Soalan
Saya telah bernikah dengan seorang duda beranak tiga yang berusia 45 tahun. Oleh kerana beliau belum dapat melunaskan wang Mutaah bekas isterinya, beliau tidak mendapat surat cerai dan tidak boleh bernikah di Singapura.
Kami bernikah di Thailand dan saya diwalikan oleh Kadi di sana sedangkan bapa saya masih hidup.
1. Adakah sah pernikahan saya?
2. Dari segi undang-undang Mahkamah Syariah di Singapura bolehkah saya memohon didaftarkan di sini?
3. Sekiranya saya mengandung bolehkah anak saya dilahirkan di Singapura sedangkan saya bernikah di Thailand?
4. Adakah kami digulung sebagai orang yang melakukan perzinaan?
Jawaban
Sesiapa sahaja dari kalangan rakyat Singapura yang beragama Islam apabila menjalankan pernikahan di luar negeri hendaklah pernikahan itu didaftarkan di Pejabat Pendaftar Perkahwinan Islam Singapura. Pendaftaran sedemikian adalah penting bagi tujuan-tujuan berikut;
a. Membeli rumah.
b. Mendaftar kelahiran anak.
c. Membuat tuntutan di Mahkamah Syariah, jika berlaku pelanggaran hak dan tanggungjawab. Nikah yang tidak didaftarkan, akan menyulitkan isteri menuntut hak nafkah melalui mahkamah atau hak-hak lain. Ini akan menimbulkan banyak kesulitan kepada isteri dan anak.
d. Menuntut harta warisan jika berlaku kematian salah satu pihak.
Merujuk kepada soalan samada pernikahan puan sah atau tidak, adalah sebaiknya persoalan ini ditentukan oleh pihak Pendaftar Pernikahan Islam Singapura kerana penentuan kesahan nikah memerlukan penelitian terhadap pelbagai aspek dan keterangan dari pelbagai pihak.
Tiada masalah bagi anda untuk melahirkan anak anda di Singapura dan mendaftarkannya. Jika pernikahan anda sah di sisi syara’, anak anda boleh dinasabkan kepada suami anda dan tidaklah anda dihukum melakukan zina.
Adalah dinasihatkan kepada pembaca yang menghadapi masalah sedemikian, agar merujuk dahulu kepada peguam dan guru agama yang bertauliah sebelum melakukan tindakan bernikah di luar negara bagi mengelakkan kerumitan.
Wallahu A`alam