web pengganas yang mengabsahkan cara kekerasan. Ini termasuklah membunuh diri dengan meletupkan bom, sebagai suatu huraian dan pengorbanan untuk memerangi para penindas Muslim. Sesungguhnya dengan ilmu Islam yang cetek dan tidak berguru dengan asatizah yang bertauliah, maka mudahlah para pemuda tadi terperosok dalam kancah gerakan pengganasan.

Masalah pokok umat Islam tentulah untuk membasmi laman web sedemikian. Namun ini bukan kerja mudah. Di alam siber, terdapat ratusan laman sedemikian. Satu ditutup, muncul laman web di tempat lain. Ertinya, alam siber atau maya juga merupakan medan besar dalam mengatasi bahana pengganasan yang bertopengkan Islam. Pemantauan perlu dibuat oleh pihak berkuasa di alam siber dan kerjasama pembekal khidmat Internet. Dalam pada itu, ibu bapa dan ketua kumpulan masyarakat di kejiranan atau kariah masjid juga boleh membantu dalam memantau belia Islam. Internet hanyalah wahana yang boleh digunakan untuk kebaikan atau sebaliknya.

Langkah ISD wajar dipuji kerana siap siaga dalam mengenal pasti trend. Namun usaha mengatasi ancaman pengganasan, baik yang bertopeng Islam mahupun apa jua fahaman seperti komunisme suatu ketika dulu, memerlukan kerjasama seluruh masyarakat berbilang agama. Langkah ini merangkumi pertahanan psikologi. Singapura perlu mendampingi setiap anggota masyarakatnya, terutama yang berasa terpinggir, dengan santunan bijaksana dan ditanamkan keyakinan akan peranannya dalam proses pembangunan negara.