Wawancara oleh Berita Harian (22 Nov. 2008) – Laluan jauh membasmi pengganasan

(Salinan asal Berita Harian boleh dibaca dilampiran)

WAWANCARA

LALUAN MASIH JAUH BASMI PENGGANASAN

Tiga pengebom Bali 2002 – Amrozi dan abangnya, Ali Ghufron (Mukhlas), serta Imam Samudra – dikenakan hukuman mati baru-baru ini. Ustaz Muhammad Haniff Hassan, zamil madya di Sekolah Pengajian Antarabangsa S.Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), mengulas.

Oleh
Mohd Noor A. Rahman

SOALAN: SEMASA pengebumian tiga pengebom Bali 2002, dua minggu lalu, ada yang menyifatkan mereka sebagai syuhada, sedangkan badan-badan utama Islam di Indonesia seperti Nahdlatul Ulama (NU), Muhammadiyah dan Majlis Ulama Indonesia (MUI) menegaskan mereka adalah pengganas. Kenapakah masih ada kekeliruan ini?

Jawapan (J): Sebab wujudnya sebahagian kecil umat Islam menunjukkan simpati terhadap kematian tiga pengebom berkenaan dan menyifatkan mereka sebagai syahid ialah:

  • Wujudnya sebahagian kecil yang sememangnya mempunyai ideologi sama dengan mereka. Hal ini adalah kerana kelompok Jemaah Islamiyah (JI) di Indonesia mempunyai sejarah yang panjang yang berakar pada gerakan Darul Islam semasa perang kemerdekaan lagi. Oleh itu tidak mudah memupuskan mereka sama sekali.

  • Wujudnya sebahagian umat Islam yang masih lagi tidak percaya bahawa tiga pengebom itu bertanggungjawab ke atas pengeboman Bali (pertama). Ramai yang masih menyangka ia perbuatan anasir luar. Tiga pengebom itu kononnya hanyalah kambing hitam pihak yang berkepentingan.

  • Mereka tidak yakin tiga pengebom itu mempunyai keupayaan membuat bom secanggih bom Bali kerana mereka bukan orang yang terlatih dalam bidang ketenteraan. Tambahan pula, kepercayaan masyarakat terhadap kewibawaan pihak penguasa adalah rendah.

    S: Apakah kekeliruan ini disebabkan kegagalan badan-badan utama Islam dan ulama di Indonesia dalam memerangi ideologi pengganasan?

    J: Tidak. Sejak serangan 11 September (2001), umat Islam di Indonesia memang telah banyak bersuara dan suara mereka semakin lantang, walaupun tidak dinafikan lebih banyak usaha perlu dibuat demi membanteras ideologi pengganasan.

    Saya sendiri mengetahui sekurang-kurangnya lima buah buku telah diterbitkan semata-mata untuk menyanggah ideologi tiga pengebom berkenaan dan juga ideologi JI.

    S: Pada pendapat anda, apakah yang boleh dilakukan demi memastikan tiada timbul sebarang kekeliruan bahawa tiga pengebom itu adalah pengganas, mungkin bagi kes-kes serupa akan datang?

    J: Dua langkah penting boleh dilakukan. Pertama, sifat proaktif kepimpinan agama memberi pandangan sebelum pihak lain melakukannya.

    Kedua, mengenakan sekatan ketat terhadap pihak yang telah didapati bersalah dalam soal menyuarakan pandangan dan berurusan dengan media. Apa yang berlaku sebenarnya lebih disebabkan kegagalan pihak berkuasa dalam menangani perkara ini.

    Contohnya, bagaimanakah pihak yang berada dalam tahanan yang memang diketahui mahu melakukan hasutan dapat mengeluarkan kenyataan kepada umum, bahkan diberi kebenaran ditemu duga media?

    S: Antara lain, tiga pengebom itu mendakwa mereka mati syahid dalam melakukan pengganasan. Apakah anda berasakan kenyataan ini, yang disebar luas melalui media massa Indonesia, mampu mempengaruhi orang lain untuk melakukan pengganasan?

    J: Jika tiga pengebom itu belum dihukum mati, risiko serangan pengganasan tetap ada kerana wujudnya kelompok seperti Nordin Mohd Top yang sentiasa merancang melakukan pengganasan. Ini dapat dilihat daripada beberapa tangkapan yang dibuat baru-baru ini.

    Jika serangan berlaku selepas ini, saya kira ia hanyalah alasan daripada kelompok itu.

    Selain kelompok itu, ramai pengamat tidak menjangka akan ada pihak yang mahu melakukan serangan semata-mata demi membalas dendam atas hukuman yang dijalankan.

    Hal ini adalah kerana kelompok pelampau yang terlibat dalam pengganasan di Indonesia hari ini sebenarnya sedang berada dalam perbalahan yang serius sesama mereka akan kewajaran melakukan serangan seperti di Bali disebabkan kesan buruk ke atas mereka.

    Sebahagian besar daripada mereka ini tidak lagi menyokong tindakan pengeboman seperti bom Bali, Hotel JW Marriott dan Kedutaan Australia. Mereka tidak akan membenarkan para pengikut mereka melakukan tindakan balas dendam dalam bentuk serangan bom.

    S: Dalam memerangi ideologi pengganasan antara badan utama Islam di Indonesia dengan beberapa pihak ekstremis dan militan di situ, siapakah yang kini sedang menang?

    J: Adalah tidak realistik untuk kita mengharapkan agar mereka yang menyokong ideologi pengganasan akan pupus 100 peratus. Sejumlah kecil umat Islam akan pasti dipengaruhi mereka kerana pelbagai sebab.

    Apa yang diperlukan ialah kelompok sederhana yang menentang pengganasan berusaha keras menyebarkan kefahaman Islam yang betul dan melantangkan suara mereka.

    Dengan usaha keras yang berkesan dan mantap hujahnya, lebih ramai yang akan dipelihara daripada pengaruh ideologi pengganasan.

    Dengan melantangkan suara pula, dengan sendirinya suara pengganasan akan tenggelam. Ini semua akan menyempitkan ruang bagi penyebaran ideologi pengganasan.

    Usaha keras umat Islam bersuara menentang pengganasan sebenarnya telah pun mempunyai kesan ke atas kumpulan pelampau.

    Hari ini terdapat tanda-tanda wujudnya perdebatan, perbalahan dan pergeseran ideologi dalam kumpulan pelampau akan kewajaran ideologi dan tindakan mereka.

    Perbalahan ini antaranya disebabkan tekanan ke atas mereka kerana kelantangan suara yang mengkritik mereka dan hilangnya sokongan daripada orang ramai.

    Selain itu, sebahagian mereka kemudiannya menerima kebenaran hujah kelompok sederhana dan mengakui kesilapan mereka.

    Perbalahan dalaman ini melemahkan kelompok pelampau kerana ia menyebabkan sebahagian mereka berpecah, para pengikut pula menjadi keliru dan usaha mereka hilang fokus kerana masalah dalaman.

    Tanda-tanda ini dapat dilihat melalui kenyataan-kenyataan kumpulan pelampau yang bersifat defensif seperti kenyataan Ayman Al-Zawahiri yang menjawab kritikan bekas-bekas pemimpin kumpulan penjihad Mesir yang telah mengubah pendirian.

    Bahkan, Osama Bin Laden dilaporkan akan menerbitkan sebuah buku bagi menjelaskan hakikat Al-Qaeda kepada orang ramai.

    S: Di peringkat serantau pula, apakah cara-cara yang perlu dilakukan pihak berkuasa dalam memastikan ideologi pengganas bertopengkan Islam tidak mempengaruhi orang ramai?

    J: Beberapa langkah yang boleh dibuat ialah:

  • menggiatkan lagi usaha membanteras ideologi pengganasan dan menambah keberkesanannya;

  • merangka satu pelan strategik di setiap negara mengenai bagaimana perang ideologi ini patut dilaksanakan di setiap peringkat bagi memberi polisi dan arah tuju yang jelas. Setakat ini, pada pengamatan saya, hanya kerajaan British yang mempunyai pelan sedemikian yang dikenali sebagai Prevent Strategy;

  • menggiatkan lagi kajian-kajian bagi menyokong usaha membanteras ideologi pengganasan;

  • mewujudkan jaringan antara mereka yang aktif dalam usaha membanteras ideologi pengganasan agar dapat bertukar pengalaman dan pandangan; dan

  • mewujudkan wadah sehenti di Internet dalam pelbagai bahasa mengenai sumbangan pelbagai pihak di serata dunia bagi bahan-bahan berkaitan pembanterasan ideologi yang amat berguna bagi sesiapa sahaja yang mahu mendapatkan sanggahan bagi ideologi pengganasan atau yang dapat membantu menambah keberkesanan usaha yang ada.

  • S: Apakah pula peranan masyarakat Muslim setempat?

    J: Bagi usaha setempat, selain usaha yang sedia ada dan cadangan yang saya nyatakan di atas, saya juga ingin mencadangkan penghasilan bahan-bahan kreatif seperti klip video, drama, kartun dan lain-lain bagi mengukuhkan pesanan kesederhanaan yang disampaikan atau bagi menarik lebih ramai pihak untuk membaca pelbagai bahan yang telah dihasilkan.