Sekadar berkongsi – Pengganasan kini satu industri besar

cyBerita: Lelaman Internet Berita Harian Singapura.


Komentar

PANDANGAN
Pengganasan kini satu industri besar

By Maarof Salleh

BENARKAH pengganasan kini satu industri?

Belum terbukti orang boleh cari makan dengan menjadi pengganas. Namun ini bukan suatu kemustahilan.

Sebaliknya, ia lebih menggambarkan realiti semasa. Pengganasan kian menghasilkan banyak produk berupa barangan dan perkhidmatan yang berkaitan.

Selain perkembangan di bidang risikan mengumpulkan maklumat, pengganasan telah mendorong pembentukan banyak badan fikir (thinktank), penerbitan makalah dan buku bertemakan pengganasan, serta pekerjaan lain seperti merawat tahanan yang terlibat dalam tindakan pengganasan.

Disebabkan pengganasan mutakhir melibatkan kumpulan Muslim, golongan agamawan pun turut disertakan.

Misalnya, mereka aktif dalam usaha menegaskan pentafsiran sebenar ajaran Islam yang sudah diselewengkan oleh pengganas yang menggunakan hujah agama untuk menghalalkan tindakan mereka.

Seperti produk lain yang bebas masuk dalam pasaran yang sifatnya lebih terbuka dan global, produk dalam industri pengganasan ini pun demikian juga. Penggunaan media baru seperti Internet memudahkan penyaluran barangan dan perkhidmatan berkaitan dengan pengganasan.

Lantas, risiko daripada media baru dalam menyebarkan pengaruh idea radikal yang mengajak kepada pengganasan terus ada dan kian membimbangkan.

Berita pendedahan terbaru Jumaat lalu (BH, 25 Januari) merupakan satu contohnya. Tiga pemuda Melayu di sini dikesan menjadi radikal sampai melibatkan diri dengan unsur pengganasan, berpunca daripada pengaruh propaganda ekstremis yang disebarkan menerusi penerbitan, video dan Internet.

Lama sebelum itu pun orang mudah melihat produk yang diilhamkan daripada tindakan pengganasan. Misalnya penjualan kemeja-T yang memaparkan potret Osama Bin Laden, ketua kumpulan pengganas Al-Qaeda. Kemeja begini membanjiri pasaran tidak lama selepas peristiwa 911.

Waktu itu, ketika berkunjung ke Kuala Lumpur, saya melihat kemeja-T Osama tergantung biasa di toko-toko. Ada juga beberapa anak muda yang memakainya secara suka-suka.

Contoh lain termasuk pencetakan poskad dengan gambar menara berkembar New York yang terbakar kesan langgaran kapal terbang yang dipesongkan oleh pengganas.

Dua contoh itu mungkin produk kecil yang terhasil daripada peristiwa serangan pengganasan di Amerika Syarikat lebih tujuh tahun yang lalu.

Kini, kita melihat lebih banyak barangan dan perkhidmatan lain yang lebih besar dan lebih bermakna memasuki pasaran dalam industri pengganasan. Paling menonjol ialah gagasan atau idea pengganasan itu sendiri.

Ia datang daripada kedua-dua pihak – kumpulan yang menyeru tindakan keras ke atas musuh kononnya atas nama jihad, dan masyarakat dunia yang umumnya cintakan keamanan.

Masing-masing boleh dikatakan mempromosikan ‘barangan’ dalam bentuk ideologi yang diperjuangkan bagi mempengaruhi orang ramai.

Bagi pengganas seperti Osama dan mereka yang bersimpati dengannya, mereka terus hebat menyerukan gagasan pengganasan. Mereka mengaku bertanggungjawab ke atas banyak serangan di sana sini. Motifnya tentu termasuk mahu mendakwa kemenangan moral bagi perjuangan mereka.

Mereka kian canggih memasarkan produk pengganasan dengan menggunakan banyak saluran media baru seperti Internet, lengkap dengan laman web masing-masing demi memikat penyokong.

Yang mereka pasarkan ialah idea dan mesej pengganasan untuk menghapuskan ‘musuh Islam’ di serata jagat kerana menindas golongan lemah, terutama Muslim. Turut dipromosikan kaedah kumpulan pengganas menarik penyertaan orang ramai serta latihan yang diberikan kepada mereka.

Di pihak yang menentang pengganasan pun tidak kurang hebatnya.

Amerika memang menjadi mangsa langsung serangan 911 tetapi berperanan menerajui perang membanteras pengganasan di serata jagat.

Negara dunia yang lain turut menolak pengganasan dan menyertai perikatan Amerika. Di sinilah bermulanya langkah mempromosi produk masing-masing.

Sebagaimana diayah kuat golongan pengganas menggamit simpati dunia, pihak yang melawan pengganasan juga berbuat yang sama. Mereka menghujahkan tujuan menyelamatkan dunia daripada pengaruh pengganasan dengan tekad menghapuskannya.

Dalam senario pihak masing-masing cuba mengatasi antara satu sama lain itulah pengganasan berkembang sebagai satu industri.

Bagi Amerika dan Dunia Barat yang berada di barisan depan melawan pengganasan, produk yang dipasarkan termasuk sistem pemerintahan demokrasi yang menegaskan pemerintahan rakyat dan fahaman sederhana atau moderat.

Pemasaran idea ini disusuli tindakan perang ke atas Afghanistan dan kemudiannya Iraq. Afghanistan diserang kerana melindungi Al-Qaeda manakala Iraq menerima nasib serupa kerana pemerintahan diktator Saddam Hussein dianggap mengancam keselamatan dunia bebas.

Termasuk dalam strategi pelaku utama dalam industri pengganasan itu ialah usaha memenangi hati orang ramai menerusi pemaparan ideologi masing-masing. Setiap pihak berharap menarik sokongan atau simpati dunia.

Dunia Barat memanfaatkan tradisi keilmuan mereka dengan mengembangkan minat kepada kajian yang dianggap berguna dalam membendung faham pengganasan.

Ini dibuat dengan membentuk badan-badan kajian yang baru atau memberi fokus baru bagi badan-badan yang sedia ada.

Usaha itu turut diperkaya dengan banyak penulisan dan penerbitan bertemakan pengganasan.

Kesannya, kita kini berdepan dengan kebanjiran pelbagai pentakrifan dan analisis mengenai pengganasan: Apa takrif pengganasan? Siapakah pengganas? Apa motif di sebalik tindakan pengganasan? Sejauh mana pengganasan mengancam keselamatan dunia dan bagaimana ancaman itu boleh dikalahkan?

Kaitan pengganasan dengan pelaku Islam dengan sendirinya mengheret Dunia Islam ke dalam industri pengganasan.

Justeru para agamawan Islam dan ulama turut menjadi aktif. Sebahagian besarnya terlibat dalam kerja mentakrif dan memberi pentafsiran mengenai beberapa bahagian ajaran Islam yang dikaitkan dengan pengganasan seperti gagasan jihad dan syahid.

Jika para penyokong Osama mentafsirkan beberapa bahagian ayat-ayat Al-Quran bagi menyokong langkah perjuangan mereka, ulama lain pula menyanggahnya dengan tegas demi mengatasi kekeliruan ummah.

Akibatnya, masyarakat awam disogokkan dengan berbagai-bagai pandangan yang bercanggah mengenai gagasangagasan jihad, syahid dan pengeboman nekad.

Para sarjana bukan Islam juga mengajukan teori dan dapatan masing-masing dalam mengusulkan punca timbulnya unsur keradikalan di kalangan umat Islam yang kemuncaknya dijelmakan dalam bentuk serangan pengganasan 911.

Ada yang menuduh pengganasan sebagai termasuk dalam doktrin Islam yang dikatakan tidak sekufu dengan nilai sosial dan politik yang diamalkan Barat.

Contohnya, Islam didakwa tidak menerima amalan demokrasi yang menjadi ciri penting kehidupan di Barat. Umat Islam dihujahkan Barat sebagai sukar hidup bersama dengan masyarakat beragama lain.

Inilah pandangan yang menjadi asas kepada gagasan pertembungan antara tamadun (clash of civilisations) anjuran sarjana seperti Bernard Lewis dan Samuel Huntington.

Ada penulis seperti Stephen Schwartz (pengarang The Two Faces of Islam) yang secara tegas menyalahkannya kepada idea radikal yang dianjurkan golongan pemurni tegar daripada golongan Wahhabi.

Keinginan mengembalikan kemurnian agama yang diajarkan Muhammad Bin Abdul Wahhab, menurut Schwartz, mewajarkan pengikut Wahhabi memerangi dan membunuh sesiapa saja, baik Muslim atau tidak, yang menentang mereka.

Demikianlah seterusnya wujud dapatan-dapatan lain yang mudah diperolehi menerusi pelbagai saluran.

Ada pandangan yang menggalur proses radikalisme Muslim yang seterusnya membawa kepada pengganasan, sebagai berpunca daripada kegagalan gerakan Islam politik memenangi pengaruh melalui proses politik dalam negeri masing-masing.

Ini dipaparkan sarjana Perancis, Oliver Roy, dalam tulisannya, Failure of Political Islam dan Globalised Islam.

Seorang lagi sarjana Perancis, Gilles Kepel, mengaitkan trend keradikalan itu dengan generasi kedua dan ketiga Muslim daripada kaum imigran dari negara majoriti Islam. Disebabkan lahir dan dibesarkan di Eropah, mereka tidak lagi berasa terikat dengan budaya negara asal masing-masing.

Bagaimanapun, mereka juga berasa terpinggir dalam kehidupan sosial, ekonomi dan politik di negara baru.

Mereka juga memerlukan satu identiti yang dapat mengikatnya sebagai mengalami nasib yang serupa. Ikatan itu, menurut Kepel, adalah rasa kesatuan sebagai ummah Islam.

Kepel merumuskannya sebagai punca timbul rasa setiakawan untuk menyokong tindakan satu sama lain, termasuk dalam menganut sikap atau fahaman yang dianggap radikal.

Demikianlah banyaknya produk lain yang masuk melimpah ke dalam industri pengganasan – berupa idea dan gagasan berkaitan pengganasan.

Kepelbagaian produk ini mewujudkan masalah tersendiri kepada masyarakat awam – bagaimana membuat pilihan daripada pelbagai barangan dan perkhidmatan yang disajikan?

Orang awam, seperti tiga pemuda Muslim baru-baru ini, boleh keliru dengan pendedahan meluas dan berterusan akan idea, gagasan dan percanggahan pentafsiran mengenai pengganasan.

Nota: Penulis ialah pengarah agung Pusat Pemikiran Islam Semasa.