Sekadar berkongsi – Tingkat usaha kekang radikalisme (Berita Harian Singapura)

7 Jan 2010

SINGAPURA

Tingkat usaha kekang radikalisme

Oleh
Hisham Hasim

SEDANG agensi-agensi keselamatan sedunia meningkatkan tahap pemeriksaan dan pengawasan ekoran percubaan mengebom sebuah pesawat di Amerika Syarikat Disember lalu, pakar-pakar dan kaunselor antipengganasan di Singapura juga sedang meningkatkan usaha mengekang fahaman radikal dan pengganasan.

Mereka berkata usaha sedemikian adalah paling penting kerana pencegahan dan pengesanan awal adalah lebih baik.

Ini lebih genting kerana para pakar dan kaunselor berkenaan berpendapat pengaruh radikalisme di kalangan masyarakat boleh disebar dengan mudah – contohnya melalui wadah Internet.

Sebab itulah para kaunselor pengganasan dan asatizah setempat sentiasa meningkatkan usaha termasuk mengadakan lebih banyak sesi mendekati masyarakat, mengadakan laman rujukan Internet dan buku-buku kecil yang boleh dijadikan panduan ramai.

Menurut Zamil Bersekutu di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Ustaz Muhammad Haniff Hassan, alam siber menjadi wadah bagi kelompok pengganas kerana ia adalah satu-satunya wadah media yang memudahkan mereka mengetengahkan ideologi dan berkongsi maklumat operasi pengganasan dengan sekatan yang terbatas.

‘Radikalisasi daripada alam siber bukan satu mitos atau kemungkinan tetapi satu realiti. Di Singapura kita telah menyaksikan kes yang melibatkan beberapa individu beberapa tahun yang lalu,’ ujar Ustaz Muhammad Haniff.

Selain mempunyai blog, sejak tiga tahun lalu beliau dan anggota sekretariat Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Mohamed Ali, telah menerbitkan dua buku panduan percuma bertajuk Jangan Melampau Dalam Beragama dan Soal Jawab Mengenai Jihad.

‘Kami sedang dalam proses menerbitkan buku ketiga yang akan merakamkan pengalaman Singapura berkenaan ideologi pengganasan,’ kata Ustaz Muhammad Haniff.

Menurut seorang kaunselor RRG, Ustaz Mohamad Khair Rahmat, isu yang sering mendapat perhatian dan menjadi kekeliruan dalam hal radikalisme ini adalah isu jihad dan sikap terhadap orang bukan Islam.

Dalam sesi kaunseling yang dijalankannya bersama beberapa belia, Ustaz Mohamad Khair mendapati mereka telah menunjukkan tanda-tanda tertarik dengan idea melakukan jihad untuk membela Islam.

‘Saya fikir mereka lazimnya mencari jawapan ‘bagaimana hendak membantu atau membela Islam’.

Dari situ mereka tertarik dengan hujah-hujah tertentu dan janji manis bagi mereka yang sanggup berkorban demi agama Islam,’ jelas Ustaz Mohamad Khair.

Kumpulan-kumpulan yang dibentuk melalui alam siber ini juga kemudian boleh berubah menjadi kumpulan sebenar di alam nyata.

Namun setakat ini hal demikian belum di tahap yang membimbangkan, kata Penganalisis Kajian Pusat Antarabangsa bagi Keganasan Politik dan Penyelidikan Pengganasan (ICPVTR), NTU, Cik Nur Azlin Mohamed Yasin.

Pengerusi Bersama RRG, Ustaz Ali Haji Mohamed, berkata pihaknya akan menganjurkan lebih banyak sesi mendekati masyarakat tahun ini.

‘Kami juga akan tingkatkan program bagi belia-belia dan laman web RRG sendiri akan ketengahkan lebih banyak bahan-bahan rujukan dan artikel.

‘Matlamat kami ialah terus mendekati masyarakat umum untuk meningkatkan lagi pengetahuan mereka tentang isu ini,’ kata Ustaz Ali.