Soalan
Apakah hukum seorang yang suka mengeluarkan kata-kata “Pakai tudung pun tak berguna kalau hati atau perangai buruk.
Yang penting hati kita kena baik.
Tudung hanya bentuk zahir sahaja.”
Kata-kata sebegini sering digunakan untuk mengejek orang yang memakai tudung dan membela diri bagi wanita yang tidak memakai tudung.
Jawaban
Memakai tudung adalah satu kewajiban berhijab dalam Islam bagi wanita yang telah baligh.
Hukum ini tiada perselisihan di sisi semua ulama dari keempat-empat mazhab.
Ini berdasarkan firman Allah taala dalam ayat 59, Al-Ahzab dan ayat 31, An-Nur.
Seorang itu boleh bertudung tetapi masih melanggar aturan berhijab seperti memakai pakaian yang ketat atau mendedahkan anggota tubuh yang lain.
Ulama dari keempat-empat mazhab juga bersepakat bahawa minimum anggota tubuh yang perlu dihijab (tutup) ialah seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan.
Bagaimana bentuk atau fesyen bagi menutup tubuh, terserah kepada keadaan dan budaya, asal sahaja ia memenuhi syarat berhijab.
Di sebabkan ruang yang terhad, sila rujuk syarat-syarat hijab yang sempurna dalam buku Halal dan Haram Dalam Islam oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi.
Meninggalkan kewajiban berhijab/memakai tudung adalah dilarang.
Mengingkarinya atau mengejek orang yang memakai hijab pula boleh merosakkan aqidah kerana mengingkari sesuatu yang telah ditetapkan dalam Al-Quran dan mengejek-ejek amalan agama.
Allah taala berfirman yang bemaksud “…sesungguhnya Allah telah mengharamkan keduanya (air dan makanan syurga) dari orang-orang kafir. (Iaitu) Mereka yang menjadikan agama mereka sebagai main-main dan senda gurau dan kehidupan telah menipu mereka…” (Al-A`araaf : 50 – 51).
Walau bagaimana pun, berhijab adalah salah satu kewajiban dari banyak kewajiban dalam Islam.
Berhijab atau tidak berhijab semata-mata tidak menjamin seorang itu masuk syurga atau neraka.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya salah seorang dari kamu mengamalkan amalan ahli syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dan antara syurga melainkan sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan kitab (Qadha’ & Qadar), lalu ia pun mengerjakan dengan amal ahli neraka, maka masuklah dia ke dalamnya. Dan sesungguhnya salah seorang dari kamu mengamalkan amalan ahli neraka sehingga tidak ada jarak antaranya dan antara neraka melainkan sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan kitab (Qadha’ & Qadar), lalu ia pun mengerjakan dengan amal ahli syurga, maka masuklah dia ke dalamnya.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim).
Seorang itu jika ia sentiasa menjaga akhlaqnya serta hatinya dari sifat-sifat keji tetapi meninggalkan hijab, ia akan mendapat pahala bagi kebaikan yang ia lakukan dan mendapat dosa kerana meninggalkan hijab dan kewajiban yang lain, jika ada.
Di akhirat nanti, setiap kita akan dihisab oleh Allah taala atas seluruh amal kita.
Jika seorang wanita berhijab tetapi dosa-dosanya yang lain memberatkan timbangan dosa, ia akan dicampakkan ke neraka dan wanita yang tidak berhijab walau pun berdosa tetapi amal kebajikannya lebih berat dari dosa, ia akan masuk ke syurga.
Hakikat ini boleh dipelajari dari hadits Rasulullah s.a.w yang menceritakan seorang pelacur dimasukkan ke syurga kerana menyelamatkan seekor anjing yang kehausan.
Walau bagaimana pun, mereka yang mengatakan sedemikian sebenarnya tidak sedar bahawa keengganannya untuk memakai hijab menunjukkan kewujudan unsur-unsur tidak baik dalam hatinya.
Hakikatnya seseorang itu tidak mahu berhijab, memberi petanda bahawa dalam hatinya ada keingkaran / tidak redha terhadap hukum Allah atau kelemahan untuk melawan rasa malu atau tekanan persekitaran dan kehendak nafsu untuk berhias atau ego diri.
Perlulah difahami bahawa seorang wanita yang berhijab bukan seorang yang maksum (terlepas dari buat dosa).
Maka tidak mustahil, seorang wanita yang berhijab tetapi melakukan sesuatu kemungkaran juga seperti mengumpat dan berhasad dengki.
Allah taala akan memberi pahala kepadanya kerana berhijab dan juga dosa atas keburukan yang ia lakukan dan sifat keji yang ada dalam hatinya.
Kewujudan wanita yang berhijab tetapi melakukan dosa-dosa yang lain tidak boleh menjadi alasan bagi seorang wanita meninggalkan kewajiban berhijab atas alasan ‘yang penting hati mahu baik’.
Jika alasan ini boleh diterima, maka manusia akan mempunyai alasan bagi meninggalkan semua kewajiban agama.
Orang akan mengatakan ‘buat apa sembahyang, kalau masih buat itu dan ini…. apa guna pergi haji, tapi masih tak sedar diri macam pak haji tu…. buat apa puasa, kalau … yang penting hati mahu baik’.
Setiap kita haruslah mengetahui apakah kewajiban-kewajiban agama yang perlu ditunaikan dan berusaha untuk menunaikannya tanpa melihat perbuatan atau kecacatan orang lain kerana kita dihisab oleh Allah taala atas perbuatan kita sendiri bukan atas perbuatan orang lain.
Allah taala berfirman “Dan bahawasanya seorang manusia itu tidak memperoleh (pahala atau dosa) melainkan apa yang diusahakanya.” (An-Najm : 39).
Selain itu, contoh tauladan bagi seorang Islam ialah Rasulullah s.a.w dan generasi sahabat yang bersamanya bukan manusia yang hidup di sekeliling kita.
Bagi wanita-wanita yang memakai hijab dan dikatakan sedemikian, hendaklah bersabar, berusaha memuhasabah diri atas kritikan yang dibuat dan tidak pula menghukum wanita yang mengatakan sedemikian dengan kafir, jahil dan cercaan lain.
Allah taala mengajar umat Islam dalam firmannya “Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yanag berjalan di muka bumi dengan rendah hati dan apabila orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik.” (Al-Furqan : 63).
Wanita-wanita yang memakai hijab hendaklah bersyukur atas hidayah yang Allah telah berikan kepada mereka tetapi tidak pula menjadikan amalan hijabnya satu alasan untuk memandang rendah wanita lain kerana sifat sedemikian adalah keji dan sebahagian dari penyakit hati.
Semoga Allah taala memberi hidayah kepada semua wanita-wanita Islam untuk menunaikan kewajiban berhijab.
Wallahu A`alam
[…] http://haniff.sg/kemusykilan-agama/apa-guna-pakai-tudung-kalau-perangai-buruk/ […]