Takfir Yang Tercela 2/2

(Nota: Artikel ini dipetik dan diubahsuai dari buku Kesederhanaan Dalam Islam Dalam Konteks Masyarakat Islam Singapura, terbitan Pergas, 2004)

 

….. bersambung dari yang lalu.

 

10 Perkara Penting Berkaitan Takfir

 

1. Kufur itu berperingkat-peringkat, sebagaimana iman juga berperingkat-peringkat.

 

Di antara peringkat-peringkat kekufuran, tidak semua yang menyebabkan keluar dari agama. Oleh itu perlulah berhati-hati dalam memahami ayat-ayat yang mengkufurkan sesuatu perbuatan, samada ia bermakna keluar dari agama atau kufur sebagai maksiat yang menjadi ciri orang-orang kafir.

 

2.   Kufur bertempat di hati. Tiada siapa yang mengetahui hakikat sebenar di hati kecuali    Allah taala.

 

Atas dasar itu, perlulah banyak berhati-hati dalam berurusan dengan masalah hati. Oleh kerana kufur tempatnya di hati, perbuatan zahir sahaja belum tentu membolehkan takfir kecuali ada dalil yang jelas mengenainya. Asalnya, kita hanya diperintah untuk menghukum apa yang zahir dan dilarang dari mengikuti apa yang tidak diketahui.

 

Allah taala berfirman yang bermaksud;

 

“Dan janganlah kamu ikuti apa yang kamu tiada ilmu mengenainya.” (Al-Isra’ : 36)

 

“Wahai orang-orang yang beriman jauhilah kamu banyak-banyak dari sangka-sangkaan.” (Al-Hujurat : 12)

 

Rasulullah s.a.w memarahi Usamah kerana membunuh seseorang yang mengucap dua kalimah syahadah kerana menyangka dia mengucap kerana takut dibunuh dengan katanya;

 

“Adakah kau belah hatinya sehingga kau tahu samada hatinya mengucap atau tidak?” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

 

Ertinya dalam persoalan takfir, benefit of the doubt mesti diberikan kepada orang yang tertuduh.

 

3.   Tidak boleh mengkafirkan seseorang hanya kerana melakukan maksiat selama mana   dia tidak menghalalkan perbuatannya.

 

Yang dimaksudkan dengan tidak mengkafirkan kerana melakukan dosa ialah dosa-dosa besar bukan meninggalkan rukun Islam seperti berzina dan minum arak. Adapun meninggalkan rukun Islam, mengkafirkan orang berkenaan mempunyai perdebatan di sisi ulama.

 

Yang mengkufurkan orang yang melakukan maksiat ialah kaum Khawarij dan Muktazilah, bukan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

 

4.   Tidak boleh mengkufurkan penguasa semata-mata kerana tidak berhukum dengan hukum Allah taala.

 

Ibn Abi Al-`Iz dalam Syarh Al-`Aqidah At-Tahawiyah menulis;

 

“Bahawa berhukum dengan apa yang bukan diturunkan oleh Allah boleh menjadikan kufur yang keluar dari agama dan boleh jadi maksiat, samada maksiat kecil atau besar. Dikatakan kufur, samada ada atas dasar kiasan (majazi) atau kufur kecil, mengikut dua pendapat yang telah disebutkan. Yang demikian itu mengikut keadaan si penguasa. Jika dia beriktikad bahawa berhukum dengan apa yang bukan diturunkan oleh Allah tidak wajib dan ia hanyalah pilihan baginya atau dia meremehkannya dengan keyakinan bahawa itu adalah hukum Allah, maka ini adalah kekufuran yang besar. Jika dia beriktikad wajib berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah taala, dan dia tahu hukum bagi kes itu, tetapi berpaling darinya disamping mengakui bahawa dia layak diazab, maka dia adalah pelaku maksiat. Dia dinamakan kafir (dalam erti) majazi (kiasan) atau kafir kecil. Jika dia tidak tahu akan hukum Allah dalam satu kes, disamping mengerahkan usaha untuk mengetahuinya tetapi tersalah, maka dia dikatakan orang yang tersilap. Bagi dia pahala untuk ijtihadnya dan kesilapannya dimaafkan.”

 

Telah timbul pelampauan dari kalangan kelompok Takfir atas satu pandangan bahawa para penguasa orang-orang Islam telah kufur dan orang-orang yang duduk di bawah kuasa mereka tetapi tidak berusaha untuk mengubah pemerintahan berkenaan dengan menyertai jemaah mereka yang membawa pemikiran yang benar bagi Islam dan berusaha untuk melaksanakan pemikiran itu, telah kufur juga kerana mentaati penguasa-penguasa itu.

 

Penguasa-penguasa ini tidak boleh dihukumkan kafir terus tanpa penelitian kerana Allah taala sendiri memberikan mereka dengan tidak hukum kafir, zalim dan fasiq (Al-Maidah: 44, 45 & 47).

 

Rasulullah s.a.w tidak mencela Najasyi kerana tidak berhukum dengan hukum Allah taala dan Allah taala juga tidak mencela nabi Nabi Yusuf a.s a.s kerana bersama dengan raja yang bukan Muslim dalam pemerintahannya.

 

5.   Tidak boleh mengkufurkan secara mutlak rakyat yang di bawah pemerintah yang tidak berhukum dengan hukum Allah taala.

 

Sesungguhnya rakyat-rakyat di bawah pemerintah seperti ini berbagai-bagai;

 

a.   Mereka yang taat dan ikut apa yang dilakukan oleh pemerintah dengan penuh sedar     dan yakin akan kebenaran pemerintahnya. Maka hukumnya mengikut hukum si pemerintah.

b.   Mereka yang taat tetapi masih beriman dengan apa yang halal dan apa yang haram di sisi Allah taala. Mereka taat atas maksiat. Mereka ini dihukumkan sebagai orang-orang yang berdosa.

c.   Mereka yang ingkar dan tidak redha. Jika dia tidak mampu mengubah keadaan atau telah berusaha tetapi belum berjaya, maka mereka dimaafkan dan dihisab sekadar amal mereka. Jika mereka tidak redha tetapi kurang berusaha, maka mereka tercela sekadar kekurangan mereka.

 

6.   Tidak boleh mengkufurkan orang kerena dia tidak bersama dalam jemaah yang dianggotai atau keluar dari jemaah itu.

 

7.   Tidak boleh mengkufurkan seseorang yang menetap di negara bukan Muslim dan tidak mahu berhijrah darinya.

 

8.   Tidak boleh mengkafirkan seseorang atau mana-mana kumpulan secara khusus (ta`yiin) tanpa dalil yang kukuh, otoriti dan tidak melalui proses yang betul.

 

Disebabkan bahaya takfir sebagaimana yang dinyatakan dalam hadits, para ulama salaf sentiasa mengambil pendekatan yang berhati-hati dalam isu takfir. Mereka walaupun sering memberi fatwa mengenai kekufuran sesuatu fahaman atau amalan, tetapi mereka menjauhi dari menghukumkan kafir ke atas individu tertentu atau kumpulan tertentu.

 

Hal ini adalah disebabkan perbuatan yang menunjukkan kekufuran mempunyai pelbagai andaian dan kemungkinan yang terselindung. Oleh itu, para ulama lebih cenderung untuk memberi benefit of the doubt dalam persoalan ini agar tidak jatuh dalam kesilapan yang tercela.

 

Selain itu, mentsabitkan kekufuran seseorang bukanlah tugas individu tetapi ia adalah tugas kehakiman. Seorang yang telah keluar dari Islam kerana perlakuan atau kepercayaannya, dia boleh dihukum atas kesalahan itu. Bagi membolehkan hukuman itu dilaksanakan, maka perlulah dia dibicarakan di mahkamah agar dia diberi hak untuk bercakap dan membela diri disamping menilai bukti tuduhan ke atasnya.

 

9.   Tidak boleh mengkafirkan sesiapa kerana dia tidak mengkafirkan orang lain      berdasarkan pandangan orang berkenaan atau sesiapa yang berbeza pendapat dengannya.

 

Sebagaimana yang telah dinyatakan di atas, hukum kufur bukanlah hak mana-mana individu atau kumpulan untuk melakukannya tetapi ia adalah bidang kuasa kehakiman Islam. Apabila tiada kehakiman yang berkuasa untuk membicarakan orang-orang yang dituduh murtad, kuasa berkenaan tidak berpindah ke mana-mana pihak kerana ia akan menimbulkan kacau bilau dalam masyarakat.

 

Apatah lagi tuduhan kekufuran itu sering kali mempunyai pelbagai kemungkinan. Oleh itu, apabila seseorang itu tidak bersetuju untuk mengkufurkan orang lain, maka tidak boleh dia dituduh kafir kerana tidak mengkafirkan orang yang telah kufur.

 

10. Tidak boleh menghukum masyarakat Islam secara umum sebagai jahiliyah.

 

Imam Al-Bukahri di dalam kitab Sahih Al-Bukhari  telah menamakan satu bab yang bertajuk ‘Bab maksiat adalah sebahagian dari perkara jahiliyah, tidak boleh pelakunya dihukumkan kafir kerana melakukannya kecuali perlakuan syirik’.

 

Tidak boleh menghukumkan bahawa manusia hari ini semuanya berada dalam jahiliyah atau masyarakat Islam hari ini semuanya adalah jahiliyah kerana jahiliyah yang umum seperti itu merujuk kepada zaman sebelum kebangkitan nabi. Keadaan sedemikian tidak berlaku setelah zaman kebangkitan Rasulullah s.a.w kerana ia bercanggah dengan hadits Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

 

“Akan sentiasa ada satu kelompok dari umatku yang sentiasa memperjuangkan kebenaran sehingga hari Kiamat.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

 

“Allah tidak akan menjadikan umatku bersetuju atas kesesatan.” (Riwayat At-Turmuzi)

 

Jahiliyah yang digunakan yang didapati dalam Al-Quran dan Sunnah sentiasa dikaitkan dengan sifat-sifat tertentu atau keadaan tertentu seperti hukum jahiliyah (Al-Maidah: 50), tabarruj jahilah (Al-Ahzab: 33) atau sifat-sifat jahiliyah seperti sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud “Engkau seorang lelaki, yang di dalam diri kau ada (sifat) jahiliyah.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim).

 

Demikianlah beberapa noktah penting mengenai persoalan takfir yang membezakan antara kesederhanaan dan pelampauan.